Selasa, 3 Mei 2016

Ubat Yang Paling Mujarab



Nabi Muhammad SAW pernah berkata.“Bersedekah boleh mengubati penyakit dan boleh menolak daripada sebarang penyakit serta menyampaikan maksud.”

     Sedekah adalah antara amalan mulia yang digalakkan oleh agama.  Ia bukan sahaja boleh menyucikan jiwa kita daripada sifat haloba kepada dunia.  Ia juga boleh mengubati penyakit.


     Setiap orang akan ada masa sakit.  Apabila ditimpa penyakit, ia wajib diubati sama ada secara moden ataupun secara tradisional.  Namun ada penyakit yang sukar sembuh, kadang-kadang memerlukan pembedahan.  Pada ketika itulah, kita hanya mampu berdoa kepada Tuhan supaya disembuhkan daripada penyakit yang kita hadapi.  Sebab itu kita digalakkan supaya bersedekah.  Ini kerana doa daripada orang yang menerima sedekah kita mungkin boleh membantu memakbulkan permintaan kita kepada Tuhan.

     Apabila kita bersedekah, Tuhan akan menambahkan berkat kepada hidup kita.  Doa kita supaya disembuhkan daripada penyakit akan dimakbulkan Tuhan.  Nabi Muhammad SAW sendiri, pernah meminta para sahabat yang ingin menemui beliau supaya bersedekah terlebih dahulu.

     Untuk bersedekah tidak memerlukan jumlah wang yang banyak.  Cukup sekadar yang kita mampu.  Jika kita hanya mampu bersedekah sebanyak seringgit sahaja, itu sudah memadai daripada bersedekah dengan jumlah yang banyak tetapi diiringi dengan kata-kata dan perbuatan yang menyakitkan hati.  Jangan tunggu waktu kita sakit barulah kita mahu bersedekah.

     Selain menyembuhkan penyakit, sedekah juga boleh menyampaikan maksud dan hajat kita. Sebagai contoh, apabila anak-anak kita yang bakal menduduki peperiksaan PMR dan SPM, sudah tentu kita mengharapkan supaya mereka berjaya.  Selepas mereka bertungkus-lumus membaca dan mengulang kaji pelajaran, maka tugas kita adalah berdoa untuk mereka.  Bersedekahlah jika kita ingin hajat kita itu tercapai.  Keluarkan sejumlah kecil wang kita, hulurkan kepada jiran tetangga yang memerlukan atau orang yang miskin.  Niatkan supaya ia menjadi amalan yang dapat menyampaikan maksud kejayaan anak kita.

     Kita juga boleh mengadakan kenduri kecil supaya ramai orang dapat merasai sedekah kita.  Abu al-Sheikh Dilami pernah menyebutkan kata-kata Nabi Muhammad SAW  di atas.  Beliau juga ada menyatakan bahawa harus untuk kita bersedekah dengan niat supaya disembuhkan segala penyakit yang dihidapi dan sebagainya.  Tuhan berkata menerusi surah al-Taubah ayat 104 yang bermaksud, ”Ambillah sebahagian daripada harta manusia, sebagai suatu bentuk sedekah atau zakat supaya harta mereka suci dan bersih dengan sedekah itu”.
http://dapurciknah.blogspot.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...