Home Klik Di Bawah

Ahad, 23 Oktober 2011

Meredah Salji di Republik Czech


Oleh
Dr Zaharuddin Abd Rahman

264919_10150230742126576_226669856575_7819194_5509397_n
Saya sudah kerisauan, United Kingdom dilanda salji tebal dan turun lebih awal dari tahun sebelumnya. Saya bimbang rancangan berpgroam bersama pelajar Malaysia dan komuniti Muslim yang dirancang pada 3 hingga 6 Disember 2010 akan datang bakal tergendala. Lebih merisaukan saya ialah urusan pembelian tiket semua sudah dibuat.
Jika salji turun pada tarikh berlepas itu, bukan kapal terbang sahaja yang tergendala malah saya juga pasti akan menghadapi kesukaran untuk sampai ke airport lantaran jalanraya yang mungkin ditutup kerana licin sehingga boleh menyebabkan kesekan lalulintas.
Saya dijadualkan berlepas melalui airport Luton, sekitar 1 jam perjalanan kereta dari Leicester.
Pada tanggal 3 Disember 2010, Alhamdulillah, tiada salji yang turun walau suhu kelihatan mencatat 0 darjah celcius, adakalanya naik ke 4 atau 5 dan turun pula -1 atau -2.
Jadual penerbangan juga lancar, ia mengambil masa sekitar 2 jam untuk sampai di Praque International Airport.
SELAMAT TIBA
Sampai di Praque, cuaca hampir sama seperti di United Kingdom, tiada salji sedang turun cuma negara tersebut masih diseliputi salji yang memutih. Kesan dari turun yang tiada henti sebelum ini, salji sudah tebal di permukaan bumi Praque ini.
Urusan imigresen di Praque adalah mudah dan efisyen. Keluar sahaja dari airport, kelihatan beberapa orang pelajar Malaysia sudah menunggu. Cuaca ketika itu mencatatkan suhu negatif 10 darjah celcius.
Kami perlu berkereta menuju di kawasan program di sebuah daerah bernama Hradec Kralove yang jaraknya hampir 1 jam setengah dari lapangan terbang.
“Agak jauh juga…Boleh ke bawa dalam salji dan kabus begini?” Tanya saya kepada pelajar yang memandu.
“Boleh ustaz..jangan bimbang” katanya
“eee. Memang lah kamu tidak bimbang kerana kamu sebenarnya jarang bawa kereta, saya selalu, tu yang terasa bahayanya” bisik hati saya kerisauan, mana tidaknya jarak pemandangan hadapan hanya sekitar 40 meter sahaja pada jangkaan saya. Namun, apakan daya, jika tidak berlepas bermakna, cuaca mungkin akan bertambah teruk dan merbahaya.
Akan ada tiga program dirancangkan oleh para pelajar dan komuniti Muslim di Czech sempena lawatan pertama saya.
Program pertama berkisar tajuk bagaimana memahami tatacara solat berdasarkan sumber asas dalil dan kefahaman ulama mazhab, khususnya mazhab Syafie. Diikuti esok harinya program motivasi di antara kerjaya, ilmu dan dakwah.
BERSAMA KOMUNITI MUSLIM
Di sebelah malam dianjurkan satu sesi di dalam bahasa inggeris untuk komuniti Muslim di Czech.
Sejurus selepas habis ceramah, beberapa pelajar antarabangsa yang hadir mendesak agar dapat saya bersama mereka untuk makan malam. Katanya ada banyak soalan-soalan dan tidak puas lagi menuntut ilmu.
“Sheikh, apakah nasihat sheikh untuk kami belajar dan cara belajar?”
“Dapatkan rujukan yang sohih dan guru untuk membimbing” jawab saya ringkas.
“Boleh kami tahu mengapa itu menjadi cadangan sheikh, kerana kami biasanya akan bertanya soalan yang sama kepada para ulama yang datang ke sini”
“Di zaman terlalu banyak sumber pengajian ilmu Islam sama ada dalam bentuk buku, artikel dan penulisan di internet, ramai mudah tenggelam dalam dunia ilmu yang apabila tidak mampu ditangani dan dihadamkan dengan baik, ia menjadi barah dalam minda sehingga merosakkan sang murid”
“Manakala guru diperlukan kerana ia menjadi pengimbang dan pembimbing maklumat yang diperolehi, pun begitu jauhilah sentimen dan ketaksuban dengan seorang guru, kerana guru juga adalah masih seorang pelajar dan boleh tersilap langkah”
Mereka menghargainya..lalu pelbagai soalan lain dilontarkan kepada saya sehingga masa yang berjalan dirasakan pendek dan ringkas.
Lebih dari itu, mereka dengan penuh semangat ingin menjemput saya sekali lagi pada bulan Februari 2011. Menurut mereka ilmu yang telah saya sampaikan sangat penting dan kerana itu mereka akan memastikan promosi dan kempen kali ini akan dibuat sehebat mungkin agar komuniti Muslim dan rakan-rakan pelajar mereka dapat hadir yang memahami ilmu yang baru mereka dapati.
“Alhamdulillah..dan Inshaallah.” Hanya itu jawapan yang boleh saya katakan. Di dalam hati saya sebenarnya ingin menguzurkan diri kerana sekitar tarikh yang dicadangkan itu, jadual saya telah diisi dengan program di dalam UK, Ireland dan Sweden serta persiapan untuk balik ke Malaysia kerana sudah tamat PhD iaitu pada akhir Mac 2011 yang juga sudah sangat hampir. Terlalu banyak kerja perlu diselesaikan.
MUZIUM ALAT SIKSAAN
Esoknya, saya bertanya Abu Hamzah, “kemana agaknya yang sesuai untuk kita lawati, lepas program nanti?”
“InshaAllah, esok kita bawa Ustaz ke Torture Museum, kedai buku dan ronda-ronda di kawasan Bandar”
Di muzium ini begitu kreatif kelihatan manusia silam mencipta alat untuk menyakitkan orang lain. Dari alatan yang kecil sehingga yang besar ada sahaja fungsi menyakitkan dan seksaan yang disasarkan.
Antara yang paling menarik perhatian saya adalah gergaji besar sepanjang 4 kaki dengan dua pemegang di sebelah kiri dan kanannya. Sekali pandang, saya terfikir gergaji ini tentunya digunakan untuk memotong tubuh mangsa.
the_saw
Memang benar, namun apabila membaca nota penerangan kecil yang disediakan di bawah gergaji ini, dimakulumkan bahawa kaedah penggunaannya adalah untuk mencapai seksaan maksimum. Aduh..membacanya sahaja boleh terasa ngilu dan sakit di badan. Menurut kaedahnya, mangsa yang ingin diseksa akan digantung secara terbalik kepala di bawah dan kaki dijarakkan di sebelah atas. Proses gergaji akan dimulakan bukan dari kepala namun bermula dari bahagian kemaluan.
Ya..kemaluan akan digergaji terlebih dahulu dan sengaja dibiarkan mangsa dalam keadaan begitu agar derita dan kesakitan yang ditanggung dapat dirasai setiap detik gergaji sedang dilakukan, kerana menurut panduan itu, selagi otak masih berfungsi, setiap kesakitan itu akan dihantar melalui saraf ke otak hinggalah gergaji sampai ke organ utama yang boleh mematikan mungkin di sebelah jantung. Hasilnya, proses seksaan akan dapat sampai ke tahap maksimum sakit sebelum mangsa menemui ajal.
Cuba bayangkan derita mereka yang menjadi mangsa. Ketika melihat alatan ini, saya memberi sedikit perkongsian dengan pelajar yang bersama saya
“Walaupun alat ini nampak begitu menyakitkan jika digunakan, perlu kita ingat bahawa sisksaan Allah bagi mereka yang ingkar di akhirat kelak jauh lebih pedih dan sakit, sehingga aqal kita langsung tidak boleh membayangkannya”
“Nabi bersabda perihal azab neraka :
ناركم التي توقدون جزء من سبعين جزءاً من جهنم قالوا يا رسول الله وغن كانت لكافية قال:فإنها فضلت بتسعة وستين جزءاً
Ertinya: “Api kalian (api dunia) hanyalah sepertujuh-puluh dari api Jahannam.” Maka para sahabat berkata:  “Sepertujuh puluh itu sudah cukup, ya Rasuulullah.” Baginda Nabi صلى الله عليه وسلم bersabda, “Neraka Jahannam itu dilipatkan darinya 69 kali, semuanya seperti panasnya (api dunia).” ( Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
Dalam Hadits sahih yang lain, dari Sahabat ‘Abdullah bin ‘Abbas رضي الله عنه, Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda: “Api dunia ini sudah Allah pukul-pukulkan (dinginkan), sudah Allah tenggelamkan ke dalam air laut sebanyak tujuh kali. Kalau tidak dilakukan seperti itu,maka manusia tidak akan boleh memanfaatkan api”.
Nabi juga menyebut lagi
رأيت النار فلم أر منظر كاليوم قط أفظع
Ertinya: Aku melihat Neraka dan tidak ada satu pemandangan yang lebih buruk daripada yang kulihat hari ini ( Riwayat Al-Bukhari)
Walau hebatnya siksaan ciptaan manusia, namun siksaan ciptaan Allah tidak mampu digambarkan oleh manusia. Begitu juga nikmatnya syurga yang tidak mampu dihargai oleh manusia kerana tidak diketahui tahap kehebatannya. Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam bersabda dari kalimah Allah perihal nikmat syurga:
أعددت لعبادي الصالحين ما لا عين رأت، ولا أذن سمعت، ولا خطر على قلب بشر
Ertinya : Allah menyebut melalui Nabi : “Aku menyediakan bagi hambaku yang soleh sesuatu (nikmat) yang tidak tidak pernah dilihat oleh mata, tidak pernah didengar oleh telinga (bunyinya) dan tidak terlintas (gamabran dan kenikmatannya) oleh hati manusia ( Riwayat Al-Bukhari)
Bermula dari saya menjejakkan kaki di Czech sehingga tamat program dua hari, tiada salji yang turun, itu amat melegakan kerana memudahkan pergerakan dan program. Cuaca seolah mengizinkan kami berprogram dengan lancar.
Namun, pada hari untuk bersiar-siar dan berjalan, salji mulai turun.
Berjalan dalam keadaan salji turun ‘renyai-renyai’ sambil berjalan di atas jalan yang diseliputi salji merupakan satu pengalaman yang menarik khususnya kita orang Malaysia yang datang dari negara beriklim Khatulistiwa yang panas dan hujan sepanjang tahun.
200361_10150112172126576_226669856575_6988257_2555869_n
Gambar : Bergambar sejenak di kawasan bersejarah di Kota Praque.
Sambil berjalan sambil memijak salji yang lama dan baru menimpa muka bumi sungguh mengasyikkan. Adakalanya, terasa seperti memijak ais kacang (ABC), bunyian derapan di setiap langkah kami. Pada ketika lain, apabila memijak permukaan di mana salji baru turun, terasa seperti memijak debu pula. Sekali kaki dihentak, semua debu salji berterbangan ke tepi.
Namun, kami masih perlu berhati-hati kerana di beberapa laluan yang mana saljinya telah keras, ia amat licin dan dengan mudah boleh ‘mendapat mangsa’, walaupun anda seorang pemuda yang gagah.
KEDAI BUKU CZECH
Di kedai buku, saya membelek-belek buku yang pelbagai. Saya sungguh kagum melihat hampir semua buku yang popular di peringkat antarabangsa sama ada novel, buku sains, medical, kejuruteraan dan hampir semua genre buku yang ada, TELAH diterjemah oleh rakyat tempatan Czech ke bahasa ibunda mereka. Ini kerana, warga Czech sangat mementingkan bahasa ibunda dan sedapat mungkin, mereka ingin mengurangkan pergantungan ilmu dan maklumat melalui bahasa lain selain dari bahasa kebangsaan mereka.
Apabila melihat saya mengambil gambar beberapa buku, sambil sibuk menggunakan aplikasi iphone untuk menyemak harga buku secara online, Abu Hamzah, merapati saya lalu bertanya
“ustaz tak beli apa-apa buku kah?”
“Belum ada yang menarik tapi harga di sini mahal dan ana boleh dapatinya lebih murah di UK” jawab saya sekilas dan meneruskan pencarian buku-buku yang menarik mata dan minda.
Semasa keluar dari kedai buku, Abu Hamzah berkata lagi “Ana sebenarnya suka tengok  ustaz-ustaz beli buku apa, just nak tahu mengapa dan apa kencenderungan seseorang ustaz. Dulu kami bawa Dr Asri ke kedai ini, begitu juga Ustaz Maszlee, Dr Asri beli buku yang memaparkan cerita lucu dan lawak orang Czech”
“Bila kami tanya dia, mengapa beli buku ini, dia kata ingin mengetahui pemikiran orang tempatan Czech, kerana kita boleh mengetahuinya melalui cara mereka berlucu dan membuat lawak” jelas Abu Hamzah kepada saya.
Namun kali ini, dia tidak dapat bertanya kepada saya, kerana saya tidak membeli sebarang buku, hanya mengambil gambar sahaja sebagai kenangan yang akan dibawa pulang.
Abu Hamzah tidak bertanya pula mengapa, saya juga tidak menjelaskannya sebab musababnya. Mungkin disangka, tiada sebab atau tiada buku yang saya berkenan agaknya.
Sebenarnya, mungkin akibat dari pernah bertugas di perbankan Islam, mempelajari ilmu kira-kira untung dan rugi dalam penawaran sesebuah produk. Semua itu secara tidak langsung menjadikan saya begitu cerewet sedikit dalam bab harga, ya cukup mengambil berat akan hal kira-kira untung dan rugi. Dalam bab yang neutral tidak melibatkan halal haram, Islam sentiasa mengalakkan kita berjimat dan berbelanja dengan bijak tanpa boros.
Oleh itu, jarang saya membeli sesuatu sebelum membuat perbandingan melalui aplikasi perbandingan harga di iphone. Bagi saya, rugi membuang duit sedangkan ia boleh dijimatkan.
Apabila dicampur dengan pemikiran Fiqh yang meresapi minda saya untuk memikirkan kesan dan mngelakkan kerugian dalam sebaran transaksi jual beli, datang rasa tidak mahu merugikan diri membeli sesuatu yang boleh dibeli dengan harga lebih murah di UK, malah dapat juga saya untuk tidak memberatkan beg dalam perjalanan jauh, suatu perkara yang amat saya tidak gemar. Membawa beban untuk perjalanan jauh dan meletihkan!
Hasilnya, saya beli buku terbabit di kedai buku internet amazon sejurus selepas pulang ke United Kingdom, harga jauh lebih murah apabila membeli buku terpakai dengan tajuk yang sama.
Begitulah sedikit pengalaman kembara dakwah di bumi bekas komunis, Czechoslovakia sukar disebut dan dieja namanya, bahasanya pula juga sukar. Pelajar Malaysia di sana yang kebanyakkan pelajar Perubatan, terpaksa berhempas pulas mempelajari bahasa kebangsaan Czech sebelum boleh membolehkan mereka memasuki kelas pengajian perubatan. Memang mencabar khususnya apabila memikirkan apabila pulang ke Malaysia kelak, kepada apakah ingin dimanfaatkan  bahasa Czech itu?. Wallahu’alam. Semoga kejayaan mampu diraih oleh mereka.


Zaharuddin Abd Rahman

Tiada ulasan:

Catat Ulasan