Home Klik Di Bawah

Rabu, 26 Oktober 2011

Tolak segala fahaman yang menyesatkan

Oleh AMELIA HASHIM



http://www.wartakedah.net/images/tuankusultan.jpg
ALOR SETAR, 25 Oktober - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah bimbang melihat umat Islam hari ini yang berpecah dan berbalah sesama sendiri.

“Cukuplah berbalah dan berpecah kerana isu dan fahaman politik, janganlah berpecah lagi kerana sebab fahaman agama pula,” titah baginda ketika merasmikan Seminar Isu-Isu Ajaran Syiah dan Penguatkuasaan Dari Sudut Undang-Undang Di Negeri Kedah yang diadakan di Wisma Darul Aman.

Baginda mengharapkan Majlis Agama Islam, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam, Jabatan Mufti dan seluruh agensi agama mengambil berat dan sentiasa mengawasi supaya ajaran-ajaran yang bercanggah dengan pegangan Ahlussunnah Wal Jamaah tidak dikembangkan di negeri Kedah ini.

“Semua agensi agama perlu mengenal pasti imam-imam, guru-guru agama, guru-guru tahmir, guru KAFA dan pendakwah yang giat di negeri ini hendaklah jangan sekali-kali terlibat sekiranya ada hendaklah diambil tindakan ke atas mereka,

“Beta amat berharap agar segala keputusan fatwa dan Undang-Undang Tubuh Negeri Kedah dipatuhi sepenuhnya oleh semua rakyat beta di negeri Kedah Darul Aman ini,” titah baginda.

Islam agama bersifat universal di mana risalah agama yang suci tidak khusus bagi sesuatu generasi atau kaum tertentu sahaja sebagaimana berlakunya kepada umat terdahulu sebelum kedatangan Islam.

Islam itu agama persaudaraan yang diikat melalui akidah yang satu, iaitu kepercayaan kepada Allah dan RasulNya serta seluruh intipati ajaran Islam itu sendiri.

“Perpecahan yang berlaku di negara-negara luar seperti Iraq, Pakistan, India dan beberapa negara yang mengalami krisis kehancuran sewajibnya menjadi pengajaran kepada kita. Sehingga kini kita dapat lihat Baghdad masih bermandikan darah kerana tiadanya persefahaman di antara penduduk Sunni, Syiah serta Kurdish di Iraq,” titah baginda.

Rentetan dari situ, umat Islam terpaksa menghadapi dua jenis musuh, dari luar iaitu golongan kuffar, manakala hari ini kita terperangkap pula dengan musuh dalaman iaitu golongan yang tidak beramal dengan Ahlussunnah Wal jamaah.
“Tidak cukup dengan musuh dari luar Islam, masih juga ada umat Islam yang bersifat hipokrit yang mencipta pendapat, bersandiwara dan bertopeng di sebalik agama untuk kepentingan diri sendiri.

“Di rantau Nusantara ini kefahaman agama dan tahap pendidikan di kalangan umat Islam kelihatan masih cetek. Apabila kita berpecah maka dengan mudah bagi musuh Islam menembusi ikatan akidah yang terbina melalui amalan yang dipelajari di sekolah, maktab atau pondok yang melalui asuhan persaudaraan dan kekeluargaan,” titah baginda di hadapan lebih 1000 guru-guru agama, pegawai-pegawai masjid serta pendakwah-pendakwah.

Titah baginda lagi, fahaman yang tidak selari dengan prinsip-prinsip ajaran Quran dan sunnah amat berbahaya kerana berpontensi memecah-belahkan masyarakat di samping holeh memesongkan akidah umat Islam.
“Kita tidak boleh membiarkan segala bentuk kefahaman dan perbuatan songsang berkembang dalam masyarakat. Setiap individu Muslim bertanggungjawab melaksanakan dakwah bagi menjernihkan akidah Islam dan membasmi gejala-gejala mungkar di kalangan umat Islam,” titahnya.

Baginda kesal semenjak pasca perang salib berlaku perbalahan, bergaduh sesama sendiri, curiga dan tuduh menuduh dan mudah dilaga-lagakan termasuklah kerana permasalahan khilafiyyah.

Baginda menyeru  umat Islam yang berbeza pendapat dan fahaman politik harus berpegang pada kiblat yang satu ini, betapa Islam mementingkan penyatuan dan menerima orang Islam sebagai saudara.

“Perkara wajib dilakukan bagi mengekalkan kuasa dan kedaulatan Melayu Islam, bukan sahaja setakat kuasa politik tetapi juga untuk membina keupayaan ekonomi dan pendidikan,” titahnya.

Turut hadir di majlis itu Menteri Besar Kedah YAB Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak, Ahli-Ahli Exco Kerajaan Negeri, Setiausaha Kerajaan Negeri YB Dato’ Paduka Rasli Basir dan Mufti Negeri Kedah Dato’ Paduka Syeikh Muhamad Baderudin Haji Ahmad.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan