Oleh MUSLIM ABDUL RAZAK
ALOR SETAR – Kolej Universiti Insaniah (KUIN) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Kedah dan Islamic Development Bank (IDB) berusaha bagi menjadikan sistem wakaf di Negeri Kedah dipertingkatkan lagi agar seluruh umat Islam mendapat manfaat dari sistem ini.
Rektor Kolej Universiti Insaniah (KUIN), Profesor Dato’ Wira Dr Jamil Osman berkata, sistem wakaf di Malaysia masih belum digunakan dengan lebih meluas dan sitem wakaf yang ada kini selalunya hanya dikaitkan dengan pembinaan masjid sahaja.
Beliau berkata demikian semasa berucap di sidang media Langkawi Islamic Finance and Economic (LIFE), International Conference 3 di KUIN.
“Hasrat kita adalah agar konsep wakaf hari ini akan menjadi konsep ekonomi Islam yang terunggul.
“Contohnya sebuah negara yang menggunakan sistem wakaf ini adalah negara Mesir. Dengan sistem ini Universiti Al-Azhar Mesir, melahirkan ramai pelajar yang kebanyakkannya mendapat dana dari sistem wakaf,” ujarnya.
Katanya lagi, di Turki juga terdapat sekolah-sekolah yang berfungsi dan bergerak dengan menggunakan sistem wakaf ini. Jika konsep ini dapat dilaksanakan, keadaan ekonomi kita akan menjadi lebih baik.
Sementara itu, bagi merealisasikan matlamat ini, Kerajaaan Negeri dan KUIN akan melaksanakan LIFE 3 di Langkawi pada 28 hingga 31 Oktober ini.
“Perbincangan kali ini adalah lebih luas iaitu mengenai wakaf, zakat, sedekah dalam memperkasakan ekonomi ummah. Ianya juga membincangkan bagaimana cara bagi meningkatkan sistem perbankan Islam.
“LIFE kali ini akan membahagikan kepada tiga kumpulan iaitu kumpulan ulamak, kumpulan ahli akedemik serta kumpulan professional. Kumpulan ulamak akan menggunakan bahasa Arab, manakala kumpulan ahli akedemik dan professional akan mengunakan bahasa Inggeris,” katanya.
Tambah Dato Jamil, dengan terlaksananya perbincangan melalui tiga pihak ini maka berlakulah percantuman idea dan akan lahir pendapat yang lebih baik kerana golongan profesional bergantung kepada ulamak, dan golongan ulamak juga bergantung kapada golongan profesional.
Kali ini perserta-peserta yang akan hadir adalah tidak kurang dari 300 peserta dari 10 negara. Program kali ini juga mendapat tajaan dari, Syarikat Bina Darul Aman, Affin Bank, Bank Islam, dan CIMB Bank.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan