Home Klik Di Bawah

Khamis, 17 November 2011

Felcra serah balik tanah selepas 15 tahun



ALOR SETAR, 16 November 2011 – Felcra dengan persetujuan pemilik tanah mengadakan perjanjian menyerahkan tanah mereka kepada pihak Felcra untuk dimajukan dalam tempoh 15 tahun. Setelah cukup 15 tahun, tanah tersebut akan dipulangkan semula kepada pemilik sekiranya urusan kos penyelenggaraan, pembangunan dan lain-lain kos berkaitan selesai.

Demikian antara jawapan Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Pertanian dan Insdustri Asas Tani, Bioteknologi, Pembangunan Luar Bandar dan Basmi Kemiskinan, YB Dato’Amiruddin Hamzah bagi menjawab soalan dari YB Johari Abdullah  (Kupang – PAS), yang inginkan penjelasan berkaitan kedudukan tanah penduduk yang diserahkan kepada Felcra untuk dimajukan belum lagi diserahkan kepada pemilik walau pun telah melebihi tempoh 15tahun.

“Tetapi dalam kes tertentu melibatkan penanaman getah dan kelapa sawit yang ketika itu menghadapi masalah harga rendah, keuntungan hanya cukup membayar kos operasi dan dalam kes seumpama ini, tanah-tanah tidak dapat lagi dipulangkan kepada pemilik walau pun sudah sampai tempoh 15 tahun.

“Tetapi ada juga di setengah tempat, tanah dipulangkan semula kepada pemilik walau pun belum cukup tempoh tersebut kerana kos-kos operasi telah selesai dibayar,” jelas beliau.

Menurutnya lagi, terdapat dua kategori tanah yang terlibat iaitu tanah milik persendirian dan tanah milik kerajaan negeri yang diserahkan untuk diusahakan.  Penguasa atau pemilik tanah mendapat keuntungan kerana dari asal tanah yang kosong tetapi apabila diserahkan semula, ianya telah diusahakan dan boleh mengeluarkan hasil.

Sementara itu, ADUN Kupang juga inginkan penjelasan apakah tindakan kerajaan negeri membantu menyelesaikan masalah pemilik tanah yang tiada mempunyai masalah pembayaran tetapi masih belum diserahkan semula tanah mereka oleh Felcra.

Setakat ini jelas Amiruddin, kerajaan negeri tidak diberi penerangan secara terperinci mengenai kos-kos berkaitan penyelenggaraan dan operasi walau pun terdapat beberapa perjanjian dengan pihak  Felcra.
“Kerajaan negeri hanya dimaklumkan mengenai dividen tanpa penerangan terperinci mengenai perkara yang berkaitan kos-kos operasi. Cuma kita berharap perkara itu dapat diselesaikan segera untuk mengelakkan kos-kos yang sengaja ditinggikan,” jawab beliau
wartakedah

Tiada ulasan:

Catat Ulasan