Home Klik Di Bawah

Selasa, 1 November 2011

Fikir-fikirkanlah jika hutang atasi aset...

Oleh Lanh

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

 Renungan

 Barang siapa mengharap perjumpaan dengan Tuhannya, maka hendaklah dia mengerjakan amal salih dan janganlah dia mempersekutukan seorang pun dalam beribadat kepada Tuhannya." (Surah Al-Kahfi, ayat 109)

KETIKA ini salah satu kelas pengajian mingguan di masjid berhampiran rumah saya membicarakan bab faraid. Pelajaran bab ini sudah berlangsung beberapa minggu, mutakhir ini ustaz menerangkan bagaimana menguruskan harta pusaka si mati. Sebelum memfaraidkan harta pusaka oleh waris, perlulah dibereskan daripada harta si mati beberapa urusan seperti belanja mengurus jenazah, kemudian dibayar hutang kepada Allah (seperti fidyah puasa dan badal haji) serta hutang sesama manusia, kemudian diselesaikan harta sepencarian membabitkan isteri/suami dan apabila semua perkara-perkara berkaitan dapat dibereskan, barulah harta si mati dibahagikan mengikut hukum faraid.

  Ustaz itu kemudian memberikan contoh pengiraan pembahagian harta pusaka. Tidak menjadi masalah besar jika harta pusaka si mati mengatasi hutangnya tetapi apa akan terjadi jika hutangnya lebih banyak daripada harta yang ditinggalkan, tentunya pewaris akan 'pucat muka' dan terkebil-kebil biji mata mereka. Katakan si mati meninggalkan harta yang keseluruhannya bernilai RM500,000 tentunya pewaris seperti anak, isteri dan sebagainya menyangkanya banyak dan tertanya-tanya berapa yang akan mereka perolehi daripada bahagian masing-masing tetapi selepas disemak hutang si mati berjumlah RM600,000; pendeknya hutang lebih banyak daripada aset; apa akan terjadi selepas itu? Berputih matalah anak isteri.

  Tentunya waris tidak keruan, mereka sebenarnya bukan dapat harta pusaka, sebaliknya perlu membereskan hutang sebanyak RM100,000. Membereskan hutang itu tanggungjawab waris, tetapi apa akan terjadi jika waris tidak dapat membayarnya? "Menjadi kewajipan pihak berkuasa (seperti Baitulmal) untuk melangsaikannya," kata ustaz.

 Demikianlah dalam kehidupan ini, terutama pada zaman orang banyak berhutang sekarang ini seperti penggunaan pelbagai kad kredit, dikhuatiri seseorang itu meninggal dunia dalam keadaan mempunyai beban hutang yang terlalu banyak.

 Tentunya si mati 'sudah selamat' dimasukkan ke dalam kubur (dari sisi pandangan dunia) tetapi keluarga yang ditinggalkan akan menanggung bahana berpanjangan. Hakikatnya bukan saja keluarga saja yang menderita di dunia, si mati juga menghadapi 'masalah yang tersangat hebat' di alam barzakh disebabkan hutangnya itu apatah lagi mereka yang sengaja tidak mahu membayar hutang atau melengah-lengah atau mencari dalih mengelak diri daripada membayarnya.

 Sabda Rasulullah s.a.w. bermaksud: "Sesungguhnya sebesar-besar dosa di sisi Allah ketika seseorang hamba itu berjumpa dengan Allah nanti selepas dosa besar lain yang ditegah ialah seseorang lelaki yang berjumpa dengan Allah pada hari hisab dengan mempunyai hutang yang belum dijelaskan lagi." Sabda Baginda lagi, bermaksud: "Semua dosa orang yang mati syahid diampuni kecuali hutangnya." (Hadis riwayat Bukhari, Tarmizi, An- Nasai, dan Ibn Majah)

  Sekalipun ancaman terhadap orang berhutang adalah besar tetapi berhutang seolah-olah sudah menjadi budaya masyarakat kita. Hampir semua kegiatan jual beli berhutang. Beli rumah hutang. Beli kereta hutang. Beli televisyen hutang. Beli perabot hutang. Beli barangan runcit dan ikan pun hutang. Malah makan di warung pun hutang dengan ditulis dalam buku 555.

 Jadi tidak takutkah jika kita mati nanti meninggalkan aset banyak bernilai RM500,000 tetapi hutang kita sekeliling pinggang berjumlah RM600,000! Kita bukan menyenangkan anak isteri yang ditinggalkan sebaliknya menyusahkan mereka! Ya Allah, Kau ampuni dosa hamba-hambamu ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan