Oleh: ZULKIFLI YAHAYA
Menteri Besar Kedah, Dato' Seri Azizan Abdul Razak melahirkan rasa kecewa dengan keputusan Kerajaan Pusat yang tidak menyenaraikan negeri Kedah dalam Belanjawan 2012 berkaitan dengan peruntukan banjir.
Katanya Pusat sewajarnya memberi peruntukan untuk persiapan menghadapi banjir walaupun tidak mahu membina tebatan banjir. Perak yang jarang kedengaran peristiwa banjir pun dapat peruntukan, mengapa Kedah yang saban tahun dilanda banjir diketepikan.
Perdana Menteri tidak menjawab persoalan yang diajukan Menteri Besar sebaliknya Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir yang menjawab. Katanya, kerajaan negeri tidak perlu meminta dari Pusat sebaliknya gunakan hasil balak yang bertambah setiap tahun yang diumumkan oleh kerajaan negeri. Mukhriz bukan menjawab tapi niatnya hanya mahu menyindir.
Kenyataan yang angkuh itu menggambarkan bahawa BN tidak pernah merasa bahawa Kedah adalah negeri yang berada di bawah pentadbiran Pusat.
Awal November tahun lalu, Kedah dilanda yang paling buruk di mana tiga daerah iaitu Padang Terap, Kubang Pasu dan Kota Setar teruk terjejas sehingga membabitkan 40,000 penduduk. Bandaraya Alor Setar adalah antara yang tenggelam.
Kerajaan negeri berhempas pulas menyediakan bekalan makanan dan pra sarana awal bantuan untuk mangsa yang mencecah RM2 juta. Menteri-menteri pusat hanya turun selepas banjir hampir surut dengan membawa 'maki hamun' kepada kerajaan negeri kononnya negeri lembab dalam membantu mangsa banjir.
Apa salahnya sebagai persediaan awal tahun ini, Negeri memohon peruntukan Pusat. Duit yang diminta itu bukan duit dari tabung Umno atau duit dari jualan amal atau lelongan beg tangan dan cincin Rosmah Mansor. Duit yang diminta adalah cukai terkumpul yang dikutip dari rakyat jelata, termasuk rakyat negeri Kedah.
Hasil negeri Kedah memang bertambah setiap sejak sejak PR mengambilalih kerajaan. Hasil tanah turut bertambah sekalipun kerajaan kehilangan hasil RM50 juta setiap tahun akibat penurunan kadar cukai tanah. Tetapi semua pertambahan itu dipulangkan kepada rakyat.
Sewaktu BN menerajui kerajaan dulu tidak ada bantuan Kafalah RM500 setiap keluarga si mati yang layak, sekarang ada. Dahulu tiada bantuan untuk sekolah agama rakyat, bantuan pelajar masuk IPTA, bantuan guru agama sukarela, pertambahan RM50 untuk setiap penerima bantuan JKM, peruntukan kebudayaan pelbagai kaum dan sebagainya; atas nama kerajaan negeri tetapi sekarang semua itu dihulur oleh kerajaan negeri.
Dahulu sewaktu BN kerajaan negeri tidak membina pusat pengajian kerana semuanya dibuat menggunakan dana Pusat. Kini kerajaan negeri membina kampus induk Kolej Universiti Insaniah yang bernilai RM330 juta fasa pertama. Pusat enggan membantu walaupun satu sen hanya kerana negeri diperintah oleh kerajaan yang berlainan ideologi.
Sewaktu BN dulu banyak urusan kerajaan negeri dilaksanakan oleh agensi Pusat. Misalnya penerangan, program pembangunan insan, pelbagai program latihan, program belia dan wanita, pelancongan dan sebagainya. Kini banyak perkara yang Pusat tidak memberi kerjasama sehinggakan negeri terpaksa wujudkan sendiri. Ia juga melibatkan kos yang besar.
Sewaktu mula mengambilalih pentadbiran dahulu, jentera Penerangan Pusat yang biasanya turun membekalkan kemudahan logistik untuk program Menteri Besar tetapi memboikotnya hanya kerana peneraju kerajaannya bukan dari Umno BN. Kerajaan Negeri terpaksa mewujudkan Urusetia Penerangan yang melibatkan kos yang besar.
Memang hasil negeri bertambah sehingga mendapat pujian Ketua Audit Negara tetapi perbelanjaan juga besar.
Persoalan timbul, jika semua urusan menjaga kebajikan 1.9 juta rakyat Kedah diletakkan di bawah tanggungjawab Negeri, apa pula peranan dan tanggungjawab Pusat?
Baru-baru ini Menteri Pelancongan Ng Yen Yen menyalahkan kerajaan negeri ekoran kononnya kemerosotan kedatangan pelancong ke negeri ini. Di Kedah terdapat Majlis Tindakan Pelancongan yang terletak di bawah Pusat. Apa yang mereka buat untuk mempromosi pelancongam Kedah di mata dunia?
Isu besar dalam negara kita ialah konsep federalisme yang bukan tidak difahami tetapi sengaja diketepikan oleh Pusat lantaran keegoan dan kesombongan mereka akibat dari terlalu lama memegang kuasa. Penyelesaian terhadap kepincangan penghayatan federalisme itu ialah menamatkan kuasa politik BN di Pusat. Jadikan BN benar-benar Be End.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan