Home Klik Di Bawah

Khamis, 17 November 2011

Maahad Tahfiz Sains Pulau Tuba akan jadi kenyataan


ALOR SETAR, 16 November - Kedah mahukan seluruh rakyatnya berilmu pengetahun pelbagai bidang profesional. Ini atas kesedaran pembangunan ekonomi didorong oleh modal insan yang berpengetahuan dan berkemahiran.

Dalam ucapan Bajet 2012 Menteri Besar Kedah YAB Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak berusaha gigih memantapkan modal insan yang berpengetahuan dan berpegang teguh kepada ajaran Islam.

Katanya, kerajaan dan rakyat Kedah berbangga dengan Kolej Universiti Insaniah yang sekarang mempunyai 6,609 pelajar termasuk 1000 dari luar negara, kini menawarkan 44 program peringkat Ijazah dan Diploma. Pada hunujung 2012 para pelajar ini akan dipindahkan ke kampus induk di Kuala Ketil.

Sehubungan itu, Insaniah juga telah menyediakan semua persiapan untuk memulakan kursus perubatan pada tahun 2012 dengan sejumlah RM15 juta disediakan bagi membiayai kos operasi.

Selain itu Maktab Mahmud yang genap 75 tahun sebagai sekolah pilihan ibu bapa untuk menghantar anak-anak mereka belajar di sini. Kerajaan terus melengkap prasarana dengan membina asrama putera di Maktab Mahmud Pokok Sena dan bangunan akademik di Maktab Mahmud  Kulim serta menaik taraf bilik darjah 10 buah Maktab Mahmud semua daerah.

Untuk ini kerajaan menyalurkan sebanyak RM34.5 juta membiayai pengurusan dan pembangunan Maktab Mahmud.

Sementara itu, Maahad Tahfiz Sains Darulaman akan di bina di Pulau Tuba Langkawi iaitu sekolah menengah yang menggabungkan pembelajaran sains dan Tahfiz Al-Quran.

“Sekolah ini akan memulakan sesi persekolahan untuk pelajar tingkatan satu seramai 60 orang pada pada Januari 2012. Saya difahamkan sambutan di luar dugaan sama sekali hingga terpaksa diadakan proses pemilihan,” katanya.

Para pelajar ini akan ditempatkan di sekolah sementara di Kulim sehingga pembinaan yang dilaksanakan secara berperingkat-peringkat siap di Pulau Tuba dengan kos sebanyak RM3.5 juta.

Katanya kerajaan tidak mengabaikan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil dalam menjayakan apa-apa aktiviti dengan menyediakan peruntukan sebanyak RM 1 juta.

Untuk kemudahan  pembelajaran sejumlah RM2.1 disediakan bagi membiayai pinjaman anak-anak melanjutkan pelajaran ke IPTA peringkat Ijazah dan Diploma. Bagi tujuan ini seramai 3,235 telah menerima sumbangan melibatkan peruntukan sebanyak RM877,600 bagi tahun 2011.

Untuk menyediakan bahan bacaan ke arah menjadikan rakyat Kedah berilmu pengetahuan kerajaan juga menyediakan sejumlah RM5 juta kepada Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Kedah  untuk penyediaan bahan bacaan semua cawangan perpustakaan awam dan perpustakaan desa.

Kerajaan juga tidak lupa sekolah agama dan kanak-kanak pra-sekolah iaitu Taska milik kerajaan negeri. Oleh itu kerajaan menyediakan peruntukan sebanyak RM1.75  untuk pembelian buku teks dan peralatan mengajar dan sebanyak RM3.6 juta untuk guru KAFA bagi tahun 2012.
wartakedah

Tiada ulasan:

Catat Ulasan