Oleh Lanh
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat yang membawa kerosakan." - Maksud Ayat al-Quran Surah al-Israa': 32
KERJA wartawan adalah melapor. Melapor yang baik dan buruk. Bukan hanya melapor yang baik tetapi menyembunyikan yang buruk. Inilah amanah yang dipikulkan ke pundak wartawan dan dia bertanggungjawab untuk menjawabnya di dunia dan akhirat.
Mengkhianati amanah adalah antara 15 perkara yang menyebabkan Allah SWT murka dan membuka ruang kepada diturunkan bala, demikian maksud sebuah hadis. Disebabkan takut kepada amaran inilah, dengan rendah hati saya menukilkan hal Melaka Sentral ini.
Apabila dua kali hampir setiap hari ke stesen bas Melaka Sentral, mahu tidak mahu terpaksalah saya melaporkan apa yang saya saksikan dengan mata ini di terminal berkenaan.
Platform penumpang turun dan naik bas terutama di seksyen bas ekspres kini dalam proses baik pulih besar-besaran. Kebanyakan kerja dilakukan di sebelah malam disebabkan hanya satu dua perkhidmatan bas masih beroperasi ketika itu. Malah lewat malam, tiada bas beroperasi lagi.
Masalah besar di Melaka Sentral adalah lantainya sudah mendap. Mungkin masa dibangunkan dan disiapkan (2004) di atas tanah 46.6 ekar di Peringgit dengan kos RM53 juta, tanah payanya belum ‘cukup matang’ untuk dimulakan projek itu.
Jadi sekarang tanahnya beransur-ansur mendap, lantainya merekah teruk dengan jubinnya sudah tersembul dan pecah di sesetengah tempat. Kerosakan boleh dikatakan berlaku hampir di semua sisi perhentian bas berkenaan. Malah ada satu bahagian tanahnya sudah mendap terlalu teruk sehingga pasukan pembaik pulih terpaksa mengorek lubang dalam dan besar seluas 5 kaki kali 12 kaki.
Ketika memandang buruh-buruh asing bertungkus lumus meninggikan platform dan kemudian menambah binaan sisi bagi memadankan ketinggian dengan tangga bas, terasa sayu di hati ini, bagaimana bangunan cantik dan tersergam indah seperti Melaka Sentral yang baru enam tahun digunakan itu boleh mengalami kerosakan sedemikian teruk.
Jika bangunan itu diibaratkan rumah saya, tentulah saya naik darah kerana selepas habis puluhan dan ratusan ribu ringgit, rumah saya sudah rosak sedemikian rupa sedangkan ia baru saja digunakan. Tentu saja saya akan marahkan pemaju dan kontraktornya tidak akan memanggil mereka untuk menjayakan lagi projek-projek saya.
Ya, Melaka Sentral adalah bagai ‘rumah’ saya. Saya ‘sayangkannya’, tak teringin saya harta rakyat ini diperbuat sedemikian rupa. Seluruh rakyat, terutama orang Melaka perlu sayangkan Melaka Sentral kerana ia dibina atas duit jerih rakyat.
Mereka perlu marah kerana bangunan kesayangan mereka sudah jadi sedemikian rupa. Tidak marahkah anda jika rumah anda sudah rosak selepas baru saja anda duduki sedangkan duit pinjaman bank dan sebagainya masih banyak lagi berbaki untuk dibayar saban bulan? Penat anda belum habis, rehat anda belum terasa puas tetapi tempat kediaman hampir menyembah bumi!
Jika anda tidak marah, entahlah mungkin hati anda sudah keras (mati), tidak sensitif langsung, mungkin apabila rumah anda runtuh dan menimbus anda barulah anda baru sedar. Mungkin ketika itu tidak berguna lagi kerana anda sudah berada enam kaki dalam tanah. Ringkasnya, sudah matilah!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan