Home Klik Di Bawah

Isnin, 21 November 2011

Setiap Manusia Akan Merasainya.

http://www.iluvislam.com/pic/nurilla1/kematian.jpg


Keadaan di tanah perkuburan Wak-wak yang biasanya lengang kini dihadiri pengunjung. Nampaknya ada penghuni baru yang menghuni tanah perkuburan ini. Selepas selesai mengkebumikan jenazah Abdullah yang baru meninggal semalam, di bahagian atas tanah perkuburan Wak-wak, penduduk kampung yang terlibat pun mula mengatur langkah menuruni anak tangga ke kaki bukit. Ini kerana, tanah perkuburan Wak-wak terletak dikawasan bukit.

"Macam banyak pula orang meninggal sekarang ni kan Pak Man." Tanya Amin kepada lelaki yang sedang berjalan berdekatannya. Pada wajahnya lelaki itu jelas kelihatan jalur-jalur usia yang sudah semakin lanjut.

"Ya, Min." Jawab Pak Man yang sedang memikul cangkul yang digunakan untuk menggali kubur tadi, di bahunya.
"Sudah takdir Allah s.w.t, kita sebagai hamba-Nya kena terima ketentuan-Nya."


"Ya Pak Man." Amin dengan nada yang muram.

 Pengalaman pertama kali menggali kubur, membuatkannya berfikir dan merenung tentang nasib dirinya. Hari ini dia menggali kubur untuk orang lain, mungkin esok, orang lain pula akan menggali kubur untuknya.
Aziz yang berjalan di belakang Pak Man dan Amin mempercepatkan sedikit langkahnya. Ingin turut serta dalam perbualan Amin dan Pak Man.

"Terkenal juga abang Abdullah ni ya, Pak Man." Kata Aziz. Kagum melihat orang ramai yang pergi ke pengkebumian Abdullah.


"Ramai sangat orang, lain daripada biasa. Tidak pernah saya lihat depan mata ramai orang ziarah pengkebumian macam ni."


"Ya. Ramai itu memang ramai. Tapi sayangnya, tidak ramai yang dapat mengambil iktibar daripadanya." Pak Man melontarkan kata-katanya. Kata-kata yang diluahkan daripada pengalaman yang sudah lama terkumpul.

"Maksud Pak Man?" Amin mengerut dahi. Bajunya yang dibasahi peluh ketika menggali kubur tadi sudah semakin kering.

"Ramai daripada kita melihat orang meninggal dunia, menziarahi kematian. Tapi dia seakan-akan lupa dengan kematian. Melihat orang lain meninggal dunia, tidak membuatkannya terfikir atau merenung untuk bersedia menghadapi kematian dirinya. Amalnya tidak bertambah, dia tetap hanyut dengan dunia." Jawab Pak Man sambil tertunduk. Kelihatan daripada raut wajah Pak Man kebimbangan dan kegusaran. Bimbang memikirkan nasib dirinya yang sudah semakin tua. Tentu ajal sudah semakin dekat dengannya.

"Rasulullah s.a.w pernah bersabda bahawa apabila mati seorang anak Adam, maka akan terputuslah segala amalannya melainkan tiga perkara, sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat yang diajarkan kepada orang lain, lalu diamalkan, dan doa seorang anak yang soleh." Amin menyebutkan mahfum sebuah hadis shahih yang dihafal olehnya.

"Di dunia inilah sahaja tempat kita beramal. Selepas kehidupan ini, tidak ada lagi amalan yang kita boleh lakukan untuk bekalan kita menuju akhirat. Kita hidup di dunia ini bukan suka-suka, tapi ada tujuannya. Untuk beribadah kepada Allah s.w.t. Hidup kita ini umpama sebuah perjalanan jauh yang melalui beberapa persinggahan."

Pak Man meluahkan kata-kata renungan dan nasihat. "Sekarang ini, kita sedang berada di dunia. Salah satu daripada persinggahan untuk mengumpul bekalan dalam menempuh perjalanan yang cukup jauh. Amat jauh. Apabila kita telah pergi perhentian seterusnya, maka tiada cara lagi untuk berundur semula."

Amin dan Aziz mendengar dengan teliti, cuba menyelami dan menghayati pengertian yang tersurat dan tersirat dalam ucapan Pak Man.

"Kalau kita tidak menggunakan peluang yang kita ada ini dengan sebaik-baiknnya, maka akan rugilah kita. Benar-benar akan rugi." Pak Man menambah sambil menggeleng-gelengkan kepalanya.
Aziz dan Amin diam mendengar kata-kata itu. Pak Man sememangnya seorang yang banyak berfikir dan banyak hikmah. Sesuai dengan usianya yang sudah semakin lanjut. Aziz dan Amin masing-masing merenung diri. Adakah mereka termasuk di kalangan orang yang lalai yang disebutkan Pak Man. Lupa kepada kematian dan leka dengan dunia.

"Pak Man ini sudah semakin tua..." Keluh Pak Man, tetapi dia tidak menghabiskan kata-katanya. Suaranya kedengaran sebak. Dia terdiam, tidak sanggup untuk meneruskan ucapannya. Terasa berat.

"Ajal manusia itu tidak tentu Pak Man. Tiada siapa yang tahu bila ajal akan menjemput. Muda atau tua bukan penentunya. Bayi dalam kandungan pun boleh meninggal." Kata Amin sebagai peringatan bersama.

"Ya, betul juga." Pak Man mengangkat wajahnya memandang ke langit yang kebiru-biruan. "Hidup di dunia ini, kita tidak boleh leka. Sebagaimana kita buat persiapan untuk dunia kita pada esok hari, maka sebegitulah juga kita perlu berusaha untuk akhirat kita seandainya kita mati esok."
"Sebagaimana kata Rasulullah s.a.w, berusahalah untuk dunia kamu seakan-akan kamu akan hidup selamanya, dan berusahalah untuk akhirat kamu seolah-olah kamu akan mati esok." Aziz menyebutkan sebuah hadis.

"Eh, Aziz, itu bukan hadis Nabi s.a.w lah!" Amin berkata pantas.

"Oh, betulkah?" Aziz mengerut dahi. Ini kali pertama dia mendengar orang menafikan apa yang disebutkannya tadi adalah hadis.
"Tapi kenapa banyak orang cakap macam tu?"


"Banyak orang cakap tak semestinya betul. Perkataan itu memang terkenal dalam masyarakat, tapi ianya bukan hadis Nabi s.a.w. Syeikh Al-Albani menyebutkan ianya tidak mempunyai asal, yakni hadis palsu dalam kitabnya, Silsilah Ahadith Adh-Dhaifah wal Maudhu'ah!" Jelas Amin dengan yakin. "Hadis palsu tu maksudnya hadis yang direka-reka lalu disandarkan kepada Rasulullah s.a.w secara dusta."


Syeikh Al-Albani adalah seorang ulama hadis kontemporari yang berasal daripada Albania. Beliau lahir pada tahun 1914 dan meninggal dunia pada tahun 1999. Pernah menjadi tenaga pengajar dalam bidang hadis di Universiti Islam Madinah selama tiga tahun, ketua Dirasah Islamiyah dan Fakulti Pasca Sarjana di sebuah perguruan tinggi di Jordan.

Beliau telah mendapat anugerah penghargaan tertinggi daripada Arab Saudi atas jasa-jasanya berupa King Faisal Foundation. Beliau mempunyai banyak karya yang bermanfaat kepada umat Islam, seperti Silsilah Ahadith Ash-Shahihah, Silsilah Ahadith Adh-Dhaifah wal Maudhu'ah, Tamam Al-Minnah Fi At-Ta'liq 'Ala Fiqhus Sunnah dan banyak lagi.

"Owh, jadi hadis palsu ni tak boleh gunakan?"


"Ya." Jawab Amin. "Nabi Muhammad s.a.w mengancam, barang siapa yang berdusta atas nama baginda s.a.w dengan sengaja, maka dia telah menyediakan tempat duduk bagi dirinya dalam Neraka!"


Aziz menelan air liur mendengar kata-kata Amin. Terkejut.

"Jadi, macam mana dengan aku?" Tanya Aziz dengan nada yang bimbang.

"Dulu kau tak tahu, tak apalah. Sekarang kau dah tahu, janganlah gunakan kata-kata tu lagi. Kalau kau guna pun, jangan katakan ianya adalah hadis daripada Rasulullah s.a.w." Amin cuba menenangkan kebimbangan jelas tergambar di wajah Aziz.

Aziz menarik nafas lega mendengar pernyataan tersebut. Pak Man tersenyum mendengar perbualan Amin dan Aziz. Kepandaian dan kecerdasan anak muda yang bernama Amin itu cukup mengagumkannya. Meskipun baru berumur 20 tahun lebih, tetapi dia mempunyai pengetahuan yang baik dalam agama. Pak Man, Amin dan Aziz sudah semakin jauh meninggalkan perkuburan. Sepanjang perjalananm balik ke rumah masing-masing, mata mereka disajikan dengan kehijauan yang menyenangkan mata.

"Setiap yang hidup pasti akan merasai mati..." (Surah Al-Anbiya': 35)
iluislam

Tiada ulasan:

Catat Ulasan