Home Klik Di Bawah

Isnin, 26 Disember 2011

ASMA UL-HUSNA: Makna & Kegunaannya - Bahagian 2

Dari Abu Hurairah ra bahawa Nabi saw bersabda: "Sesungguhnya Allah mempunyai 99 nama, iaitu 100 kurang satu. Siapa yang menghafalnya akan masuk syurga." Sahih Bukhari.


51. Ya Syahiid - Maha Menyaksikan
  • Apabila ada dikalangan anggota keluarga kita yang suka membangkang dan sebagainya, maka zikirkan sebanyak 319 kali secara berterusan setiap malam sehingga si pembangkang akan sedar & berubah perangainya.

52. Ya Haq - Maha Benar

  • Perbanyakkan zikir ini, Insya Allah ianya sangat berfaedah sekali untuk menebalkan iman & taat di dalam menjalankan perintah Allah.

53. Ya Wakiil - Maha Berserah

  • Sekiranya terjadi hujan yang disertai ribut yang kuat, atau terjadi gempa, maka ketika itu perbanyakkan zikir ini, Insya Allah bencana tersebut akan menjadi reda & kembali seperti sediakala.

54. Ya Qawiy - Maha Memiliki Kekuatan

  • Diamalkan zikir ini sebanyak mungkin agar kita tidak gentar apabila berdepan dengan sebarang keadaan mahupun berdepan dengan si zalim.

55. Ya Matiin - Maha Sempurna Kekuatan-Nya

  • Diamalkanlah zikir ini sebanyak mungkin kerana ianya mempunyai fadhilat yang besar sekali, antaranya untuk mengembalikan kekuatan sehingga musuh merasa gentar untuk mengganggu.

56. Ya Waliy - Maha Melindungi

  • Barangsiapa yang menjawat sebarang jawatan atau kedudukan, maka amatlah elok sekali mengamalkan zikir ini sebanyak mungkin kerana dengan izin-Nya, kedudukan kita akan kukuh & terhindar dari sebarang gangguan oleh orang-orang yang bersifat dengki.

57. Ya Hamiid - Maha Terpuji

  • Perbanyakkan zikir ini sebagai pengakuan bahawa hanya Allah sahaja yang paling berhak menerima segala pujian.

58. Ya Muhshiy - Maha Menghitung

  • Sekiranya kita inginkan diri kita digolongkan dalam pertolongan yang selalu dekat denganAllah (muraqabah), maka amalkan zikir ini sebanyak mungkin sesudah solat 5 waktu.

59. Ya Mubdi' - Maha Memulai/Pemula

  • Agar segala apa yang kita rancangkan akan berhasil, maka zikirkan sebanyak 470 kali setiap hari. Insya Allah.

60. Ya Mu'id - Maha Mengembalikan

  • Andai ada anggota keluarga yang menghilangkan diri dan sebagainya, amalkan zikir ini sebanyak 124 kali setiap hari sesudah solat. Insya Allah dipertunjukkan akan hasilnya.

61. Ya Muhyiy - Maha Menghidupkan

  • Amalkan zikir ini sebanyak 58 kali setiap hari, Insya Allah kita akan diberikan kemuliaan darjat dunia & akhirat kelak.

62. Ya Mumiit - Maha Mematikan

  • Barangsiapa memperbanyakkan zikir ini, Insya Allah akan dipermudahkan dalam perniagaan, berpolitik dan sebagainya.

63. Ya Hayyu - Maha Hidup

  • Untuk mencapai kekuatan mental/batiniah di dalam menjalani kehidupan, perbanyakkanlah zikir ini.

64. Ya Qayyuum - Maha Berdiri Dengan Sendiri-Nya

  • Telah berkata Imam Ghazali bahawa barangsiapa yang ingin memperolehi harta yang banyak lagi berkat, ingin dikasihi oleh setiap manusia, ingin berwibawa, ditakuti musuh dan ingin menjadi insan yang terhormat, maka berzikirlah dengan "Ya Hayyu Ya Qayyuum" sebanyak 1,000 kali setiap malam atau siang hari. Hendaklah melakukannya secara berterusan, Insya Allah akan tercapai segala hajat.

65. Ya Waajid - Maha Menemukan

  • Andai berkeinginan keperibadian yang kukuh, tidak mudah terpengaruh dan teguh pendirian, maka perbanyakkan zikir ini.

66. Ya Maajid - Maha Mulia

  • Demi kecerdasan otak dan agar dipermudahkan hati untuk menerima pelajaran, maka hendaklah pelajar tersebut memperbanyakkan zikir ini setiap hari.

67. Ya Waahid - Maha Esa

  • Bagi pasangan yang belum mempunyai cahaya mata & tersangat ingin untuk menimangnya, amalkanlah zikir ini sebanyak 190 kali setiap kali selesai menunaikan solat 5 waktu selama satu bulan & selama itu juga hendaklah berpuasa sunat Isnin & Khamis, Insya Allah.

68. Ya Somad - Maha Diminta

  • Ketika dalam kelaparan akibat sesat atau kesempitan hidup, maka pohonlah kepada Allah dengan zikir ini sebanyak mungkin. Insya Allah, diri akan berasa segar dan sentiasa.

69. Ya Qaadir - Maha Kuasa

  • Apabila kita berhajatkan sesuatu namun ianya selalu gagal, maka amalkan zikir ini sebanyak 305 kali setiap hari, Insya Allah segala hajat akan berhasil.

70. Ya Muqtadir - Maha Menentukan

  • Agar tercapai tujuan yang dikehendaki, selain dari berikhtiar secara lahariah, maka berzikirlah dengan zikir ini seberapa mampu sehingga ikhtiar kita itu berhasil kerana zikir ini akan mempercepatkan keberhasilan hajat kita.

71. Ya Muqaddim - Maha Mendahulukan

  • Menurut Imam Ahmad bin Ali Al-Buuniy, beliau berkata "Barang siapa yang berzikir dengan zikir ini sebanyak 184 kali setiap hari, Insya Allah, nescaya segala usahanya akan berhasil".

72. Ya Mu'ahkhir - Maha Melambat-lambatkan

  • Bagi meninggikan lagi ketaatan kita kepada Allah, perbanyakkanlah zikir ini.

73. Ya Awwal - Maha Pemulaan

  • Barangsiapa yang mengamalkan zikir ini sebanyak 37 kali setiap hari, Insya Allah segala apa yang dihajati akan diperkenankan Allah.

74. Ya Akhir - Maha Penghabisan

  • Amalkan berzikir sebanyak 200 kali sesudah solat 5 waktu selama satu bulan, Insya Allah Tuhan akan membuka pintu rezeki yang halal.

75. Ya Dhaahir - Maha Menyatakan

  • Diamalkanlah zikir ini sebanyak 1,106 kali selesai solat waktu di tempat yang sunyi (khalwat), nescaya Allah akan membuka hijab padanya dari segala rahsia yang pelik dan sukar serta diberi kefahaman ilmu.

76. Ya Baathinu - Maha Tersembunyi

  • Seperti no. 75 juga tetapi amalkan sebanyak 30 kali sesudah solat fardhu.

77. Ya Waaliy - Maha Menguasai Urusan

  • Memperbanyakkan zikir ini setiap pagi & petang boleh menyebabkan seseorang itu menjadi orang yang makrifat, iaitu hatinya dibuka oleh Allah. Difahamkan para wali Allah selalu memperbanyakkan zikir ini.

78. Ya Muta’aAliy - Maha Suci/Tinggi

  • Sekiranya kita akan berjumpa dengan mereka yang berkedudukan tinggi atau mereka yang sukar untuk ditemui, maka bacalah zikir ini sebanyak mungkin sewaktu mengadap. Insya Allah dengan mudah kita akan berjumpa dengannya & segala hajat yang penting-penting akan berhasil.

79. Ya Barr - Maha Bagus (Sumber Segala Kelebihan)

  • diamalkanlah zikir ini sebanyak mungkin setiap hari, InsyaAllah segala apa yang kita hajati akan terlaksana dengan mudah.

80. Ya Tawwaab - Maha Penerima Taubat

  • Bagi orang yang selalu membuat dosa & ingin bertaubat maka hendaklah memperbanyakkan zikir ini supaya dengan mudah diberikan petunjuk kembali ke jalan yang lurus.

81. Ya Muntaqim - Maha Penyiksa

  • Jika kita berhadapan dengan orang yang zalim, supaya dia tidak melakukan kezalimannya terhadap kita, maka hendaklah kita memperbanyakkan zikir ini setiap kali sesudah solat fardhu. Insya Allah, kita akan mendapat pertolongan Allah.

82. Ya 'Afuww - Maha Pemaaf

  • Barangsiapa memperbanyakkan zikir ini, nescaya dia akan diampuni segala dosanya oleh Allah.

83. Ya Rauuf - Maha Mengasihi

  • Bagi sesiapa yang inginkan dirinya disenangi oleh teman atau sesiapa sahaja yang memandangnya, amalkan zikir ini seberapa mampu sama ada pada waktu siang mahupun malam.

84. Ya Maalikul Mulk - Maha Pemilik Kekuasaan

  • Seseorang pengarah atau ketua yang ingin kedudukan yang kekal & tetap tanpa
    diganggu gugat, hendaklah selalu mengamalkan zikir ini sebanyak 212 kali sesudah solat fardhu & 212 pada setiap malam selama sebulan. Insya Allah akan mendapat pertolongan Allah.

85. Ya Zul Jalaali wal Ikraam - Maha Pemilik Keagungan dan Kemuliaan

  • Diamalkanlah zikir ini sebanyak 65 kali setiap hari selama sebulan, Insya Allah segala hajat kita akan tercapai dengan pertolongan Allah.

86. Ya Muqsith - Maha Mengadili

  • Berzikirlah dengan zikir ini mengikut kemampuan, InsyaAllah Tuhan akan menganugerahkan sifat adil kepada mereka yang mengamalkannya.

87. Ya Jaami’ - Maha Mengumpulkan

  • Sekiranya ada dikalangan keluarga kita atau isteri kita yang lari dari rumah, maka amalkanlah zikir ini sebanyak mungkin pada setiap hari dengan niat semoga Allah menyedarkan orang tersebut. Dengan izin Allah orang yang lari itu akan pulang dalam jangka waktu yang singkat.

88. Ya Ghaniy - Maha Kaya Raya

  • Diamalkan zikir ini pada setiap hari sebanyak mungkin, Insya Allah apa yang kita usahakan akan cepat berhasil & kekayaan yang kita perolehi itu akan mendapat berkat.

89. Ya Mughniy - Maha Penberi Kekayaan

  • Mintalah kekayaan yang bermanfaat untuk kehidupan dunia & akhirat kepada Allah dengan memperbanyakkan zikir ini, Insya Allah segala hajat kita akan tercapai.

90. Ya Maani' - Maha Membela/Menolak

  • Andai kita selalu mengamalkan zikir ini sebanyak 161 kali pada waktu menjelang solat subuh setiap hari, Insya Allah kita akan terhindar dari orang-orang yang zalim & suka membuat angkara.

91. Ya Dhaarr - Maha Pembuat Bahaya

  • Asma ini sangat berguna didalam ikhtiar kita untuk menyembuhkan sesuatu penyakit yang mana sudah lama dihidapi & telah puas dihidapi & telah puas diubati. Amalkanlah zikir ini sebanyak 1001 kali pada setiap hari, Insya Allah dengan ikhtiar ini penyaki itu akan cepat sembuh.

92. Ya Naafi' - Maha Pemberi Manfaat

  • Menurut Imam Ahmad Al-Buuniy, barang siapa mengamalkan zikir ini setiap hari, maka bagi orang yang sakit, sakitnya akan sembuh, & bagi orang yang susah akan dihilangkan kesusahannya dengan izin Allah.

93. Ya Nuur - Maha Pemberi Cahaya

  • Menurut Sheikh Ahmad bin Muhammad As Shawi, barangsiapa yang menghendaki kemuliaan yang agung & memperolehi apa yang dimaksudkan baik kebaikan dunia mahupun kebaikan di akhirat kelak, maka hendaklah selalu berzikir dengan zikir ini setiap pagi & petang.

94. Ya Haadiy - Maha Pemberi Petunjuk

  • Bagi sesiapa yang dalam perjalanan ke suatu tempat tertentu, kemudian ia tersesat, hendaklah ia memohon petunjuk Allah dengan memperbanyakkan zikir ini, Insya Allah akan diberikan pertolongan Allah akan cepat lepas dari kesesatan tersebut.

95. Ya Baadii - Maha Indah/Tiada Bandingan

  • Andai kita mempunyai rancangan yang sangat penting dan bagi memastikan rancangan kita itu berjaya & berjalan lancar, maka berzikirlah dengan zikir ini sebanyak 500 kali selepas solat fardhu. Insya Allah Tuhan akan memberikan pertolongan hingga rancangan kita berjaya & berjalan lancar.

96. Ya Baaqy - Maha Kekal

  • Diamalkan zikir ini sebanyak mungkin tanpa mengira batas waktu, Insya Allah dengan ikhtiar ini semua perkerjaan yang telah menjadi punca rezeki tidak akan mudah terlepas, perniagaan tidak akan rugi atau bankrap dengan berkat zikir ini.

97. Ya Waarits - Maha Membahagi/Mewarisi

  • Sekiranya kita berzikir sebanyak 500 kali selepas solat fardhu atau sebagainya, supaya segala urusan kita itu berjalan lancar, maka hendaklah pada setiap malam berzikir dengan zikir ini sebanyak 707 kali. Insya Allah berkat zikir ini Allah akan memberi petunjuk sehingga usaha kita akan berhasil dengan baik & memberangsangkan.

98. Ya Rasyiid - Maha Pandai/Bijaksana

  • Walaupun kita tergolong dalam golongan yang cerdas otak, namun biasakanlah zikir ini sebanyak mungkin, nescaya otak kita akan menjadi bertambah cerdas.

99. Ya Shabuur - Maha Penyabar

  • Agar kita diberi kesabaran oleh Allah dalam segala hal, maka perbanyakkanlah zikir ini menurut kemampuan. Dengan sifat sabar & penuh pengharapan kepada Allah, maka segala usaha & upaya akan mencapai kejayaan.


**(Fadhilat ini dipetik dari tajuk buku "Khasiat Asmaul-Husna & Himpunan Ayat-Ayat Al-Quran", susunan : Abu Nur Husnina, keluaran Pustaka Ilmi)




jejakajiwang

Tiada ulasan:

Catat Ulasan