Home Klik Di Bawah

Isnin, 5 Disember 2011

Insya'Allah UMNO akan hancur lebur lepas PRU13 macam Komunis di Soviet Union


 Perhimpunan Agung UMNO kali ini yang terakhir?

 Pemimpin Libya Muammar Ghadafi menjelang hari-hari terakhirnya di persada kuasa bersumpah akan mempertahankan kerajaannya hingga ke titisan darah terakhir. Tetapi kematiannya agak tragis kerana dikeronyok dan dibunuh sewaktu cuba bersembunyi ketika melarikan diri.

Dua bulan menjelang kejatuhan Hosni Mubarak di Mesir semua media milik negara masih memaparkan perihal pemimpin tua itu kononnya masih mendapat sokongan padu dari rakyat jelata. Ke mana Presiden Mesir itu pergi dia diraikan macam hari ini rakyat Malaysia meraikan Datuk Seri Najib Tun Razak. Apabila Hosni dijatuhkan, ramai rakyat Mesir sendiri berkata, “Semalam bagaikan satu mimpi, beliau masih disanjung seolah-olah kuasanya tiada berpenghujung.”

Banyak lagi para pemimpin Arab edisi lama telah dijatuhkan dengan kuasa rakyat. Mereka berkuasa dengan kemegahan dan jatuh dengan penuh kehinaan. Macam juga pemimpin legenda Arab, Saddam Hussien. Kali pertama Amerika menyerang Iraq beliau berkata, “Ibu segala peperangan telah bermula.” Kata-kata keramatnya yang tidak dapat dilupakan tentulah tekadnya menjadikan bumi Iraq sebagai “kubur besar tentera Amerika.”

Hari ini giliran pemimpin Syria, Bashir Al-Assad pula melakukan jeritan retorik sambil bergelut dalam nafas nazak kekuasaannya. Cakapnya tetap besar, angkuh dan seolah-olah boleh terus pertahankan persada kuasa untuk seribu tahun lagi.

Naik dan jatuh bukan perkara pelik dalam politik. Ia macam hidup dan mati, setiap yang hidup pasti akan merasa mati. Sejak Allah menjadikan Nabi Adam a.s. tiada satu kuasa dunia yang tidak pernah berakhir. Tapi yang menarik untuk diteliti ialah teriakan terakhir menjelang kehancuran kuasa mereka.

Hari ini apabila kita mengikuti ucapan para pemimpin Umno dalam perhimpunan agung mereka, ia mengingatkan kita akan tingkahlaku para pemimpin negara Arab yang hilang kuasa membuat ‘teriakan terakhir’. Mereka kononnya masih mampu untuk menang besar di Pusat di samping menawan kembali Kedah, Kelantan, Pulau Pinang dan Selangor serta menang mutlak di Perak.

Sekalipun teriakan retorik dan bombastik dibuat untuk cuba meyakinkan ahli-ahli mereka agar terus berjuang namun ia tidak dapat menyembunyikan rasa gusar akan kehilangan kuasa di Pusat. Najib mengerahkan tiga juga ahli Umno agar berjuang habis-habisan dalam PRU13 kerana ia menentukan hidup mati Umno. Naib Presiden Umno, Dato’ Zahid Hamidi meminta ahli Umno tidak menganggap mudah PRU ke 13. Ia satu cabaran yang sangat getir. Ketua Pemuda, Khairy Jamaludin mengancam ahli Umno bahawa parti itu tiada pilihan selain dari menjadi kerajaan dan tidak mampu untuk menjadi pembangkang. Ayatnya itu sangat menakutkan para pemimpin Umno.

Selepas 54 tahun berkuasa dan selepas 12 pilihanraya umum dilalui, Umno bagai berada di hadapan bilik gantungan, menunggu hakim mahkamah rayuan menarik balik hukuman gantung atau meneruskannya.

Terdapat empat faktor utama yang semua orang tahu mengapa Umno yang mendekatkan Umno dengan kehilangan kuasanya di pusat. Faktor yang paling utama ialah, Umno berkuasa terlalu lama. Bukan setakat tiga, empat penggal tetapi 12 penggal. Bukan setakat 10, 20 tahun tetapi 54 tahun! ‘Terlalu lama’ adalah faktor yang tidak perlu diperincikan, cukup untuk memberitahu bahawa terlalu lama akan membangkitkan rasa muak, bosan dan benci rakyat.

Faktor kedua ialah hilangnya sokongan bukan Melayu secara besar-besaran yang selama ini golongan tersebut menjadi talian hayat Umno. Umno pernah kehilangan sokongan majoriti orang Melayu dalam PRU tahun 1999. PAS memperolehi 27 kerusi di semua kerusi majoriti Melayu. KeADILan yang baru dilahirkan ketika itu juga menang di semua kerusi majoriti Melayu. Tapi BN masih mampu mempertahankan majoriti dua pertiga kerana sokongan pengundi bukan Melayu. Hari ini sokongan orang Melayu terhadap Umno tidaklah sepadu mana, manakala undi bukan Melayu sudah beralih dari BN secara besar-besaran.

Faktor ketiga, perpecahan dalaman Umno yang teruk. Apabila semua pemimpin Umno dari semua peringkat menyebut dan mengingatkan perkara yang sama berulangkali, maka ia bermakna penyakit perpecahan sudah menjadi barah dalam Umno, tak mampu diubati lagi.

Faktor keempat ialah penolakan secara besar-besaran pengundi muda terhadap Umno mutakhir ini. Ia dibantu oleh sikap anti establishment terhadap ‘barang lama’ yang menjadi naluri mana-mana golongan muda di dunia ini. Di samping peranan media baru yang membantu golongan tersebut mendapat maklumat kedua. Hari ini golongan muda adalah penghuni utama media maya. Mereka mendapat pelbagai maklumat yang tidak tersiar dalam Utusan Malaysia dan TV3. 40 peratus pemilih yang akan membuat keputusan dalam PRU13 nanti ialah golongan muda. Ia sangat menakutkan BN.

Secara peribadi, saya sangat yakin insya Allah buat pertama kali dalam sejarah negara, Umno/BN akan tumbang di Pusat. Apabila Umno kalah di Pusat maka rangkaian parti mereka di seluruh negara akan musnah satu demi satu macam berkuburnya parti komunis di Soviet Union selepas Mikail Gorbachev dijatuhkan. Mengapa? Kerana Umno tidak mempunyai kekuatan di akar umbi. Mereka kuat dan gagah selama ini kerana berkuasa sebagai sebuah kerajaan di Pusat. Mereka memperalatkan semua jentera kerajaan untuk gerakerja parti. Umno tiada markaz cawangan di kampung-kampung, hanya bertenggek di balairaya atau pejabat Kemas milik kerajaan. Umno bahagian dan cawangan tidak perlu mencari sumber dana sendiri kerana duit datang dari atas. Ia berbeza dengan PAS.

Satu lagi, apabila Umno kalah di Pusat maka wakil rakyat mereka yang menang akan berpusu-pusu melompat menyertai parti yang memerintah kerana benar ucapan Khairy Jamaludin, Umno tidak mampu menjadi pembangkang. Jadi ada logiknya Umno akan berkubur selepas PRU13 dan perhimpunan agung kali ini adalah yang terakhir sebelum dunia qiamat.

Oleh: ZULKIFLI YAHAYA/KedahLa

Tiada ulasan:

Catat Ulasan