Home Klik Di Bawah

Selasa, 20 Disember 2011

Resepi GULAI IKAN TALANG MASIN orang utara PUNYA!


 Dah masuk waktu makan tengahari. Gulai ni sangat popular di utara. Di masak juga sebagai menu kenduri.
Saya masak gulai ni macam yang arwah mak saya ajar . Hmmm gulai ikan masin ni favorite arwah abah masa kami tinggal di Jitra dulu memang gulai ikan masin ni adalah salah satu menu wajib di rumah saya sebulan sekali mesti ada lah tapi abah saya suka guna ikan masin kurau yang bertulang .

Agak mudah cara nak masak gulai ikan masin , tumis saja macam biasa cuma last sekali saya buat tumis darat bebrapa bahan dan saya curahkan keatas kari yang dah masak ni .

Masa tahun 1988-89 masa saya belajar masak kari ni , mak saya guna rempah khas untuk kari udang dan ketam cap Adabi cuma sekarang ni ada lagi ka saya pun tak pernah nak cari atau pun Adabi dah tak keluarkan rempah kari tu .


BAHAN-BAHAN :

500 grm ikan talang masin - rendam selama 1 jam
1 biji nenas
4 cawan santan pekat
2 biji terung bulat sederhana besar - dipotong 4
Garam dan asam jawa secukup rasa


BAHAN-BAHAN UNTUK TUMISAN :

1 peket rempah kari ikan
2 cm halia
3 biji bawang merah
2 ulas bawang putih
1 sudu kecil halba campur
1 ranting daun kari

BAHAN-BAHAN TUMIS DARAT :

3 biji bawang merah-dimayang nipis-nipis
1 ranting daun kari

* Jika kuah terlalu pekat tambah sedikit saja air.

CARA MEMASAK :

Bersihkan kepingan ikan talang masin dan rendam selama 1 jam untuk buang garam . Beli nenas yang sedang elok maksudnya jangan terlalu muda atau terlalu masak kiranya . Kupas dan bersihkan nenas ini dan potong ( nanti lain kali saya tunjuk cara potong nenas ini ) buah nenas tak perlu dibelah hanya potong menyerong jadi berkeping-keping macam sengkuang tu anggaran ketebalan dalam 1 cm dan lebar dalam 15 cm . Bila dah potong jadi macam kepingan-kepingan dan tak payah ambil bahagian empulur yang keras tu .

Kupas kulit semua bawang dan halia serta dimayang halus . Panaskan 3-4 sudu besar minyak untuk menumis dan tumiskan semua bawang , halia , halba campur dan daun kari . Bila bawang dah layu dan wangi boleh la dimasukkan rempah kari dan air asam jawa . Kacau dan biarkan semua bahan mendidih dan rempah kari terbit minyak itu tandanya rempah kari dah masak .

Bila rempah sudah masak boleh la dimasukkan semua santan serta kacau kuah dan biarkan sampai kuah mendidih kemudian boleh la dimasukkan semua kepingan ikan masin serta nenas dan kacau sekejap . Jika kuah terlalu pekat atau sedikit boleh la ditambahkan sedikit air lagi. Kemudian dimasukkan terung tadi dan kacau sekejap , boleh dirasa garam jika sudah masin tak perlu ditambah garam .

Biarkan kuah mendidih dan ikan masin masak dan terung dah empuk , boleh lah ditutup api . Panaskan 3 sudu besar minyak baru dalam kuali dan tumis semua bawang merah tadi dengan sedikit daun kari bila bawang sudah menjadi warna kekuningan coklat tapi jangan terlalu garing , terus tuang semua bawang dan daun kari ni bersama minyak tadi ke dalam periuk berisi gulai ikan masin tadi dan tutup tudung periuk . Ini la di katakan tumis darat , kari ikan masin ini akan jadi sangat wangi dan lebih sedap sesuai buat teknik ini untuk kari ketam .

resepisedap-nenni


 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan