Mengakui hati masing-masing terpaut lewat perkenalan selama setahun menerusi BBM (Blackberry Messenger), penyanyi, pelakon, pengarah, penerbit, Yusry Abd Halim dan aktres jelita Lisa Surihani akhirnya telah mengambil keputusan untuk mengakhiri perhubungan cinta mereka dengan majlis pernikahan yang akan berlangsung selepas Asar pada 23 Februari 2012 ini di Masjid Tuanku Mizan, Putrajaya dan Majlis Resepsi akan berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 26 Februari dalam satu majis yang serba sederhana.
Pengumuman istimewa daripada pasangan romantis ini telah berlangsung dalam sebuah suasana tenang dan damai setenang dan seindah lokasi majlis yang diadakan di Marriott Hotel & Spa, Putrajaya sebentar tadi.
Dihadiri oleh oleh kedua ibu bapa Yusry, Encik Abdul Halim dan isteri, Puan Zarina Fenner disertai abang sulung, Norman Abd Halim serta ibu Lisa, puan Siti Amira Ahmad, terdahulu Yusry mengumumkan pada malam semalam keluarga Yusry telah bertandang ke rumah Lisa untuk menghantar tanda.
Walaubagaimanapun, Yusry menjelaskan majlis serba sederhana namun penuh adat itu secara teknikalnya bukanlah majlis pertunangan, hanya sebagai simbolik bahawa dirinya sudah ‘booking’ si dara sunti.
Lisa turut menjelaskan bahawa majlis yang berlangsung pagi ini bukanlah untuk menunjuk-nunjuk atau bertujuan untuk mengembar-gemburkan kisah mereka sebaliknya hanya mahu berlaku adil pada semua pihak media memandangkan sebelum ini sudah berjanji akan memberitahu kepada semua pihak bila sampai masanya kelak.
“Semalam 23 Disember 2012, pihak keluarga saya telah berjumpa keluarga Lisa untuk menghantar tanda. Kami tidak bertunang sebaliknya hanya terus bernikah pada 23 Februari 2012,
“Kami memilih tarikh tersebut memandangkan angka 23 adalah angka spesial buat Lisa yang lahir pada 23 Mac jadi biarlah hari tersebut sesuatu yang istimewa buatnya dan juga pada kami,” ujar Yusry lagi.
Lisa pula menambah bahawa tarikh menghantar tanda dan pernikahan tersebut bukanlah dipilih semata-mata angka 23 itu begitu dekat pada dirinya, sebaliknya menghormati hari tersebut yang berlangsung pada malam Jumaat (Khamis) sekaligus mengambil keberkatan hari tersebut.
Yusry dan Lisa walaubagaimanapun tidak mahu perkahwinan mereka dicanang sebagai ‘Wedding of the Year’ kerana kedua-dua pasangan sama cantik sama padan ini tetap pada nawaitu mereka yang berkehendakkan hari bahagia mereka berlangsung dalam majlis penuh sederhana, hanya majlis pernikahan dan majlis resepsi kedua belah pihak yang dilakukan secara serentak di PICC.
“Saya seboleh-bolehnya mahu sebuah majlis yang serba sederhana saja. Saya bukanlah seorang yang terlalu memkirkan sangat mengenai perkahwinan impian bagaimana yang saya nakkan, saya tidak cerewet dalam bab-bab majlis persandingan, kerana apa yang penting bagi saya adalah pernikahan bukan majlis persandingan gilang gemilang,” ujar Lisa merendah diri.
Tambah Yusry lagi, mereka belum menetapkan sebarang tema mahupun konsep majlis resepsi mereka yang hanya mengambil masa dua bulan untuk disempurnakan itu memandangkan belum duduk semeja membincangkan urusan persediaan perkahwinan mereka lagi.
Ketika ditanya apakah yang membuatkan Yusry terpaut sayang pada Lisa sehingga nekad melamarnya menjadi suri hidup buat kali kedua selepas perkahwinannya yang terdahulu bersama Erra Fazira, Yusry dengan sikap tenang namun memandang buah hati disebelah yang sudah tersipu-sipu malu berkata, Lisa adalah seorang yang caring dan menyayanginya sepenuh jiwa sama seperti perasaannya terhadap Lisa.
“Seperti yang katakan, perhubungan ini berlandaskan sebuah ‘perhubungan matang’, kami mula berkenalan di antara satu sama lain menerusi BBM. Bila sudah sering berbual-bual, berkongsi pandangan, barulah kami saling mengenali peribadi masing-masing.
“Saya mengambil masa yang agak lama untuk membawa Lisa bertemu keluarga, dan bila saya bawa dia bertemu keluarga saya, saya melihat dia seorang yang mesra dan tidak sampai setahun dia boleh get along dengan semua ahli keluarga saya. Apa yang berlaku sangat-sangat semulajadi, tiada tentangan daripada keluarga dan saya selesa dengan perhubungan ‘matang’ ini,” jelas Yusry lagi.
“Seperti yang Yusry katakan tadi, kami berkenalan menerusi BBM, berbual-bual dan bertukar pandangan mengenai industri hiburan dalam dan luar negara, banyak yang kami bualkan dan dari situ saya mula kenal dan meminati peribadi Yusry,
“Yusry bukan seperti kebanyakan lelaki yang akan ‘mengayat-ayat’ pada awal perkenalan, dia seorang yang gentleman,” ujar Lisa pula ketika ditanya apa faktor yang membuatnya memilih Yusry sebagai suami.
Menyentuh mengenai khabar angin yang mengatakan pihak Astro telah mendapat hak penyiaran sepenuhnya untuk menyiarkan majlis persandingan mereka kelak, Yusry menyatakan yang dia tidak menafikan mahu mengesahkan berita tersebut memandangkan semuanya masih dalam perbincangan dan semua urusan tersebut diserahkan sepenuhnya kepada pihak pengurusan kedua belah pihak iaitu Metrowealth dan KRU Studios.
“Mengenai hal tersebut, apa yang saya boleh katakan adalah Lisa adalah wajah eksklusif Astro, jadi sama ada majlis kami nanti disiarkan atau tidak, kami masih belum memberi sebarang keputusan dan saya menyerahkan semuanya kepada pihak pengurusan kami untuk membuat sebarang keputusan,” ujar Yusry.
Sementara itu, ibu Yusry, puan Zarina pula ketika ditanya pendapatnya mengenai perhubungan anaknya dengan Lisa menyatakan, dia seringkali bertanya pada Yusry bila hendak bawa Lisa datang ke rumah, namun setiap kali itu jugalah Yusry akan menjawab hanya membawa Lisa apabila benar-benar pasti.
“Setiap kali saya tanya dia akan cakap, “nanti, nanti, tunggu betul-betul confirm baru bawa”, sehinggalah pada suatu hari Lisa datang ke rumah, saya terkejut melihatnya boleh mesra dengan setiap ahli keluarga saya, daripada yang kanak-kanak sehinggalah ke orang tua. Dan dari situ saya terbuka hati menerimanya sebagai menantu,” akui puan Zarina atau mesra disapa Auntie Z.
Ketika ditanya sama ada Lisa akan meneruskan atau meninggalkan kerjaya seni selepas bergelar isteri, aktres kacukan Melayu – Bugis berusia 25 tahun ini terkedu seketika sambil memandang ‘abang’ di sisi sambil genggaman tangannya yang satu lagi tidak lepas menggenggam genggaman si ibu yang setia di sisi menemani. Bak seorang isteri yang taat, Yusry mengangguk lalu mengosok lengan Lisa seraya Lisa menjawab,
“Insyaallah kalau ada rezeki dan diizinkan abang, saya masih lagi meneruskan kerjaya seni sebab saya suka dengan karier saya. tapi kita tengoklah semuanya bagaimana nanti,” ujar Lisa.
“Saya mengenali dan menyayangi Lisa sebagai Lisa dan selepas kahwin, saya akan menerimanya seadanya,” ujar Yusry perbualan.
ohbulan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan