Home Klik Di Bawah

Isnin, 23 Januari 2012

Resepi Kuih Seri Muka Paling Mudah dan Sedap



Saya memang minat kuih seri muka ini. So timbullah idea membuat panduan resepi kuih seri muka. “Mak, macam mana nak buat kueh seri muka nie”. Nasib baiklah emak masih ada dan sudi memberi tunjuk ajar. Terus terang saya belum pernah membuatnya sebelum ini. Sebab di hotel dulu kuih muih di order dari pihak luar. Yelah kalau buat sendiri memang tak laratlah. Dengan bermacam-macam desert, bun dan kek yang nak disiapkan.

Menurut emak saya, arwah ayah yang selalu buat untuk jualan di pasar malam. Alhamdulillah first trial saya buat, berjaya. Senang je rupanya. he.he.he.. Langkah-langkahnya pun simple sahaja. Ok jom kita belajar membuatnya. Tapi resepi ini telah saya ubah suai supaya mudah, sedap dan senang disiapkan. Semua nak senang kan.



bahan-bahan kuih
Inilah di antara bahan-bahan yang akan digunakan dalam membuat resepi kuih seri muka. Beras pulut, santan, tepung gandum, tepung ubi, gula dan telur. Semuanya mudah dibeli di hypermarket. Dalam tutorial ini saya akan menggunakan santan kotak. Tapi kalau nak lebih sedap, gunakanlah santan fresh yang diperah.

Bahan-Bahan dan Cara Membuat Lapisan Bawah (Pulut)

lapisan atas seri muka 

Bahan-bahan Lapisan Bawah (pulut)
500gm Beras Pulut
300gm Air
150gm santan pekat
1 sudu besar garam (garam memang guna satu sudu besar ya)
4 sudu besar minyak

Langkah 1: Basuh beras pulut terlebih dahulu. Kemudian campur semua bahan-bahan lapisan bawah ke dalam loyang dan kacau hingga sama rata dengan sudu. Seterusnya masuk ke dalam periuk pengukus dan kukus selama 30 minit. Gunakan api yang sederhana. Biasanya untuk penutup pengukus, kita balut dengan kain untuk mengelakkan air menitis ke dalam loyang.
.


Bahan-Bahan dan Cara Membuat Lapisan Atas

lapisan bawah kueh seri muka
Bahan-Bahan Lapisan Atas
150gm Tepung Gandum
4 Sudu Besar Tepung Ubi
4 Biji Telur
180gm Gula Pasir
450gm Santan Pekat
350gm Air Paip
2 cubit garam
Pewarna Hijau

Langkah 2: Sementara menunggu lapisan bawah (pulut) masak. Campur kesemua bahan-bahan lapisan atas ke dalam bekas dan pukul sehingga gula hancur sahaja. Boleh guna mixer atau whisk atau senduk sahaja. Yang penting kacau hingga sebati dan gula hancur. Untuk pewarna, anda boleh letak seberapa banyak yang anda mahukan. Letak sikit-sikit pewarnanya sehingga warnanya menarik. Nak lagi bagus guna pes pandan.
.

padatkan
Langkah 3: Apabila lapisan bawah (pulut) masak dalam lebih kurang 30 minit. Keluarkan loyang dan tekan pulut dengan belakang sudu atau senduk sehingga ia mampat dan padat. Kena betul-betul padat ya. Kalau lapisan bawah pulutnya kurang masak pun tidak mengapa kerana akan dikukus lagi.
.

campur lapisan atas
Langkah 4: Tuang adunan lapisan atas ke dalam loyang yang berisi pulut yang telah dipadatkan. Kemudian kukus sekali lagi dalam masa 1 jam.
.

siap
Langkah 5: Selepas 1 jam masak, bolehlah dikeluarkan. Ok gambar disebelah kiri tu, kuih seri muka yang baru masak. Ia kelihatan seperti lembik dan berair sedikit. Jangan risau kerana selepas dibiarkan sejuk, ia akan keras seperti gambar di sebelah kanan tu. Ada sedikit gelembung pada permukaan kueh seri muka kerana pulut kurang dipadatkan atau dimampatkan. So udara di dalam pulut akan naik ke atas.

kuih seri muka
Inilah kuih seri muka yang siap untuk dihidangkan. Mudah bukan cara membuat resepi kuih seri muka ini. Kalau nak lebih sedap gunakanlah santan fresh. Nak senang macam saya, gunakan santan kotak, sedap juga sebenarnya. Selamat mencuba.

hairul

Tiada ulasan:

Catat Ulasan