Home Klik Di Bawah

Ahad, 22 Januari 2012

Suhakam Pandang Berat Universiti Gantung Pelajar

Suhakam Pandang Berat Universiti Gantung Pelajar

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) semalam menyuarakan pandang berat terhadap keputusan universiti menggantung pengajian pelajar yang menyuarakan pendapat dengan dakwaan mereka telah memburukkan nama universiti dan mengganggu ketenteraman awam.

Pengerusinya, Tan Sri Hasmy Agam berkata, tindakan sedemikian bukan sahaja menyekat hak asasi pelajar malah bertentangan dengan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk meminda Akta Universiti dan Kolej Universiti (1971)(AUKU).
Katanya, cadangan pindaan tersebut antara lain akan membenarkan pelajar universiti berumur 21 tahun ke atas menggunakan hak kebebasan mereka bersuara, berhimpun dan berpesatuan dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan dan Perisytiharaan Hak Asasi Manusia Sejagat.

“Kesedaran terhadap ekonomi, sivil dan politik di kalangan pelajar universiti perlu dilihat secara positif bagi melengkap dan menambah pendidikan dan latihan formal sedia ada di universiti.

“Sebarang sekatan tidak munasabah ke atas penggunaan hak dan pengalaman berkenaan akan menidakkan pendidikan serta pengalaman yang amat penting dalam perkembangan mereka sebagai pemimpin masa depan,” kata Hasmy dalam satu kenyataan di sini.

Beliau berkata, pihaknya mengalu-alukan rundingan awal antara Kementerian Pengajian Tinggi dengan suruhanjaya itu, wakil pelajar dan pihak lain berkepentingan mengenai peruntukan kontroversi dalam AUKU.
“Pihak Suruhanjaya berharap rundingan awam dan dialog terbuka selanjutnya dapat diadakan yang akan membolehkan pelajar memperoleh lebih banyak hak dan kebebasan.

Pada 9 Januari lepas, penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Adam Adli Abd. Halim yang bertindak menurunkan bendera yang memaparkan wajah Perdana Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah digantung pengajiannya tiga semester.


bernama


Tiada ulasan:

Catat Ulasan