Home Klik Di Bawah

Isnin, 6 Februari 2012

Cara Meninggalkan Maksiat Batin (PENYAKIT HATI)

Saya perturunkan di bawah ini petikan-petikan dari kitab berikut untuk renungan kita bersama. 



Muka depan kitab "Bidayatul Hidayah (Permulaan Jalan Hidayah)" karangan Imam al-Ghazali, terjemahan Abu ala Albanjari al-Nadwi (Ahmad Fahmi bin Zamzam) 
Cetakan Kelima - 2007.
"Ketahuilah bahawanya sifat yang tercela yang ada di dalam hati itu banyak sekali dan menyucikan hati daripada kekotoran itu berhajat kepada usaha yang berterusan. Manakala cara mengubatinya pula sangat susah dan telah hilang pula ilmu dan amal (yang mesti diikuti untuk membersihkan hati) kerana orang telah melupakannya dan mereka terlalu sibuk dengan menghimpunkan perhiasan dunia.

Dalam hal ini Rasulullah saw bersabda:

"Ada tiga sifat yang dapat membinasakan seseorang: sifat bakhil yang dipatuhi, hawa nafsu yang diikuti dan merasa bangga dengan diri sendiri"

'Ujub, takabbur dan merasa bangga dengan diri sendiri adalah satu penyakit hati yang sangat susah diubati dan 'ujub itu ialah memandang kepada diri sendiri dengan pandangan kemuliaan dan kebesaran dan memandang terhadap orang lain dengan pandangan penghinaan. Dan alamat yang nampak pada lidah orang yang 'ujub itu ialah ia selalu mengatakan aku begini begini, aku begini seperti perkataan iblis (kepada Allah ketika ia tidak mahu sujud kepada Nabi Adam Alaihissalam)

أَنَا۟ خَيۡرٌ۬ مِّنۡهُ خَلَقۡتَنِى مِن نَّارٍ۬ وَخَلَقۡتَهُ ۥ مِن طِينٍ۬

Surah Al-Araf ayat 12.

Maksudnya: aku lebih baik daripadanya (Adam) kerana Engkau menjadikan aku daripada api dan Engkau menjadikannya daripada tanah.

Dan alamat yang nampak bagi orang yang 'ujub itu di dalam majlis orang ramai ialah ia selalu suka mengangkatkan dirinya dan menganggapnya lebih berkebolehan daripada orang lain dan ia suka menonjolkan diri di dalam perbincangan dan tidak senang kalau ada orang lain menolak pendapatnya. Dan orang yang takbur tidak senang apabila ia diberi nasihat dan mengkasarkan bahasa kalau ia memberi nasihat kepada orang lain, maka sesiapa yang menganggap dirinya lebih baik daripada orang lain maka orang itu bersifat takbur dan sebaiknya hendaklah engkau mengetahui bahawa orang yang sebenarnya baik itu ialah orang yang baik di sisi Allah dan masalah ini tiada siapa yang mengetahuinya kerana ia tertakluk kepada 'khatimah' (akhir umur seseorang) maka iktikad mu di dalam diri mu bahawa engkau lebih baik daripada orang lain adalah berpunca daripada kejahilan semata-mata.

Sepatutnya janganlah engkau melihat kepada seorang kecuali engkau melihat bahawa ia adalah lebih baik di sisi Allah daripada engkau dan ia mempunyai beberapa kelebihan atas dirimu. Maka jika engkau melihat orang yang lebih muda daripada mu maka hendaklah engkau berkata (di dalam hati):

"budak-budak ini belum pernah lagi membuat maksiat kepada Allah sedangkan aku sudah banyak berbuat maksiat maka tidak syak lagi bahawa ia lebih baik daripada aku"

Dan apabila engkau melihat orang yang lebih tua daripada mu maka hendaklah engkau berkata:

"orang yang ini menyembah Allah lebih dahulu daripada ku maka tidak syak lagi bahawa ia lebih baik daripada aku"

dan apabila engkau melihat orang yang 'alim maka hendaklah engkau berkata:

"orang yang 'alim ini telah dikurniakan kepadanya bermacam-macam pemberian yang tidak dikurniakan kepada ku dan ia telah sampai ke martabat yang aku tidak sampai kepadanya dan ia mengetahui perkara yang tidak aku ketahui maka betapa aku sama dengannya" 

dan apabila engaku melihat orang yang jahil maka hendaklah engkau berkata:

"orang yang jahil ini berbuat maksiat akan Allah dengan kejahilannya tetapi aku mengerjakan maksiat berserta dengan ilmu ku maka Allah boleh berhujjah ke atas diri ku dan aku belum tahu lagi bagaimana aku akan mengkahiri kehidupan ku".

dan apabila engkau melihat orangyang kafir maka hendakalah engkau berkata:
 
"aku belum tahu lagi boleh jadi jadi nanti ia masuk Islam lalu ia mengakhiri hidupnya dengan 'husnul khatimah' (mati dalam keadaan baik atau beriman) dan dengan sebab dia masuk Islam ia telah keluar daripada dosa-dosanya seperti keluarnya sehelai rambut daripada bancuhan (adunan) roti sedangkan aku - waliazubillah (mudah-mudahan Allah memelihara kita) - boleh jadi berubah menjadi sesat setelah mendapat pertunjuk maka aku menjadi kafir dan kehidupan ku akan di akhiri dengan "suul khatimah' (mati dalam keadaan kafir) maka orang kafir ini pada hari kiamat nanti akan dikumpulkan bersama dengan orang-orang yang muqarrabin sedangkan aku akan disiksa di dalam api neraka. Nauzubillah hi min zalik"

Maka sifat takabur tidak akan keluar daripada hati mu kecuali bila engkau mengetahui bahawasanya orang yang sebenarnya mulia itu ialah orang yang mulai di sisi Allah dan masalah ini tertakluk kepada "al-khatimah" (kesudahan daripada kehidupan seseorang) sedangkan perkara ini masih belum dapat diyakinkan. Maka (apabila engkau berfikir demikian) nescaya hatimu sentiasa akan takut dengan 'al-khatimah' sehingga engkau tidak berani membesarkan diri dan engkau terpaksa banyak membuat andaian terhadap orang lain walaupun sekarang ini engkau yakin dan beriman kepada Allah namun keadaan ini tidak menghalang kemungkinan berlakunya perubahan-perubahan pada pendirianmu paga suatu masa yang akan datang kerana Allah berkuasa merubah-rubah hati manusia dan ia dapat memberi hidayat kepada sesiapa sahaja yang Ia kehendaki dan Ia berkuasa pula menyesatkan siapa sahaja yang dikehendakiNya"

~ SELAMAT MENYAMBUT MAULIDUL RASUL ~
al-lavendari.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan