Home Klik Di Bawah

Isnin, 6 Februari 2012

Pelabuhan kargo akan dibina di Yan

Pelabuhan Klang
ALOR SETAR, 1 Februari 2012 – Negeri Kedah tidak lama lagi mempunyai pelabuhan yang pesat apabila sebuah pelabuhan kargo akan dibina di pantai Yan.



Menteri Besar Kedah, YAB Dato’ Seri Diraja Ustaz Azizan Abdul Razak berkata, pada bulan Mac ini akan diadakan perjanjian persefahaman (MoU) dengan sebuah syarikat yang terkenal di Malaysia bagi membina sebuah pelabuhan baru di Pulau Bunting, Yan.


Beliau berkata demikian semasa berucap di Sambutan Tahun Baru Cina 2012 di Dewan Perhimpunan Cina, di Jalan Tunku Bendahara.

“Pelabuhan yang akan dibina ini akan digunakan untuk tujuan kargo.

“Selain itu, pada dasarnya kerajaan negeri dan pusat telah bersetuju untuk membina jalan dari Gurun ke Pulau Bunting serta jalan kereta api dari Kobah ke pulau tersebut,” terangnya.

Tambah beliau lagi, ianya adalah antara satu perancangan yang selari dengan projek kereta api berkembar yang sedang dibina dari Ipoh, Perak ke Komeng, Thailand.

Jika projek ini dapat dilaksanakan pada tahun ini maka ianya akan menyediakan banyak peluang pekerjaan dan peniagaan kepada orang ramai.

“Manakala, pada bulan Februari ini pula, satu MoU lagi akan diadakan dengan syarikat tersebut mengenai projek saluran paip minyak dari Jerlun ke Songkla, Thailand.

“Walaupun ianya adalah kejayaan yang orang ramai tidak tahu tetapi ianya merupakan sebuah kejayaan yang sedang kita kecapi,” katanya.

Beliau turut berterima kasih kepada kerajaan pusat kerana memberikan kerjasama kepada kerajaan negeri walaupun berbeza fahaman politik.

Warta Kedah

Tiada ulasan:

Catat Ulasan