Home Klik Di Bawah

Ahad, 4 Mac 2012

Solat Mencegah Kemungkaran.


Setiap muslim wajib menunaikan solat. Walau di mana kita berada dan berbagai halangan yang kita hadapi solat tetap wajib dilaksanakan. Namun, Islam tidak pernah memberatkan setiap muslim dalam perlaksanaan ibadah. Ini bersesuaian dengan sifat dan ciri-ciri Islam iaitu tetap dan anjal. Tetap dari sudut prinsip kewajipannya dan anjal dari sudut cara pelaksanaannya. Andainya seseorang menghadapi masalah dan halangan seperti sakit, maka solat boleh dilaksanakan mengikut kadar kemampuannya. Jika dia tidak boleh berdiri, maka solat boleh dilakukan secara duduk. Jika tidak mampu untuk duduk, maka ia boleh dilakukan secara baring. Lihatlah betapa Allah bersifat pengasih dan belas terhadap hambaNya. 
 
 Benarkah solat boleh mencegah kemungkaran ? Mengapakah ada di antara mereka yang menunaikan solat tetapi masih melakukan kemungkaran dan dosa ? Persoalan-persoalan ini seringkali bermain di fikiran manusia. Sehinggakan ada di antara mereka yang merasa sangsi dengan keupayaan solat dalam merawat rohani dan fizikal manusia.

Mari kita renungkan... Memang benar ada di antara mereka yang melaksanakan solat tetapi masih tega melakukan kemungkaran. Perkara ini tidak dinafikan. Namun tahukah anda bahawa solat boleh dikategorikan kepada 4 . Mari kita lihat solat yang bagaimanakah yang mampu mencegah diri pelakunya dari melakukan kemungkaran.
4 kategori solat   :

         1.  Solat al-Jahilin (solat orang-orang yang jahil )
                              - Tidak mengetahui fungsi solat
                              - Tidak menghayati solat
                              - Tidak mengetahui bacaan solat
                              - Melaksanakan solat sekadar melepas batuk di tangga

         2.   Solat al-'Adiyyin  ( Solat orang kebanyakan / biasa )
                              -  Melakukan solat sekadar menunaikan kewajipan
                              - Tidak mencapai tahap khusyuk
                              - Tidak menghayati fungsi solat

        3.   Solat al-'Arifin   ( Solat orang yang mengetahui )
                              - Mengetahui rukun solat dan bacaannya
                              - Mengetahui rukun dan syarat sah solat
                              - Memahami bacaan dalam solat

        4.    Solat al-Khasyi'in ( solat orang-orang yang khusyuk)
                              - Solat ini adalah pada tingkatan tertinggi.
                              - Mengetahui bacaan solat
                              - Memahami fungsi solat
                             - Menghayati pelaksanaan solat sehingga timbulnya ihsan dalam diri.
                             - Jiwa mencapai ketenangan dan kesejahteraan

Solat bagi kategori 1 dan 2 tidak dapat menjamin diri dari melakukan kemungkaran. Solat bagi kategori  3 juga masih belum dapat menghindari kemungkaran kerana individu tersebut masih belum betul-betul khusyuk dan memahami erti solat. Ia sangat bergantung kepada kawalan diri dari melakukan dosa dan maksiat. Manakala solat bagi kategori ke 4 dapat menjamin diri dari melakukan maksiat dan dosa. Individu ini akan merasa takut untuk melakukan kemungkaran kerana takutkan kemurkaan Allah.
aqmaralbi.
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan