Home Klik Di Bawah

Jumaat, 23 Mac 2012

Ujian Itu Keuntungan

Mengharapkan keredhaan Allah bukanlah suatu yang mudah buat mana-mana manusia yang benar-benar menuntut kasih dan sayang dari sang pencipta. Keredhaan Allah itu adalah hak untuk setiap manusia mendapatkannya,  namun ia hanya benar-benar layak untuk hamba-hamba yang runtun hati dan jiwanya hanya untuk diserahkan kepada Allah.



Setiap manusia mahu mendapatkan yang terbaik untuk hidup mereka. Ramai yang sedar bahawa hidup di dunia ini hanyalah sementara sebelum manusia dihidupkan semula di akhirat kelak. Namun buat insan yang benar-benar menuntut keredhaan Allah jalan perjuangannya tidak akan dihiasai dengan perkara yang indah, sebaliknya Allah akan mengujinya dengan pelbagai ujian dan dugaan yang bakal menguji keikhlasannya dalam perjuangan.

Apakah perjuangan yang dimaksudkan?

Perjuangan itu begitu luas konsep dan maknanya, apatah lagi perjuangan adalah matlamat yang tersemat di hati para syuhada yang inginkan syahid dalam setiap pekara yang dilakukan. Meskipun begitu, menuntut ilmu juga ialah perjuangan yang perlu dipikul oleh setiap manusia yang  bergelar pelajar. Tidak kiralah seseorang itu adalah pelajar sekolah rendah ,menengah atau sudah begelar mahasiswa sekalipun. Semua itu adalah termasuk dalam golongan orang yang sedang berjuang mencari martabat ilmu dan pastinya ia mendapat tempat yang tinggi di sisi Allah.

Tewas sebelum berjuang?

Di alam mahasiswa khususnya , tidak ramai yang benar-benar mencapai kejayaan yang sebenar. Setiap pejuang yang begelar mahasiswa akan diuji sepenuhnya dalam liku-liku perjalanannya sepanjang menuntut ilmu. Ujian yang datang dari Allah itu akan hadir dalam belbagai-bagai bentuk ujian antaranya ialah diuji dengan kesempitan wang di universiti, diuji dengan bebanan tugasan yang banyak, diuji dengan hati yang lalai kepada cinta ,ada juga yang diuji dengan kesakitan, kematian insan tersayang dan pelbagai lagi bentuk ujian yang diturunkan Allah kepada  hamba-hambaNya.

Setiap insan yang diuji  oleh Allah dengan ujian-ujian tadi selalunya akan merungut, berputus asa malah ada yang mengambil jalan mudah dan singkat bagi menghadapi setiap ujian tadi dengan perkara yang dilarang syarak. Kekurangan wang misalnnya membuatkan seorang mahasiswa yang tidak berfikir panjang medapatkan wang dengan cara yang mudah dan singkat seperti menipu , melabur wang ke dalam pelaburan yang haram dan ada juga yang mengambil jalan pintas dengan sanggup mengorbankan diri menjadi pemuas nafsu kepada manusia-manusia yang kering kontang iman dan ketaqwaannya. Contoh manusia seperti inilah yang dikatakan tewas sebelum berjuang biarpun di atas pentas konvokesyen nanti gred yang diperolehi mendapat anugerah dari pihak universiti. Semua itu bukan lagi bermakna dan dianggap kejayaan kerana manusia seperti ini sudah pun tewas di pertengahan jalan perjuangannya.

Mengapa aku diuji?

” arghh, kenapalah tuhan tidak adil kepada aku”….kenapa aku diuji sebegini sedangkan manusia lain tidak..tension betul..”

Sememangnya buat jiwa dan hati yang tidak cekal dengan ujian yang diberikan akan terus menyalahkan fitrah dan norma kehidupan. Lebih parah ada yang menyalahkan Allah sebagai pembeban  kepada hidup mereka. Manusia diuji kerana dirinya sudah mendapat perhatian di pandangan Allah, tetapi pandangan yang bagaimana? Pandangan itu ialah pandangan kasih dan sayang pencipta kepada hambanya. Beruntunglah manusia yang sering diuji kerana hidupnya mendapat perhatian dari Allah yang maha mengatahui mengapa ujian itu diberikan.

Bayangkan anda dihimpunkan bersama-sama seluruh penduduk dunia di padang masyar, dalam keramaian manusia tadi tiba-tiba nama anda dipanggil Allah untuk menjadi tetamu syurga. Beruntunglah si pemilik nama tadi yang untungnya tiada tandingan walaupun seberat bulan , matahari dan bumi. Begitulah juga dengan konsep ujian tadi, manusia yang diuji adalah manusia yang mendapat perhatian dari Allah. Dalam berbilion penduduk bumi tetapi hanya satu nama yang mendapat perhatian untuk diuji dengan ujian yang tertentu. 

Bukankah itu adalah satu keuntungan buat manusia yang diuji tadi? Dengan ujian tadi Allah akan mengangkat martabat hambanya jika dia ikhlas dalam menempuh bebanan yang diamanahkan kepadanya.Sebagai seorang hamba juga kita perlu ingat, ujian yang diterima oleh kita tidak akan sama dengan insan yang lain. Jika kita merasa diri sudah dipikul dengan ujian yang berat sebenarnya masih ramai yang diuji dengan ujian yang hebat dan berat.

Pimpinlah Daku

“Mereka itulah yang mendapat petunjuk dari Tuhan mereka,dan merekalah orang-orang yang beruntung” Surah Al-Baqarah 2:5

Hayatilah ayat diatas tadi, sesungguhnya janji Allah adalah benar-benar belaka dan tiada dusta. Allah menjanjikan buat hamba-hambanya yang beramal soleh dengan keuntungan yang tiada nilainya di bumi ini.
Buatmu teman seperjuangan,andai sebelum ini hatimu sering mengeluh dengan ujian yang diturunkan kepadamu maka muhasabahlah segera niatmu dalam menuntut ilmu.

Apa yang kita cari sebenarnya semasa menutut ilmu? wanita, kedudukan,kekayaan atau sebaliknya? Apakah kita tidak merasa untung bila mendapat perhatian dari Allah? Apakah kita akan mudah menyerahkan segalanya sebelum kita benar-benar menamatkan perjuangan yang sebenar di dunia ini. Bukan kita sahaja diuji, sebaliknya setiap manusia akan diuji dengan bemacam-macam jenis ujian yang berbeza.  Hanya masa dan takdir yang akan menentukan samada kita ini benar-benar seorang pejuang atau sebaliknya. Renungkan…
 iluvislam.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan