Home Klik Di Bawah

Khamis, 5 April 2012

Fakta Hari Ini - Sarapan Pagi Kuatkan Otak

 
 Petua orang tua-tua, untuk kekal sihat dan langsing, mesti jadikan sarapan sebagai amalan. Lebih awal waktu sarapan, lebih baik. Orang dulu bercakap berdasarkan pengalaman dan berita baiknya, ia disokong kajian sains di seluruh dunia.



Malah, pakar pemakanan juga sependapat; sarapan pagi adalah sumber pertama untuk memulakan hari kita, sebagaimana dituntut dalam Islam untuk bangun bersahur, walaupun ada yang boleh bertahan sehingga menjelang waktu berbuka.

Kajian terbaru menunjukkan, orang yang bersarapan secara tetap menikmati kehidupan berkualiti, tersusun, bersikap positif, lebih langsing dan memiliki daya tumpuan lebih baik.Pemilihan sarapan, terutama yang kaya karbohidrat, membekalkan tenaga, mampu menahan rasa lapar dan mengawal keinginan untuk makan di antara waktu sarapan dan makan tengah hari.

Malangnya, ramai meninggalkan sarapan dengan alasan tiada selera makan pada waktu pagi atau tidak sempat (kerana bangun lambat). Jika anda tergolong dalam kumpulan ini, ada baiknya anda terus membaca untuk mengetahui ‘rahsia’ di sebalik hidangan ringkas yang dipanggil sarapan.

Ada saintis menggelar sarapan sebagai makanan untuk otak. Kajian menunjukkan sarapan ada kaitan rapat dengan kecergasan mental. Secara ringkasnya, sarapan dikatakan memberikan kesan positif terhadap aktiviti otak - lebih cergas, peka dan fokus.

Ini secara tidak langsung mendatangkan pengaruh positif terhadap diri individu itu untuk melaksanakan tugasnya, sama ada di sekolah atau tempat kerja; walaupun hanya mengambil sarapan seringan sekeping roti dan secawan kopi.

Rangsang Paras Glukos

Karbohidrat yang diambil pada waktu pagi akan merangsang paras glukos dan mikro nutrien dalam otak. Contohnya, vitamin B yang diperkaya dalam roti dan bijirin sarapan dikenal pasti mampu memberikan kesan positif kepada fungsi otak.

Kesan lebih ketara di kalangan kanak-kanak dan remaja yang mengambil sarapan kaya karbohidrat kompleks ialah mereka boleh menumpukan perhatian terhadap pelajaran dan menyelesaikan masalah dengan lebih baik. Justeru itu, tidak hairan jika pengusaha roti dan bijirin berlumba-lumba menghasilkan produk yang diperkaya dengan pelbagai khasiat dan vitamin.

Kajian dijalankan Food Facts Asia dengan kerjasama empat universiti di Asia ke atas remaja berusia antara 10 hingga 12 tahun yang mengamalkan sarapan rata-rata jauh lebih langsing dan kurang berdepan masalah berat badan berlebihan. Bahkan, kajian di Amerika Syarikat ke atas 3,000 sukarelawan menunjukkan mereka dapat mengurangkan berat badan dan mengekalkan berat badan unggul dengan hanya mengamalkan sarapan.

Walaupun ada banyak pilihan untuk sarapan seperti nasi lemak, mi atau mihun goreng, tetapi ramai lebih suka sarapan ringan dan ringkas. Ini termasuk roti, bijirin dimakan bersama susu serta jus buah yang tanpa disedari membekalkan banyak khasiat seperti Vitamin A, B dan D, zat besi, kalsium serta zink.

Tabiat meninggalkan sarapan lebih kerap berlaku di kalangan orang dewasa kerana tidak sempat dan beranggapan mereka boleh tahan lapar. Bagaimanapun, sikap ini sebenarnya lebih banyak merugikan, terutama kepada mereka yang ingin mengurangkan berat badan.

Dalam keadaan lapar, kita terdorong untuk makan lebih banyak - bermakna lebih banyak kalori dan lemak dalam badan. Akibatnya, masalah berat badan kita tidak mungkin selesai dan mungkin lebih buruk.

Banyakkan Serat dan Bijirin

Ramai beranggapan menyediakan sarapan berkhasiat mengambil banyak masa. Ia tidak semestinya betul.

Demi kesihatan, apa salahnya kita beralih daripada kebiasaan kepada sandwic roti berserat tinggi atau bijirin diperkaya vitamin serta susu dan buah-buahan segar boleh dihidang di atas meja dalam beberapa minit saja. Jika tidak sempat makan di rumah, bawalah bekal yang sudah disediakan ini ke tempat kerja.

Makanan kaya serat penting untuk melawaskan sistem perkumuhan dan mengawal berat badan. Untuk meningkatkan pengambilan serat harian, ambillah bijirin sarapan, buah-buahan dan sayur-sayuran.

Oleh itu, tahun ini, ada baiknya jika kita memulakan tabiat baru dengan mengamalkan pengambilan sarapan yang sihat secara teratur. Caranya, sediakan bahan-bahan sarapan sebelum masuk tidur dan bangun awal setengah jam supaya anda boleh menikmati hari 
cemerlang!
negaraku

Tiada ulasan:

Catat Ulasan