Home Klik Di Bawah

Jumaat, 27 April 2012

“Jadilah!” Maka Terjadilah Ia

Betapa jauh dan sukarnya untuk manusia memahami ciptaan alam semesta yang rumit ini, namun apabila mereka mengintai dibalik tirai penciptaan alam semesta, ianya seakan-akan dicipta dengan begitu mudah, seakan-akan alam semesta ini hanya wujud apabila dibisikkan kalimah, “Jadilah!”, maka terjadilah ia.

 

 

Pendahuluan

Sepanjang hayat mereka, umat manusia telah memerhatikan pelbagai jenis bentuk penciptaan. Daripada kelahiran bayi sehinggalah penciptaan monumen agung, sering kali mereka berasa takjub dan kagum dengan penciptaan tersebut. Mereka mula berfikir tentang keupayaan mereka untuk mencipta yang kemudiannya membawa kepada pemikiran tentang ciptaan diri mereka, tentang kewujudan manusia. Dalam pemerhatian tersebut, manusia mula mempersoalkan, jika alatan dan mesin boleh dicipta, maka pastinya mereka juga dicipta oleh ‘sesuatu’.

Apabila timbulnya sifat ingin tahu manusia untuk proses penciptaan, persoalan kewujudan manusia dan alam semula jadi dapat disatukan kepada satu persoalan yang lebih besar iaitu persoalan tentang kewujudan alam semesta.

Sepanjang laluan sejarah tamadun manusia, telah banyak percubaan dilakukan bagi menjawab persoalan besar ini. Pada awal tamadun, manusia mula menggunakan konsep ketuhanan dan kuasa ghaib sebagai penjelasan, namun golongan yang lebih celik pada zaman itu tidak berpuas hati hanya dengan penjelasan tersebut.  Mereka menganggap bahawasanya penjelasan itu tidak memadai kerana ianya tidak mempunyai asas-asas rasionaliti yang kukuh dan hanya berdasarkan kepercayaan buta. Disebabkan itu mereka mula mengharapkan logik akal fikiran mereka sebagai penjelasan dalam pemerhatian mereka terhadap alam semesta. Di sinilah bagaimananya jurusan falsafah mula muncul dalam tamadun manusia.

Pada zaman ini, ahli-ahli falsafah Yunani mula mengambil kedudukan mereka untuk menjelaskan buah fikiran mereka tentang maksud kehidupan. Walaupun mereka menggunakan logik dalam argumen untuk menjawab persoalan-persoalan metafizik, logik akal mereka masih lagi cenderung ke arah ‘tekaan’ atau spekulatif semata-mata kerana pada masa itu pemerhatian mereka sangat terhad kepada teori dan tiadanya kajian eksperimental yang menyeluruh terhadap sesuatu kejadian alam. Pada saat ini, sains masih lagi tersembunyi dalam kandungan falsafah, menunggu masanya untuk dilahirkan pabila tibanya waktu kurangnya kepercayaan-kepercayaan tahyul dalam fakulti fikiran manusia.

Falsafah pula pada zaman itu mula bercambah dengan meluas dan dalam banyak-banyak aliran, hanya Democritus berjaya memberikan satu teori yang menyumbang kepada sains moden. Hipotesisnya iaitu setiap benda terdiri daripada ‘atom’ yang tidak boleh dipisahkan secara fizikal telah menjadi salah satu dasar utama dalam dunia fizik dan kimia. Meskipun begitu, hanya selepas dua puluh dua abad kemudian barulah teori ini dapat diterima ramai melalui seorang ahli falsafah jati John Dalton yang menjelaskan bagaimana sesetengah gas lebih mudah untuk larut berbanding gas lain.

Tentang Sains dan Agama

Walaubagaimanapun, daripada menerima teori Democritus, umat manusia lebih dapat menerima konsep sains yang dibawa oleh Aristotle kerana ianya mudah difahami dan bersefahaman dengan konsep ketuhanan sementara konsep dibawa Democritus dianggap dingin dan tidak menumpukan pada sang pencipta. Ini disebabkan Aristotle telah memperkenalkan konsep ‘sebab dan akibat’ , dimana kejadian alam ini terdiri daripada kitaran sebab dan akibat yang pada akhirnya kitaran itu berakhir kepada satu pencipta yang dipanggil ‘Sebab Terakhir’ atau ‘Penggerak Perdana’.

Tidak dapat dinafikan lagi Aristotle telah mewariskan satu bentuk pemikiran baru untuk kemajuan minda manusia unuk beberapa abad seterusnya apabila ianya telah menjadi inspirasi untuk sains tamadun Islam pada zaman Keemasan Islam di Timur Tengah; juga pada masa yang sama adalah zaman Kegelapan di Eropah. Namun konsep yang dibawa Aristotle tampaknya telah memakan diri apabila konsepnya itu terlalu dipuja-puja oleh pengikutnya dan berlakunya cubaan untuk mengkristiankan pemikiran Aristotle. Insiden penghukuman saintis Itali, Galileo Galilei adalah salah satu peristiwa gelap dilakukan atas nama agama disebabkan teorinya yang bercanggah dengan Aristotle.

Perbezaan pemikiran tamadun Islam dengan Gereja pada zaman tersebut adalah terletak pada sikap mereka terhadap sains. Saintis-saintis Islam tidak cuba untuk menyatukan sains dalam agama mereka dan apabila mereka mengkaji, kaedah mereka hanya tertumpu pada sains itu sendiri kerana mereka beranggapan yakni pengkajian itu sendiri sudah memadai sebagai salah satu ibadat dalam hidup mereka. Mereka tidak cuba menggunakan sains sebagai pertahanan kebenaran agama mereka malah telah menggalakkan lagi pertumbuhan sains kepada sains eksperimental iaitu berbeza dengan pemikiran Aristotle yang tidak menganggap kaedah eksperimen sebagai salah satu bentuk sains.

Berbeza dengan tindakan tamadun Islam pada masa itu, pihak Gereja pula cuba mengkristiankan sains melalui pembentukan pemikiran skolastisisme dan hanya mahu mengambil cebisan-cebisan idea daripada pemikir-pemikir yang mempunyai pendapat sehaluan dengan agama mereka. Tindakan mereka ini bukan sahaja membantutkankan perkembangan sains tetapi juga telah mencemarkan kesucian agama mereka melalui pelbagai hukuman dan penipuan bagi mengekalkan kedudukan mereka dalam agama mereka.
Tidak kira sejauh mana kemampuan manusia boleh berdebat, secara intinya, sains dan agama adalah dua perkara yang berbeza. Sementara sains adalah satu proses untuk mencari kebenaran melalui fakulti logik manusia yang hanya terkandung dalam dunia fizikal, agama pula adalah kepercayaan mutlak terhadap pencipta yang sudah pasti menjangkaui dunia fizikal semata-mata. Sains sendirinya tidak boleh menjelaskan agama dan agama tidak boleh menjelaskan sains walaupun kedua-duanya datang daripada sumber yang sama iaitu daripada sang pencipta kepada ilmu tersebut.

Manusia sendiri tidak punyai hak untuk menyatukan sains dengan sesuatu kumpulan, tidak sepatutnya ada Sains Islam, Sains Kristian, Sains Yahudi, Sains Hindu dan sebagainya. Penyatuan seperti itu hanya menyesatkan manusia dalam kedua-dua bidang sains dan agama kerana ianya seolah-olah menggalakkan perebutan hakmilik sains itu sendiri dalam kalangan manusia sehinggakan boleh timbulnya kebencian terhadap sesama manusia yang berbeza ajaran atas sebab yang tidak munasabah. Sains itu sendiri ibarat alam semesta itu sendiri. Manusia tidak memiliki alam semesta dan begitu juga untuk sains. Umat manusia seharusnya tidak mengulangi kesilapan yang sama dan cuba menerima kedua-dua sains dan agama sebagai satu entiti sendiri yang bertujuan kearah kebenaran yang berbeza pada akarnya kerana sains adalah pemahaman dalam mekanisme dunia fizikal semata-mata.

Permulaan Sains Moden

Apabila telah terlalu lama berada dalam kepompong Aristotle, tamadun Eropah mula menyedari kesilapan mereka dan mula menerima ilham-ilham baru yang dapat memandu mereka untuk keluar dari kepompong tersebut. Zaman yang dikenali sebagai Revolusi Saintifik ini sejajar dengan zaman Pencerahan Eropah dan pemandu utamanya ialah dua tokoh utama, René Descartes dan Francis Bacon.

René Descartes merupakan pencipta sistem koordinat Cartes yang digunakan secara meluas dalam pelbagai bidang dan juga ahli falsafah yang terkenal dengan ungkapan ‘Cogito ergo sum’ perkataan Perancis untuk ‘Saya berfikir, maka saya ada’. Ahli matematik dan bapa ‘Falsafah Moden’ ini merupakan tokoh yang memperkenalkan penggunaan matematik di dalam sains seperti mana yang dilakukan Galileo dalam kajian beliau. Tindakan ini telah mempercepatkan lagi kemajuan sains kerana matematik pada masa itu masih asing dalam subjek sains.

Melalui Descartes, mulalah kemunculan data-data yang lebih nyata kepada eksperimen dan ini telah menambahkan kualiti kajian dari segi sistematiknya. Teori-teori dalam sains juga kemudiannya telah disandarkan pada matematik sebagai asas pembinaan kajian sains dan matematik juga semakin dikenali sebagai bahasa alam semesta atas sumbangannya terhadap ilmu sains.

Francis Bacon pula mencadangkan penerimaan sains pada peringkat awalnya sebagai subjek praktikal untuk memperbaiki kehidupan manusia. Seperti saintis Islam pada zaman Pertengahan, beliau menekankan eksperimen daripada duduk bertafakur sebagaimana tabiat kebiasaan ahli falsafah. Hal ini sangat penting untuk pertumbuhan sains kerana Bacon telah membawa sains ke peringkat baru dimana tiada lagi spekulatif-spekulatif rambang oleh ahli falsafah tentang sains sebagaimana yang dilakukan pada zaman Yunani dahulu.
Selain itu, kaedah-kaedah saintifik yang masih digunakan pada masa kini telah diperkenalkan oleh beliau bagi meletakkan satu garis panduan untuk pengamal sains. Garis panduan ini kemudiannya dapat dijadikan sebagai medium untuk pengamal-pengamal sains berinteraksi di antara satu sama lain dan menjadikan perkembangan sains berlipat kali ganda. Pada saat ini jugalah manusia telah meletakkan satu garisan yang nyata antara falsafah dengan sains.

Tambahan pula, salah satu jasa terbesar Bacon pada pertumbuhan sains adalah terletak pada kemahuannya untuk saintis berfikir tentang hukum alam yang ringkas daripada terus mula kepada perkara yang rumit. Dari saat inilah, idea tentang hukum alam mula bercambah dan bermulalah berbagai pengelasan hukum alam telah dilakukan. Selepas Descartes dan Bacon, usaha untuk memahami penciptaan alam telah mula bergerak kembali sejak usaha pemikir zaman Yunani tersangkut selama dalam sekitar lebih sepuluh abad.

Kendatipun mereka bermula daripada sistem-sistem alam semula jadi yang ringkas, sekurang-kurangnya mereka sudah tahu haluan mereka dan tidak lagi main serkap jarang dalam memahami alam semesta. Disinilah permulaan sains moden dan dengan kaedah baru ini, ianya bukan saja telah berjaya menyatukan saintis-saintis antarabangsa tetapi juga antara masa dan zaman. Kajian mereka kini dapat diwarisi dengan lebih mudah kepada generasi akan datang dan perlahan-lahan umat manusia mampu untuk mengorek rahsia tentang penciptaan alam ini.

Mengintai Sebalik Tabir Alam

Setelah berlakunya zaman Revolusi Saintifik, arus perkembangan sains menjadi lebih deras dan melalui pemahaman hukum-hukum alam yang ringkas, dengan mudahnya manusia dapat bergerak ke peringkat yang lebih rumit. Apabila bergerak ke peringkat seterusnya, definisi sains menjadi lebih luas dan pada saat ini muncullah tiga cabang sains moden iaitu fizik, kimia dan biologi.

Ketiga-tiga cabang ini mempunyai inti yang sama tetapi pencarian yang berbeza. Fizik adalah untuk kefahaman perkara-perkara asas dan fundamental tentang alam semula jadi. Persoalannya adalah terletak bagaimana alam mentadbir diri secara umumnya. Kimia pula timbul untuk menyoal bagaimana alam berinteraksi sesama sendiri dalam peringkat molekul dan biologi pula mengkaji bagaimana alam dapat menerima dan menampung organisma-organsima hidup.

Secara umumnya, bagi memahami penciptaan alam semesta secara fizikal sepenuhnya, ilmu dalam ketiga-tiga cabang ini mestilah dilengkapkan terlebih dahulu. Pada masa sekarang, kemajuan sains telah mencapai persoalan yang lebih rumit. Untuk memahami alam semesta, mereka perlulah kembali kepada sistem yang ringkas terlebih dahulu. Jadi, antara ketiga-tiga cabang sains, fizik mempersoalkan alam pada tahap fundamental dan melalui fizik akan dikuti dengan kimia dan biologi untuk memahami bagaimana alam semesta dicipta. Perlu diingatkan bahawa kajian sains ini hanya melibatkan soalan khusus penciptaan alam dari segi fizikal dan tidak lebih dari itu. Ianya tidak mampu untuk mepersoalkan alam diluar fikiran akal manusia.

Perkembangan sains hanya dapat diteruskan dengan perkembangan teknologi yang mendadak lahir daripada sains gunaan yang terasnya adalah secara eksperimen, seperti apa yang diwar-warkan Francis Bacon. Setelah beberapa lama ahli fizik secara tekunnya mengkaji, daripada hukum fizik yang ringkas kepada sistem alam fizikal yang lebih rumit, akhirnya mereka mendapat petanda yakni penjelasan fizik, dengan bantuan matematik dan teknologi sudah mampu membawa mereka untuk mengintai saat penciptaan alam semesta.

Ledakan Agung

Ianya bermula pada tahun 1929 apabila seorang ahli falak, Edwin Hubble melalui alat cerapnya telah mendapati bahawa galaksi-galaksi yang dilihatnya bergerak berjauhan dengan Bumi. Penemuannya sangat mengejutkan apabila didapati sebenarnya galaksi tersebut bergerak semakin laju berjauhan dari Bumi dalam berkadaran dengan jaraknya dari Bumi. Ini bermakna, jika jauh jarak galaksi itu dua kali ganda daripada Bumi, maka kepantasan galaksi itu bergerak jauh dari Bumi juga adalah dua kali ganda kelajuannya berbanding dengan galaksi yang jaraknya satu kali ganda dari Bumi. Pertambahan kelajuan ini menandakan galaksi tersebut sedang memecut jauh dari Bumi. Dalam detik inilah bermulanya pencarian manusia secara langsung tentang penciptaan alam semesta.

Disebabkan Bumi ini berada dalam galaksi sendiri, iaitu galaksi Bima Sakti, ini bermakna setiap galaksi berjauhan di antara sesama sendiri. Penemuan Hubble ini telah memberikan manusia secebis pengetahuan tentang pergerakan alam semesta. Melalui pemerhatian Hubble, saintis mula tahu bahawa kedudukan galaksi-galaksi dalam alam ini adalah seperti titik-titik yang dilukis di atas belon. Katakan sebelum belon ini ditiup, kita tandakan titik-titik di atas permukaan belon kendur ini. Kemudian apabila belon itu ditiup, perkembangan permukaan belon itu menyebabkan titik-titik tersebut berjauhan antara sesama sendiri. Titik-titik ini samalah dengan galaksi-galaksi yang diperhatikan Hubble, ianya bergerak berjauhan sesama sendiri pada kadar kelajuan yang bertambah seolah-olah alam semesta ini sedang mengembang seperti mana belon mengembang.

Jika galaksi-galaksi semakin berjauhan, semestinya galaksi-galaksi tersebut pada satu masa dahulu berdekatan seperti titik-titik di atas permukaan belon sebelum ianya berjauhan hasil perkembangan belon tersebut. Pecutan mereka untuk berjauhan dengan sesama sendiri itu pula adalah tanda yang galaksi-galaksi itu sedang mengalami satu letupan atau ledakan besar dan tenaga daripada letupan tersebut telah menjadi satu daya pecutan galaksi-galaksi itu untuk perkembangan alam semesta. Letupan ini telah dipanggil dan dikenali sebagai ‘Big Bang’ atau Ledakan Besar.

Jadi, sudah tentu sebelum mengalami ledakan, galaksi-galaksi ini tertumpu pada satu titik yang boleh dipanggil sebagai kesingularan atau ‘singularity’. Apabila saintis mengetahui kelajuan pecutan galaksi yang berjauhan tersebut, ini bermakna mereka boleh mengetahui pecutan perkembangan alam semesta. Melalui maklumat tentang pecutan itu, hanya dengan menggunakan persamaan kinematik yang asas saja, ahli fizik mampu untuk mengetahui umur alam semesta dari semasa kesingularan hinggalah sekarang. Hal ini sangatlah mudah kerana mereka hanya perlu mengetahui waktu apabila tiada langsung jarak antara galaksi sendiri dengan galaksi jiran mereka kerana saat jiran galaksi itu bertindih dengan galaksi Bima Sakti adalah saat dimana sebelum Ledakan Besar itu berlaku.

Oleh itu, telah dikira yang Ledakan Besar telah berlaku pada 13.7 billion tahun dahulu dan jika alam semesta ini bermula pada saat Ledakan Besar berlaku, ini bermakna umur alam semesta kita adalah 13.7 billion tahun. Ahli-ahli fizik bersependapat sesungguhnya mereka masih lagi tidak boleh menjelaskan kesingularan tetapi apa yang mereka pasti adalah setiap kandungan-kandungan alam semesta seperti galaksi, planet, bulan, bintang-bintang dan manusia terkandung dalam kesingularan. Ada yang bertanya mana tempat berlakunya Ledakan Besar ini tetapi ternyata ia mustahil untuk dijawab kerana Ledakan Besar ini berlaku di semua tempat dalam alam semesta ini.

Alam semesta itu sendiri meledak dan sudah tentu manusia mempunyai had dalam mengetahui apa yang berlaku diluar alam fizikal ini. Alam semesta ini sendiri tertumpu pada satu titik dan melalui teori ini, saintis perlu mengambil premis bahawa ianya dicipta daripada tiada. Daripada tiada terjadinya kesingularan yang mengandungi ramuan-ramuan alam semesta, adanya ramuan kepada empat daya:graviti, elektromagnetik, nuklear lemah dan kuat, adanya ramuan untuk jirim dan anti-jirim, adanya ramuan untuk cahaya photon, adanya ramuan untuk sub-zarah dan zarah, adanya ramuan untuk Hidrogen dimana ianya merupakan elemen terawal hasil Ledakan Besar, adanya ramuan untuk segala sebatian kimia, dan melalui sebatian kimia adanya unsur kehidupan, dan akhirnya ada juga ramuan untuk manusia.

Sesungguhnya tamadun manusia telah lama mencuba untuk mengetahui penciptaan alam semesta. Kemanusiaan itu sendiri secara jatinya mempunyai sifat ingin tahu atas siapa pencipta diri mereka. Meskipun tampak sukar untuk mencapai ilmu tersebut tetapi secara perlahan-lahan manusia semakin kearah memahami tentang penciptaan. Betapa jauh dan sukarnya untuk manusia memahami ciptaan alam semesta yang rumit ini, namun apabila mereka mengintai dibalik tirai penciptaan alam semesta, ianya seakan-akan dicipta dengan begitu mudah, seakan-akan alam semesta ini hanya wujud apabila dibisikkan kalimah, “Jadilah!”, maka terjadilah ia.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan