Home Klik Di Bawah

Rabu, 2 Mei 2012

TIGA Sebab Mengapa Tiada Lagi Kerasulan Selepas Nabi Muhammad S.A.W..

Nabi Muhammad saw adalah Rasul yang diutuskan kepada sekalian umat manusia termasuk golongan jin. Baginda adalah Nabi dan Rasul akhir zaman. Selepas baginda, tiada lagi Nabi dan Rasul diutuskan oleh Allah swt. Ini bermakna, talian kenabian yang bermula daripada Nabi Adam as telah berakhir dengan kenabian Nabi Muhammad saw. Sabda Rasulullah saw:
Pertalianku dengan para Nabi boleh difahami dengan perumpamaan sebuah istana; iaitu istana yang paling indah. Segala yang ada di dalamnya adalah lengkap kecuali tempat untuk meletakkan sekeping batu ubin ditinggalkan kosong. Aku telah memenuhi tempat itu dan kini binaan istana itu telah sempurna.





Selepas kenabian baginda, tiada lagi nabi akan lahir. Pewaris kenabian Nabi adalah para alim dan ulama. Ini adalah kerana dalam diri alim dan ulama terkandung segala isipati ajaran Rasulullah saw. Selayaknya untuk mereka memangku peranan pewaris kenabian Rasulullah saw. Sabda Rasulullah saw,
Ulama adalah pewaris para nabi.”(HR At-Tirmidzi dari Abu Ad-Darda ra)
Sejarah Rasul dan Nabi sebelum kedatangan Rasulullah saw

Kita menyelusuri sejarah perutusan Nabi dan Rasul kepada umat manusia. Nabi dan Rasul diutuskan adalah semata-mata memimpin manusia ke jalan yang lurus iaitu jalan yang mentauhidkan Allah swt. Nabi dan Rasul tidak diutuskan kepada kaum yang sudah sedia mengikut ajaran yang benar namun Nabi dan Rasul diutuskan kepada kaum yang menyeleweng daripada ajaran Tauhid.
Dengan sebab yang demikian, dapatlah kita kumpulkan 124,000 ribu orang Nabi dan 313 orang Rasul sejak bumi Allah swt ini didiami oleh manusia. Jumlah yang diberi menunjukkan betapa manusia sering leka dan lalai kepada Allah swt.

Nabi banyak diutuskan kepada Bani Israil

Bangsa dan kaum paling banyak menerima Nabi dan Rasul adalah tidak lain dan tidak bukan Bani Israil. Ironinya, mereka sangat berbangga dengan rekod ini. Mereka gagal untuk berfikir secara kritis bahawa kenabian dan kerasulan yang terlampau banyak menunjukkan bahawa bangsa mereka sebagai bangsa yang ‘mudah lalai dan alpa’.

Bani Israil terkenal sebagai bangsa yang sering menentang kerasulan dan beberapa Nabi dan Rasul yang diutuskan kepada mereka menemui ajal di tangan mereka. Sesungguhnya bangsa yang sering dilaknat oleh Allah swt dalam Al-Quran ini adalah bangsa yang cukup hina, angkuh lagi sombong.

Nabi yang tidak dikisahkan dalam Al-Quran

Rasul berganti Rasul dan Nabi berganti Nabi, kekasih Allah ini silih berganti diutus kepada umat manusia. Terdapat yang sahih jalan ceritanya sepertimana yang dikhabarkan Allah swt dalam Al-Quran, namun ada yang samar-samar jalan cerita dan wataknya. Yang samar-samar ini boleh dikategorikan sebagai apa yang diberitahu Allah swt dalam firman-Nya iaitu Rasul-Rasul yang tidak Kami kisahkan.
Dan (Kami telah mengutus) rasul-rasul yang sungguh telah Kami kisahkan tentang mereka kepadamu dahulu, dan rasul-rasul yang tidak Kami kisahkan tentang mereka kepadamu. Dan Allah telah berbicara kepada Musa dengan langsung.
An-Nisa ayat 164
Terdapat beberapa nama yang boleh diberikan seperti Buddha, Krishna, Akhanaten, Socrates, Confusius dan Hermes Trimegistus. Namun, watak mereka dikaburi dengan ajaran mereka yang sudah diselewengkan. Rata-rata ramai cendikiawan Islam bersepakat bahawa Buddha mahupun Krishna adalah utusan Allah swt kepada tamadun mereka, namun ajaran mereka diseleweng secara total sehingga ada yang berubah kepada penyembahan patung dan politeisme.

Apakah watak-watak utama yang pernah merubah asas teologi dalam tamadun mereka ini adalah salah seorang daripada ribuan utusan Allah swt?

Itu baru menyebut nabi dan rasul yang kabur dan samar-samar. Bagaimana pula dengan ajaran Nabi dan Rasul yang telah dikhabarkan oleh Allah swt dalam Al-Quran. Nabi Isa as contohnya, ajaran yang dibawa oleh baginda telah diseleweng secara agresif sehingga menyamakan Nabi Isa as Tuhan dan menganggap pula Nabi Isa as sebagai Anak Tuhan. Kitab Injil yang diwahyukan Allah swt kepada baginda turut sama dipesongkan sehingga kini boleh dianggap sudah tidak asli lagi.

Lebih menyedihkan apabila berita tentang kenabian Nabi Muhammad pada akhir zaman turut mereka padamkan. Sebutan ‘Ahmad’ sepertimana yang Allah swt khabarkan dalam Al-Quran gagal ditemui secara asli. Secara mudahnya, sejarah kenabian dan kerasulan sebelum kenabian Rasulullah saw menunjukkan tiada satu pun ajaran yang kekal asli melainkan kesemuanya telah mengalami campur tangan manusia.

Kitab Taurat yang ada kini dipercayai telah diseleweng oleh para Rabbi dengan mengubah beberapa isi kandungan yang tidak menepati sudut pandangan mereka.

Biografi Rasulullah saw yang Lengkap dan Sahih

Allah swt Maha Bijaksana dan sebaik-baik Perancang. Sudah termaktub dalam lipatan sejarah bahawa satu-satu biografi Rasul dan Nabi paling asli dan tidak mempunyai kesan campur tangan yang melampau oleh manusia adalah biografi Nabi Muhammad saw. Biografi Rasulullah saw bermula daripada baginda dilahir, dibesar dan diutuskan sebagai Rasul sehingga baginda wafat. Sejarah tentang peperangan yang disertai baginda juga sangat lengkap.

Malahan daftar nama sahabat baginda yang berjumlah beratus-ratus orang turut sama lengkap dan disahkan sahih. Lihat Nabi dan Rasul yang diutuskan sebelum kerasulan Nabi Muhammad saw. Kecuali Nabi Isa as yang mana dikatakan mempunyai 12 sahabat yang mempunyai nama dan biografi lengkap, lain-lain Rasul dan Nabi gagal mempunyai daftar sahabat mereka yang lengkap dan releven.

Al-Quran Tetap Terpelihara

Analisa ini menunjukkan bahawa Nabi Muhammad adalah pelengkap kepada segala kerasulan yang pernah diutuskan kepada manusia. Kitab terdahulu seperti Taurat, Zabur dan Injil telah mempunyai pengolahan dan campur tangan manusia yang melampau. Begitu juga suhuf-suhuf yang pernah diberikan kepada beberapa Nabi telah lama hilang dan tidak dapat ditemui lagi.

Hanya kitab al-Quran sahaja yang kekal di bawah penjagaan Allah swt. Sebarang usaha untuk menyelewengkan kitab ini oleh musuh-musuh Allah swt berjaya dipatahkan. Kitab ini tidak mengalami sebarang perubahan walau satu huruf sekalipun. Ayat-ayatnya kekal dialun sepertimana yang pernah dialun oleh Rasulullah saw dan para sahabat 1,400 tahun yang lampau. Hal ini sebenarnya telah dijamin oleh Allah swt sepertimana yang telah Allah swt firmankan di dalam Al-Quran,
Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al Quran, dan sesungguhnya Kami benar-benar memeliharanya.
(Al-Hijr 15:9)
Tiga sebab mengapa tiada lagi Kerasulan selepas Nabi Muhammad saw
Apabila ajaran Nabi yang terdahulu telah ditambah dan dicemari atau mereka telah meninggal dan pengganti mereka diperlukan. Dalam keadaan seperti ini, seorang Nabi yang baru akan bangkit supaya baginda dapat membersihkan segala pencemaran yang berlaku dalam kehidupan manusia serta mengembalikan agama kepada bentuknya yang asal dan tulen.
  1. Apabila ajaran Nabi yang telah meninggal dunia adalah tidak lengkap dan perlu dibuat pindaan, diperbaiki atau ditambahi oleh seseorang Nabi baru yang diutuskan oleh Allah swt.
  1. Apabila Nabi terdahulu hanya diutuskan khusus untuk sesuatu umat atau kawasan yang tertentu sahaja. Oleh itu, seorang Nabi yang baru perlu diutuskan kepada umat, masyarakat atau negara yang lain.
  1. Apabila Nabi memerlukan seorang penolong dan pembantu. Tetapi jumlah Nabi seperti ini amat sedikit dan sekurang-kurang dua contoh sahaja yang diberikan dalam Al-Quran. Dua contoh tersebut adalah Nabi Musa as yang dibantu oleh Nabi Harun as dan Nabi Ilyas as yang dibantu oleh Nabi Ilyasa’ as.
Tiada Lagi Bangkit Nabi Selepas Rasulullah saw

Ini adalah beberapa keadaan asas yang menyebabkan kebangkitan seseorang Nabi dan Rasul yang baru. Satu kajian yang teliti terhadap prinsip ini menunjukkan tiada satu pun daripada tiga keadaan ini wujud pada hari ini. Ajaran Nabi akhir zaman, Nabi Muhammad saw masih lagi hidup, terpelihara dan kekal buat selama-lamanya.

Tunjuk ajar yang telah disampaikan kepada manusia telah sedia lengkap dan sempurna serta termaktub di dalam kitab suci Al-Quran. Segala sumber tentang Islam adalah lengkap dan setiap pengajaran dan amalan baginda dapat diyakini kebenarannya tanpa sebarang keraguan. Oleh itu disebabkan ajaran baginda telah lengkap dan sempurna, maka Nabi baru tidak perlu diutuskan dan tidak akan diutuskan. Maha Suci Allah Yang Maha Mengetahui dan Sebaik-baik Perancang.
takusahrisau

Tiada ulasan:

Catat Ulasan