Home Klik Di Bawah

Selasa, 12 Jun 2012

Hati Lebih Tenang Jika Berjaya Tahan Marah, Pemaaf


SESIAPA berupaya menahan kemarahan, bererti dalam dirinya memiliki kemuliaan, keberanian, keikhlasan dan kekuatan sebenar. Sebaliknya, orang yang tidak mampu menahan marah adalah golongan yang lemah. 

Nabi Muhammad bersabda: “Bukanlah orang yang kuat itu (dinilai) dengan (kekuatan) dalam pergelutan, sesungguhnya orang yang kuat ialah orang yang dapat menguasai dirinya ketika marah.” (Hadis riwayat Bukhari).

 

Pentingnya sifat menahan marah mendorong Nabi Muhammad SAW apabila diminta oleh seorang lelaki supaya berpesan atau mengajarnya mengenai sesuatu perkara, menjawab ringkas iaitu ‘jangan marah’.


Lelaki itu seperti tidak berpuas hati dengan jawapan diberi. Dia mungkin merasakan apalah besar sangat kebaikan menahan marah. Lalu dia bertanya kali kedua mengharapkan Rasulullah SAW memberitahu amalan lain yang lebih besar pahalanya. 

Tetapi Rasulullah tetap mengulangi perkataan ‘jangan marah’. Untuk mendidik sifat baik dalam diri perlulah menghampiri diri dengan memperbanyakkan melakukan ibadat wajib dan sunat. Kekuatan takwa dan iman secara langsung akan menjauhkan perkara yang ditegah, termasuk sifat pemarah.

Sifat pemaaf lahir dari jiwa dan hati yang tenang hasil tarbiah berterusan. Sebab itu, selalulah memupuk sifat pemaaf bermula dengan perkara yang kecil dan mudah hilang sifat marah. Jika ada sesuatu menimbulkan marah, berfikirlah sejenak untuk menilai atau muhasabah diri.

Renungkan dalam hati adakah perkara itu juga berpunca dari kita sendiri? Adakah sebelum ini kita mengambil langkah yang wajar untuk mengelak perkara itu berlaku? Jika kita mampu berfikir sedemikian, cahaya kebenaran mudah memasuki ruang hati dan memberi petunjuk tindakan wajar dilakukan seterusnya. 
Pada ketika itu syaitan tidak berpeluang menyemarakkan perasaan marah, yang lahir adalah keinsafan dan sifat memaafkan. Sifat pemaaf memberi manfaat besar kepada diri sendiri terutama dari segi rohani. 

Orang yang bersifat pemaaf selalu dalam keadaan tenang, hati bersih, berfikiran terbuka, mudah diajak berunding dan sentiasa menilai diri untuk melakukan kebaikan. Bagi yang bersifat pemaaf, padanya tiada dalam hatinya tersimpan perasaan marah.

Sebab itu, hati orang bersifat pemaaf tidak mudah terbakar dengan provokasi yang menekan dirinya. Banyak masalah berkaitan hubungan sesama manusia berpunca sifat marah dan membalas dendam. 

Biarpun perselisihan kecil, perkara itu tidak dapat diselesaikan disebabkan perasaan dendam masih bertapak di hati. Sikap berdendam hanya merugikan kedua-dua pihak. Jika sifat memaafkan diamalkan, insya- Allah, kita juga tidak akan menanggung kemarahan daripada orang lain.

Sebaiknya sebelum tidur perkara yang selalu dipesankan orang alim supaya kita memaafkan kesalahan semua orang dengan harapan dan doa, orang lain juga terbuka hati untuk memaafkan kesalahan kita. 

Sesungguhnya kesalahan dengan Allah lebih mudah untuk memohon keampunan kerana sifat Allah Maha Pengampun, tetapi kesalahan sesama manusia susah. Jika semua orang bersifat pemaaf alangkah bahagia dan amannya dunia ini.
PENGAJARANDANTAULADAN

Tiada ulasan:

Catat Ulasan