Home Klik Di Bawah

Jumaat, 8 Jun 2012

Perlu baca - Iktibar Perang Tabuk

Firman Allah dalamayat 38 surah at-Taubah :

Maksudnya : "Wahai orang-orang yang beriman! Apakah sebabnya apabila diseru kepada kamu: “Berangkatlah untuk berperang pada jalan Allah”. Kamu berasa berat dan ingin tinggal di tempatmu. Adakah kamu berpuas hati dengan kehidupan di dunia sebagai ganti kehidupan di akhirat sedangkan kenikmatan hidup di dunia ini dibandingkan dengan kehidupan di akhirat hanyalah sedikit."


Kita sekarang berada dalam bulan Rejab yang mengingatkan kita tentang beberapa peristiwa besar yang pernah berlaku pada zaman Rasulullah s.a.w seperti peristiwa yang kita sentiasa sebutkan iaitu Isra’ dan Mikraj dan juga satu lagi peristiwa yang telah meninggalkan kesan yang besar dalam penyebaran Islam ke luar daripada kawasan tanah arab iaitu peperangan Tabuk yang berlaku pada bulan Rejab tahun 9H (Oktober 631 M). Keadaan cuaca pada ketika itu adalah terlalu panas terik dan tempat berlakunya peperangan itu, Tabuk merupakan destinasi padang pasir yang terlalu jauh menyukar para musafir.








Peperangan Tabuk meletus apabila Rasulullah s.a.w menerima berita tentang pembunuhan Farwah bin ‘Amru Al-Jazami yang merupakan salah seorang ketua yang dilantik oleh Rom bagi kawasan Ma’an di mana beliau telah dibunuh dengan direbus di dalam kawah air panas apabila Rom mengetahui dia telah memeluk agama Islam dan merupakan wakil kepada nabi Muhammad S.A.W di dalam mengerjakan dakwah Islamiah di sana. Inilah suatu sikap dan tindakan tegas yang telah diambil oleh nabi selaku pemimpin negara Islam Madinah dalam mempertahankan kehormatan diri dan nyawa umat Islam di mana seorang dibunuh di negara musuh maka tentera Islam terus dikerah untuk mengajar kebiadapan musuh tentang harga diri umat Islam adalah begitu mahal nilainya bukannya boleh dibunuh sesuka hati. 


Rasulullah S.A.W telah mengerahkan agar para tentera Islam untuk keluar berjihad ke Tabuk dengan menjelaskan kepada mereka tujuan tersebut secara terang-terangan di mana baginda berjaya mengumpulkan 30 000 orang tentera. Penjelasan ini adalah disebabkab keadaan pada masa itu agak panas dan banyak kesulitan yang berlaku. Rasulullah S.A.W telah mengarahkan agar tentera Islam bersiap sedia dengan segala kelengkapan yang ada. Rasulullah S.A.W juga mengarahkan agar para muslimin yang mempunyai kemampuan untuk mengeluarkan harta mereka untuk tujuan berjihad di jalan Allah agar bersedekah untuk tujuan tersebut sekadar yang termampu.





Antara para sahabat yang menyahut seruan itu ialah Sayyidina Abu Bakar yang memberi kesemua harta beliau, Sayyidina Umar yang memberi setengah daripada harta beliau, begitu juga dengan Sayyidina Uthman bin Affan memberikan 900 ekor unta, 100 ekor kuda dan 1000 dinar. Manakala Abdul Rahman Al-‘Auf memberikan 200 uqiyah perak serta ramai lagi sahabat yang lain yang turut berbuat demikian. Inilah antara contoh pengorbanan besar yang telah dilakukan oleh para sahabat dalam memastikan Islam bukan sahaja dapat dipertahankan malah akan terus tersebar luas ke seluruh alam. Pengorbanan yang telah ditunjukkan ini sepatutnya dapat menyedarkan umat Islam hari ini yang hanya tahu bertanya bilakah penderitaan umat Islam akan berakhir dan bilakah janji kemenangan oleh Allah akan hadir sedangkan diri umat Islam sendiri terus dihanyutkan oleh kesenangan dunia yang menyaluti diri serta dijangkiti pula dengan penyakit takut mati.


Selagi umat Islam terus kaku memerhati penderitaan saudara seagama yang lain dan telah merasa cukup dengan pengorabanan yang tidak seberapa dalam memastikan kemenangan Islam maka jawapan kepada kemenangan yang dijanjikan Allah masih jauh malah penderitaan yang sedang dan akan dihadapi oleh umat Islam akan bertukar silih berganti. Oleh itu ikutilah jejak langkah nabi dan para sahabat serta pejuang Islam selepas mereka yang bersedia sepanjang masa dalam mengorbankan seluruh kemampuan yang ada demi Islam bukannya mengorbankan kemuliaan Islam demi kepentingan diri. Jika kita sedar tentang tanggungjawab kita sebagai pejuang Islam yang dibebankan dengan amanah yang banyak dan berat maka kita tidak lagi mempunyai masa untuk ketawa dan kita juga sedar bahawa tugas kita lebih banyak daripada masa yang ada. Kita sudah tidak punyai masa lagi untuk melengahkan kerja kerana di hadapan kita ada dua jawapan samada berkorban sehingga beroleh kejayaan atau terkorban dengan beroleh mati syahid yang diidamkan.


Peta lokasi Tabuk
Perjuangan Islam terpaksa menghadapi pelbagai cubaan, cabaran, halangan, dugaan, tentangan dan rintangan. Begitulah yang dihadapi oleh Rasulullah s.a.w sebelum keluar ke Tabuk di mana baginda terpaksa menempuh perjalanan dari Madinah yang jaraknya sejauh 80 km yang memakan masa 15 hari perjalanan dan berhadapan dengan beberapa golongan iaitu golongan yang menangis kerana tiada kelengkapan terutama tunggangan untuk turut sama ke sana. Mereka terdiri daripada tujuh orang daripada golongan Ansar dan Bani Amru bin Auf. Manakala golongan kedua ialah golongan yang meminta keuzuran daripada Rasulullah daripada turut serta dalam peperangan dengan alasan yang tidak diterima oleh Allah kerana mereka cukup dengan kelengkapan tetapi takut dan malas untuk berbuat demikian demi kepentingan peribadi. Mereka terdiri daripada 82 orang dari Bani Ghafar. Golongan yang ketiga yang menjadi musuh dalam selimut ialah golongan munafik yang diketuai oleh Abdullah bin Ubai. Golongan munafik ini dibahagi kepada tiga kumpulan yang mana kumpulan pertama akan mempengaruhi tentera Islam yang lain agar tidak turut serta dalam peperangan ini dan mereka sendiri tidak menyertainya. Kumpulan kedua pula akan memecahkan kesatuan dalam tentera Islam yang bertujuan mengkhianati Rasulullah S.A.W. 


Firman Allah dalam ayat 91 surah at-Taubah bermaksud:
"Orang-orang yang lemah dan orang-orang yang sakit dan juga orang-orang yang tidak mempunyai sesuatu yang akan dibelanjakan, tidaklah menanggung dosa (kerana tidak turut berperang) apabila mereka berlaku ikhlas kepada Allah dan RasulNya. Tidak ada jalan sedikitpun bagi menyalahkan orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya dan Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."


Manakala golongan ketiga pula terdiri daripada mereka yang menunggu kepulangan Rasulullah s.aw untuk merasmikan masjid yang bina oleh golongan munafik dikenali dengan Masjid Dhirar bertujuan untuk bermegah-megah,memecah belahkan hati para muslimin, asas yang membawa kepada kekufuran dan pengkhiatan kepada Islam. Jika kita perhatikan kepada golongan yang telah menyusahkan nabi ini maka golongan yang sama terpaksa kita hadapi pada hari ini dalam berdepan dengan musuh. Umat Islam yang cintakan Islam terpaksa berhadapan dengan pemimpin mereka sendiri yang lebih cintakan dunia daripada Islam sehingga ramai yang terbunuh dan menderita terpenjara serta tertekan akibat dikenakan pelbagai sekatan daripada bergerak dalam menyatakan kebenaran. 


Sesampai angkatan tentera Islam di Tabuk, Rasulullah bersama angkatan tetera Islam telah mengadakan 'perjanjian perdamaian' dengan penduduk di sekitar Tabuk, Rasulullah memberi jaminan keamanan kepada penduduk Tabuk, selagi mereka tidak menyebelahi musuh Islam dan memerangi dan berbuat jahat terhadap Islam. Setelah itu seorang penguasa Ilah (sebuah kawasan berdekatan Tabuk) yang bernama Yuhana bin Ru'bah datang meminta perdamaian bersama Rasulullah. Beliau sanggup membayar jizyah. Kesanggupan menerima keselamatan dan bersedia membayar jizyah juga diterima baik oleh penduduk Jarba dan Azruh. Rasulullah juga turut menghantar surat tawaran tersebut kepada setiap kawasan di sekitar Tabuk.


Hasilnya kekuatan tentera Islam di Tabuk semakin utuh dan kental. Rasulullah berjaya menyekat kemaraan tentera Rom di bawah pimpinan Panglima Satria Hercules, hal ini disebabkan beberapa faktor yang besar antaranya:
Benteng wilayah Tabuk yang semakin kebal akibat kekuatan pihak Islam
Tentera Islam berperang atas jalan Allah dan bukan semata-mata menguatkan pengaruh dan meluaskan kuasa


Bantuan tentera Allah melalui pengutusan Malaikat. Dikatakan semasa angkatan Rom ingin memasuki wilayah Tabuk. Mereka telah digentarkan oleh Malaikat (dianggarkan sebanyak 100,000 malaikat) yang menyamar sebagai panglima-panglima tentera Islam yang berpakaian serba putih, berbadan besar, sasa dan tegap disamping mempunyai sut serta alatan tempur yang lengkap seperti angkatan berkuda dan memanah. Hal tersebut segera mematahkan perasan tentera Rom untuk memerangi Islam. Ini membuatkan pihak Islam menang besar tanpa menerima pertumpahan darah sedikit pun.


Firman Allah dalam ayat 41 surah at-Taubah:
Maksudnya : "Berangkatlah kamu baik dalam keadaan ringan atau pun berasa berat dan berjihadlah dengan harta dan dirimu di jalan Allah. Demikian itu lebih baik bagimu jika kamu mengetahui."


Kita ingatkan kepada kuffar bahawa dunia Islam bukan selama-lamanya suram sebaliknya ia akan kembali terang. Kita tidak akan izinkan lagi saudara kita dibunuh di Palestin, Afghanistan, India, Kashmir, Selatan Filiphina, Iraq dan lainnya.Walau pun sudah ramai mujahidin yang telah gugur syahid namun pertempuran ini akan terus berlangsung selagi kuffar merajai dunia dengan kesesatan dan keganasan. Islam akan terus melahirkan mujahidin termasuk yang masih berada dalam perut muslimat-muslimat yang bakal dilahirkan untuk menyambut kemenangan Islam. Biar darah membasahi bumi tetapi Islam tetap dijulang tinggi. Biar nyawa terpisah dari badan namun kemuliaan Islam tetap dipertahankan. Semoga kemenangan yang pernah dicapai oleh nabi dan tentera Islam dalam peperangan Tabuk tanpa menumpahkan banyak darah kerana musuh berundur ketakutan maka begitulah juga kita semua sama-sama berusaha dan berdoa kepada Allah agar kemenangan Islam dapat dicapai dalam masa terdekat hasil kesatuan umat Islam yang sama-sama kembali semula kepada seluruh sistem Islam dalam kehidupan seharian demi mencapai keredhaan Allah di dunia dan akhirat.


.ekhutbah.wordpress.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan