Home Klik Di Bawah

Selasa, 18 September 2012

Apa Yang Sedang Kau Nikmati Itu Milik Allah.


Bukan mudah sehalus kudrat jiwa yang lemah menongkah arus kehidupan yang dihuni pelbagai dugaan.  Tambahan lagi, di zaman yang kian mencabar minda dan fikiran.  Manusia bergerak, berinteraksi dan mencari peribadi sendiri diselimuti oleh kesibukan harian.  Manusia bertanding siapa kalah siapa menang mengumpul seberapa banyak timbunan harta yang menjadi impian.  Sehinggakan kita lupa tanggungjawab yang terpikul di bahu kita sebelum kita di hantar ke dunia pinjaman.

Janjinya kita apa?

Allah ‘Azza wa Jalla firmankan :
وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنْسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ
“Dan tidaklah Aku ciptakan jin dan Manusia melainkan untuk beribadah kepadaku”. [Adz Dzariyat [51] : 56].




Tetapi, perhatikan sekeliling kita.  Manusia tanpa segan silu menabur kaca pada nikmat kurniaanNya.  Nikmat yang di kurnia di sangka usahanya sendiri mendapatkannya.  Tidak sedar dengan sifat pemurah Allah swt.  Terus menerus mencari harta tanpa tutup mata menghadap kalkulator.  Mencongak-congak untung rugi hasil kerja.  Masakan ahli matematik seorang hartawan tidak pandai membilang waktu solat wajib yang cuma ada lima.  Kenapa masih ada yang bijak pandai dikurnia akal sempurna tidak mampu mengingat waktu solat yang ditelah difardukanNya.

Alangkah lupanya kita, bahawa harta setimbun gunung itu tidak mampu menjadi tanah yang empuk buat tidur lena yang lama.  Harta yang diburu tanpa kira waktu tidak mampu membuka mulutmu menjawab soalan malaikat.

Harta yang dimiliki hari ini belum tentu masih termiliki esok hari.  Jadi rezekimu cuma sekadar apa yang kau gunakan hari ini, makan di waktu ini dan pakaian yang dipakai kini.  Esok hari mungkin harta itu akan di tarik kembali kepada yang maha memberi.
Bersedekahlah, jangan takut kehilangan harta itu kerana berbuat baik kepada sesama makhluk akan mendamaikan hatimu.  Allah akan melipat gandakan apa yang telah kita sedekahkan.  Kalaupun tidak mendapat balasannya di dunia ini, akhirat nanti pasti akan terhitung tidak terkecuali.
“Tidak akan dikurangi harta dengan sebab bersedekah, Allah tidak menambah keampunan seseorang hamba melainkan seseorang itu ditambahkan dengan kemuliaan. Tidaklah seseorang itu merendah diri kerana mengharapkan keredhaan Allah melainkan akan diangkat darjatnya”.
(Riwayat Muslim)
Sedekah itu yang akan menjadi jariah.  Duit yang dikumpul kini hanya akan menjadi baja tanah.  Kecuali amalan sedekah itu lah yang akan mengalir sampai kepada kita sesudah kita kembali ke alam barzakh.
Keluarkanlah zakat untuk menyucikan harta.  Namun, ramai di antara kita mengabaikan hal ini.  Alangkah ruginya mereka yang mengetahui tetapi tidak mengambil berat.
Firman Allah SWT di dalam surah al-Taubah ayat : 103 yang bermaksud :
” Ambillah (sebagai) zakat dari sebahagian harta mereka (kerana) dengan zakat itu kamu membersih dan menyucikan mereka.”
Firman ALLAH Subhanahu wa Ta`ala yang bermaksud:

Orang-orang yang menyimpan emas dan perak dan tidak menafkahkannya di jalan ALLAH, berilah khabar gembira akan mendapat siksa yang pedih.  Yakni di saat emas dan perak itu dipanaskan di neraka jahannam, kemudian diseterikakan ke kening, pinggang dan punggung mereka.  Inilah harta yang kamu simpan-simpan buat dirimu itu.  Nah, rasailah hasil simpananmu!”  (Surah At-Taubah, ayat 34-35)

Kita tidak pernah memiliki apa-apa tanpa pemberianNya.  Tanda syukurnya kita atas anugerah yang Allah kurnia, makanya apa dikesalkan jika kita sama-sama berkongsi nikmat ini dengan insan lain yang memerlukan.

 Usah sombong mendabik dada pada nikmat Allah, jangan nanti papa barulah mula menadah tangan meminta sedekah.  Kerana Dia berhak memberi dan mengambilnya kembali
akuislam

Tiada ulasan:

Catat Ulasan