Home Klik Di Bawah

Khamis, 18 Oktober 2012

Al-Hajjaj..panglima kejam pada abad pertama Hijrah..


Al-Hajjaj ibn Yusuf al-Thaqafi adalah nama tidak asing kepada peminat sirah Islam. Al-Hajjaj adalah panglima yang hidup sezaman dengan ramai tokoh tabiin dan sahabat. Beliau dipercayai lahir pada awal Jun 661 Masihi bersamaan dengan 40 Hijrah. Al-Hajjaj dikaitkan dengan pelbagai kontroversi sehingga hampir menenggelamkan jasanya meluaskan empayar Islam Umayyah dalam jangka masa yang singkat.

Antara kontroversi paling diingati yang membabitkan Al-Hajjaj adalah membunuh hampir ribuan nyawa atas nama politik termasuk anak sahabat Rasulullah saw iaitu Abdullah bin Zubair bin Awwam. Dalam peristiwa pembunuhan Abdullah bin Zubair, ramai tokoh sirah Islam seperti Ibnu Kathir dalam kitabnya, Al-Bidayah menceritakan bagaimana dashyat dan ngerinya pembunuhan Abdullah bin Zubair ini.




Pembunuhan Abdullah bin Zubair bin Awwam

Ia bertitik tolak daripada Abdullah bin Zubair yang menabalkan dirinya sebagai Khalifah wilayah-wilayah Hijaz sekaligus memberontak terhadap kepimpinan Khalifah Umayyah, Malik bin Marwan. Bimbang dengan pengaruh Abdullah bin Zubair yang didokong oleh ramai sahabat dan ulama, Malik bin Marwan mengarahkan Al-Hajjaj yang terkenal bengisnya untuk memerangi pasukan pimpinan Abdullah bin Zubair.
Akibat terdesak, Abdullah bin Zubair mengambil tindakan berlindung di sekitar Kaabah. Pasukan Al-Hajjaj yang bagaimanapun tidak memperdulikan kemuliaan Rumah Allah itu terus membedil pasukan Abdullah bin Zubair dengan menggunakan manjanik daripada Bukit Abu Qubais.

Jabal Qubais daripada kejauhan. Di sinilah Al-Hajjaj membina Manjanik untuk menghancurkan pasukan Abdullah bin Zubair.

Akhirnya, Kaabah hampir roboh dibedil pasukan Al-Hajjaj dan Abdullah bin Zubair berjaya dibunuh. Kepala Abdullah bin Zubair dipenggal dan diarak sekitar kota Mekah atas arahan Al-Hajjaj. Ketika peristiwa tersebut berlaku, masih ramai lagi Sahabat dan Tabiin hidup. Mereka menangisi nasib yang berlaku kepada Abdullah bin Zubair sepertimana mereka menangisi nasib cucu Rasulullah saw, Hussein Bin Ali dalam peristiwa Karbala pada 680 Masihi. Perisitiwa pembunuhan Abdullah bin Zubair berlaku pada 692 Masihi.

Jasanya meluaskan empayar Islam Umayyah

Tidak salah untuk mengatakan bahawa Al-Hajjaj bertanggungjawab menguatkan pengaruh Dinasti Umayyah pada masa pemerintahan Malik bin Marwan. Al-Hajjaj mempunyai beberapa panglima yang hebat dan pintar, hampir setaraf dengan beliau. Kesemua mereka adalah hasil didikan beliau. Beliau adalah Musa bin Nusair, Muhammad bin Qasim dan Qutaiba bin Muslim. Di bawah kepimpinan Musa bin Nusair, Afrika Utara dan Semenanjung Iberia telah berjaya ditawan. Tariq bin Ziyad adalah panglima Musa bin Nusair yang membantunya menawan Semenanjung Iberia.

Muhammad bin Qasim pula berjaya menawan Turkestan manakala Qutaiba bin Muslim menjelajah sejauh Pakistan untuk menawan wilayah Sindh.

Al-Hajjaj berjaya meluaskan empayar Dinasti Umayyah sejauh ke India dan sempadan China.

Musuh para Ulama dan Tabiin

Ramai penulis zaman kini cuba membela Al-Hajjaj atas nama politik mahupun untuk kepentingan peribadi. Ingatlah bahawa Al-Hajjaj jikalau beliau adalah seorang yang baik dan soleh, beliau tidak akan tergamak menyentuh tubuh alim ulama dan para tabiin.

Antara ulama dan tabiin yang terkenal yang mana maut di tangan beliau adalah Sa’id bin Jubair. Dialog antara Sai’d bin Jubair dan Al-Hajjaj sebelum detik kematian Sai’d bin Jubair adalah antara dialog paling diingati yang mana menunjukkan seorang alim tidak mudah untuk ditewaskan dengan sebilah pedang. Sai’d bin Jubair maut setelah dipenggal kepalanya atas perintah Al-Hajjaj yang sendiri menyaksikannya.

Ulama dan tokoh sufi terkenal, Hasan al-Basri adalah antara tokoh yang kerap mengkritik dasar Al-Hajjaj yang keras, kejam dan kuku besi. Beliau sendiri turut serta dalam satu pemberontakan menentang Al-Hajjaj di bawah pimpinan Abdul Rahman bin Al-Ash’ath. Dalam pemberontakan tersebut, selain Hasan al-Basri, ulama lain seperti Abdul Rahman bin Abu Laila, Said bin Jubair, Al-Sha’bi, Abu al Bakhtari dan ramai lagi turut sama bangkit ke medan perang. Pemberontakan Abdul Rahman bin Al-Ash’ath berlaku pada 700 Masihi.

Akibat kekejaman dan sering menumpahkan darah, Khalifah Umar bin Abdul Aziz yang terkenal adil dan saksama telah membuat satu polisi yang menggariskan mana-mana individu pernah berkhidmat walau satu hari dengan Al-Hajjaj tidak dibenarkan berkhidmat dalam kerajaannya. Khalifah yang memerintah Dinasti Umayyah daripada tahun 717 Masihi sehingga 720 Masihi ini sangat benci dengan kekejaman yang dilakukan oleh Al-Hajjaj sepanjang menjadi Gabenor dan Panglima Khalifah Malik bin Marwan dan Al-Walid bin Marwan.

Pada 715 Masihi, tokoh paling kontroversi dalam sirah Islam ini meninggal dunia di Iraq akibat masalah kecacingan. Ulama seperti Hasan al-Basri dan para sahabatnya meluahkan rasa bersyukur kepada Allah swt atas pemergian Al-Hajjaj yang terkenal kejamnya ini. Malah, Umar bin Abdul Aziz yang ketika itu belum lagi menyandang jawatan khalifah turut meluahkan rasa bersyukur ke hadrat Ilahi.

Balasan Allah swt

Diriwayatkan oleh Abu Hazim al-Khunasiri al-Asadi bahawa Umar bin Abdul Aziz pernah bermimpi melihat Al-Hajjaj dalam keadaan terseksa akibat azab Allah swt yang pedih. Umar menceritakan kepada Abu Hazim bagaimana beliau bermimpi dalam keadaan seakan-akan sudah berada di Hari Penghitungan dan Kebangkitan. Pada mula diseru oleh suara misteri melaungkan suara Abu Bakar As-Siddiq, kemudian Umar Al-Khattab, kemudian Uthman bin Affan dan kemudian Ali bin Abi Talib. Keempat-empat mereka yang juga digelar Khulafa Ar-Rashiddin dihisab dengan bergitu mudah dan dibawa oleh dua Malaikat ke Syurga Allah swt.

Kemudian, dilaungkan nama Umar bin Abdul Aziz yang juga nama beliau. Kemudian dihisab sehingga menurut Umar dihisab amalannya daripada yang sekecil sehingga yang sebesar-besarnya. Umar membayangkan beliau pasti tidak akan terlepas hisab yang Allah swt berikan. Namun, dengan rahmat Allah swt, beliau dimasukkan ke dalam syurga sebagaimana Abu Bakar As-Siddiq, Umar Al-Khattab, Uthman bin Affan dan Ali bin Abi Talib.

Ketika Umar bin Abdul Aziz di bawa oleh dua Malaikat menuju ke syurga, beliau terlihat bangkai yang dicampakkan ke dalam abu.

Umar lantas bertanya: “Bangkai apakah itu?” Jawab para malaikat: ”Dekatilah bangkai itu dan tanya dia sendiri, nescaya dia akan memberitahumu.”

Lalu Umar menghampiri bangkai tersebut, menyentuhnya dengan kakinya dan bertanya kepadanya: “Siapa kamu?” Bangkai tersebut lalu menjawab pertanyaanku dengan katanya: “Siapa juga kamu?” Jawab Umar: “Aku Umar bin Abdul Aziz.”

Bangkai itu bertanya lagi: “Apa yang telah dikurniakan Allah swt kepadamu dan sahabat-sahabatmu?”

Jawab Umar: “Berkenaan dengan empat orang sebelumku, mereka semua telah diperintah oleh Allah swt ke golongan kanan iaitu ke syurga. Sementara mereka yang sesudahnya aku tidak tahu apa yang telah Allah swt lakukan terhadap mereka.”

Dia bertanya lagi: “Apa yang telah Allah swt kurniakan kepada dirimu sendiri?

Jawab Umar: “Allah swt telah memberikankan kurnia-Nya kepadaku dengan merahmati aku dan kemudian memerintahkan aku ke golongan kanan iaitu ke syurga.”

Kemudian Umar bertanya kembali: “Siapakah engkau?

Jawab bangkai tersebut: “Saya adalah Al-Hajjaj bin Yusuf al-Shaqafi

Umar pun bertanya lagi: “Wahai Hajjaj! Apakah balasan Allah yang Allah swt telah timpakan kepadamu?
Jawab Hajjaj: “Aku telah datang menemui Tuhan yang sangat keras azab-Nya, sangat dahsyat tindakan-Nya dan sangat pendendam terhadap siapa yang melakukan maksiat terhadapnya. Lalu aku dengan perintah Allah swt telah dibunuh berkali-kali iaitu mengikuti sebanyak jumlah pembunuhan yang telah aku lakukan sewaktu di dunia dahulu. Saat ini aku sedang diadili dihadapan Tuhanku dan sedang menanti keputusan daripada-Nya sebagaimana yang dinantikan oleh mereka yang mengesakan Allah swt iaitu apakah ke syurga atau ke neraka.”

Hikmah
Cerita berkisarkan Al-Hajjaj wajar dijadikan pedoman. Miskipun kita berjuang untuk menyebarkan empayar bagi perluasan empayar Islam, ia tidak bermakna kita wajar menumpahkan darah para ulama dan para alim mahupun rakyat jelata yang tidak berdosa. Ia tidak selari dengan sunnah Rasulullah saw. Rasulullah saw dalam kempen peperangan baginda, baginda melarang mana-mana tentera Islam menyentuh wanita-wanita, anak-anak kecil dan orang-orang tua. Ia bersesuaian dengan firman Allah swt,

Dan perangilah di jalan Allah orang-orang yang memerangi kamu, (tetapi) janganlah kamu melampaui batas, kerana sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas.
Surah Al-Baqarah ayat 190
takusahtrisau

Tiada ulasan:

Catat Ulasan