Home Klik Di Bawah

Khamis, 25 Oktober 2012

Sabar kecantikan rohani

 Nikmat ketenangan hidup jika berjaya kawal nafsu amarah.

Boleh dikatakan setiap manusia berkeinginan supaya kelihatan cantik dan tampan. Kebiasaannya untuk mencantikkan diri, mereka menggunakan alat kecantikan. Cukupkah kecantikan dan ketampanan luaran (jasmani) saja tanpa dihiasi kecantikan dalaman (rohani)?
Aspek penampilan luaran tidak memadai jika tidak dihiasi kecantikan dalaman. Malah, Allah SWT tidak mengambil kira aspek penampilan luaran dalam menilai sama ada seseorang itu baik atau sebaliknya.

Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada rupa paras (penampilan) dan harta benda kamu, tetapi (Dia) melihat kepada hati dan amalan kamu”
 
 


Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada rupa paras (penampilan) dan harta benda kamu, tetapi (Dia) melihat kepada hati dan amalan kamu.” (Riwayat Muslim dan Ibn Majah)

Jelas di sini seseorang manusia itu lebih kelihatan cantik dan tampan jika penampilannya dihiasi kecantikan dalaman (akhlak). Terdapat pelbagai jenis kecantikan dalaman dan salah satu daripadanya adalah menghiasi diri dengan sifat bersabar.

Sabar adalah suatu mujahadah mendidik nafsu yang berada dalam diri seseorang. Apabila nafsu berjaya dididik dan sifat sabar berkembang dalam diri, maka dia akan mendapat nikmat ketenangan daripada Allah SWT. Apabila diri tenang, setiap perkara dilakukan kelihatan cantik dan tersusun.

Kesabaran diterima Allah SWT adalah sabar setelah mendapat sesuatu ujian. Hal ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW: “Sesiapa yang reda di atas kematian tiga orang anaknya, baginya satu benteng yang kukuh daripada api neraka. Bertanya Abu Zar: Ya Rasulullah, aku telah reda di atas kematian dua orang anakku. Jawab Nabi SAW: Ya, walaupun dua orang. Selepas itu, bertanya pula seorang sahabat bernama Ubai bin Ka’ab: Ya Rasulullah, aku telah reda di atas kematian seorang anakku. Jawab Rasulullah SAW: Ya, walaupun seorang, tetapi dengan syarat ganjaran itu akan diperoleh mereka yang sabar ketika mula-mula ditimpa musibah.” (Riwayat al-Tirmizi)

Selain itu, kisah sabar ini boleh dilihat daripada kisah Ummu Salamah yang diuji dengan kematian anaknya. Dia reda dan hanya mengharapkan ganjaran Allah SWT semata-mata dengan pemergian anaknya itu.

Kesabaran itu juga membolehkan Ummu Salamah tenang menyiapkan segala persiapan untuk persemadian anaknya. Dimandikan, dikafankan dan ditempatkan di pembaringan. Setelah suaminya pulang dan bertanya mengenai anaknya, dia hanya menjawab dengan tenang anaknya baik-baik saja dan melayan suaminya dengan baik.

Setelah itu, dengan penuh hikmah dia menceritakan kisah sebenar tentang kematian anaknya itu. Hasil daripada kesabaran yang ditanggung oleh Ummu Salamah dan suaminya itu, mereka dikurniakan anak-anak yang ramai. Semuanya menjadi orang yang alim.

Seseorang yang tidak sabar, sikap itu akan mudah terserlah terutama ketika menghadapi saat-saat sukar. Misalnya, ketika berada dalam kesesakan jalan raya, seseorang itu sering marah dan mencaci pemandu lain.

Tidak kurang juga yang mudah melenting apabila dirinya ditegur. Dia akan memarahi kembali orang yang menegurnya itu.

Seseorang itu akan kelihatan lebih cantik dan tampan jika sifat sabar ini tumbuh subur dalam diri. Ia bukan saja menyerlahkan kecantikan dan ketampanan, malah mendapat rahmat serta kasih sayang daripada Allah SWT. Oleh itu, bersabarlah apabila diri dikhianati, disakiti dan dimarahi.

Sumber: epondok.wordpress.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan