Home Klik Di Bawah

Isnin, 5 November 2012

10 CARA MELAPANGKAN HATI

Sedih, marah dan dendam adalah 3 dari tindakan yang menyebabkan dada ini terasa sempit. Tetapi, perkara tersebut sentiasa menghiasi hidup manusia. Kadang-kadang ada di dalam diri dalam jangka waktu yang panjang dan kadang-kadang hanya dalam tempoh yang singkat saja. Pastinya ketika sifat-sifat tersebut bersarang di hati, dada akan terasa sesak, hati pun kehilangan fungsinya dan menjadi lemah. Keadaan yang lemah itu membuat syaitan mudah menguasai hati manusia.

Orang yang beriman tentu tidak akan membiarkan hatinya dijangkiti hal-hal yang menyesakkan dadanya. Maka ia akan melindungi diri dari tindakan tersebut dan mengubati penyakit yang sudah terlanjur. Adapun ubat mujarab untuk itu bukanlah ubat yang bersifat fizikal. Berikut adalah amal-amal yang, InsyaAllah.. akan dapat menghilangkan kesesakkan dalam dada yang kemudiannya akan menjadi dada yang lapang.
 
 
 
 
 

  • MengEsakan Allah
Ibnul Qayyim mengatakan: "Kecintaan kepada Allah, ma'rifat/mengenal kepadaNya serta mengingatiNya secara terus-menerus, tenang dan tenteram kepadaNya, mengEsakanNya dalam kecintaan, rasa takut, pengharapan, tawakkal dan mu'amalah, di mana Dia sajalah yang menguasai harapan, keinginan dan tekad hamba, adalah syurga dunia, kenikmatan yang tak ada bandingannya. Itulah penyejuk mata sang pecinta, dan kehidupan orang-orang yang arif.
Beliau juga mengatakan: “Sesuai dengan kesempurnaan (tauhid)nya, kekuatannya, dan peningkatannya, maka akan wujudlah kelapangan dada orang yang bersangkutan" [Zaadul Ma’ad]

  • Prasangka baik kepada Allah
Persangkaan baik kepada Allah, diwujudkan dalam bentuk merasakan dan menyedari bahawa Allah adalah Dzat yang menghilangkan kesedihan dan duka. Sesungguhnya, apabila seorang hamba berprasangka baik kepada Rabbnya, Allah akan membukakan baginya pintu berkatNya dari arah yang tak disangka-sangka. Maka, marilah sentiasa berprasangka baik kepada Allah, semoga kelak kita akan melihat perkara yang membahagiakan datang dari Allah.
Dari Abu Hurairah r.a, ia berkata ; Rasulullah SAW bersabda: "Allah berfirman; Aku mengikuti persangkaan hambaKu kepadaKu. Jika ia bersangka baik maka baginya (kebaikan) dan jika ia bersangka buruk maka baginya (keburukan)." [HR Imam Ahmad dan Ibnu Hibban]

  • Ilmu Syar'i
Ilmu syar'i akan melapangkan dan melonggarkan dada sedangkan kejahilan akan melahirkan kesempitan, sesak dada dan rasa terpencil. Setiap kali ilmu seseorang bertambah banyak dan bertambah luas, maka hatinya akan terasa semakin lapang dan longgar. Ibnul Qayyim mengatakan : "Ilmu Syar'i akan melapangkan dan melonggarkan dada sehingga terasa lebih luas dari dunia. Sedangkan kejahilan akan menyesakkan dada, menyempitkan dan mengongkongnya. Maka setiap kali ilmu seorang hamba bertambah maka hatinya akan terasa lebih lapang dan luas. Tetapi ini tidak akan berlaku untuk semua ilmu, melainkan khusus bagi ilmu yang diwarisi dari Rasulullah SAW. Itulah ilmu yang bermanfaat, sehingga pemiliknya menjadi orang yang hatinya paling lapang dan longgar, paling baik akhlaknya, hidupnya paling baik."

  • Dzikir kepada Allah dan banyak berdo’a
Wahai orang yang dadanya terasa sesak, dan urusannya berbagai-bagai, angkatlah telapak tanganmu seraya memohon kepada Rabbmu. Curahkanlah keluhanmu dan kesedihanmu kepadaNya. Cucurkanlah air matamu di hadapanNya. Dan ketahuilah, semoga Allah memeliharamu, bahawa Allah lebih mengasihimu daripada ibumu dan ayahmu, daripada isteri dan anak-anakmu.
Di antara dzikir-dzikir yang dicontohkan oleh Rasulullah SAW dalam mengatasi kesesakan dada itu adalah :
لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ الْعَظِيْمُ الْحَلِيْمُ، لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ رُبُّ الّعَرْشِ الْعَظِيْمِ، لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ رَبِّ السَّمَاوَاتِ وَرَبِّ اْلأَرْضِ وَرَبُّ الْعَرْشِ الْكَرِيْمِ 
"Tiada ilah selain Allah yang Maha agung dan Maha Pemurah, Tiada ilah selain Allah, Rabb Arsy yang agung, tidak ada ilah melainkan Allah Rabb langit dan Rabb bumi, serta Rabb arsy yang mulia" [HR al-Bukhari dam Muslim]
اللهم رحمتك أرجو فلا تكلني إلى نفسي طرفة عين وأصلح لي شأني كله لا إله إلا أنت
Dari Abu Bakrah r.a (ia berkata) bahawasanya Rasulullah SAW bersabda : Do'a orang yang kesusahan adalah: "Ya Allah, RahmatMu aku harapkan, maka janganlah Kau bebankan aku kepada diriku meskipun hanya sekejap mata, dan perbaikilah bagiku seluruh keadaanku, tiada Tuhan melainkan Engkau.” [HR Abu Dawud dan Ibnu Majah]
Dan masih banyak lagi dzikir-dzikir yang diajarkan Baginda.

  • Bersegera meninggalkan maksiat dan melakukan muhasabah terhadap diri.
Kemaksiatan adalah kehinaan, tersingkir dan terjauh dari rahmat Allah, kesedihan, kekalutan dan kesempitan hati. Perlu disedari, bahawa dosa-dosa adalah pintu yang besar bagi datangnya berbagai musibah kepada seorang hamba.
Firman Allah yang bermaksud:
"Dan apa saja musibah yang menimpa kamu maka adalah disebabkan oleh perbuatan tanganmu sendiri, dan Allah memaafkan sebahagian besar (dari kesalahan-kesalahanmu)" (Asy-Syura:30)

  • Menunaikan kewajiban secara terus menerus
Memelihara rutin dalam menunaikan kewajiban, dan memperbanyak amalan sunat seperti puasa, solat, sedekah, kebaikan dan lain-lainnya. Terus menerus dalam menunaikan kewajiban dan memperbanyak amal sunat adalah salah satu sebab untuk mendapatkan kecintaan Allah kepada hambaNya, sebagaimana disebutkan di dalam hadits
Dari Abu Hurairah r.a ia berkata, Rasulullah SAW bersabda : Bahawasannya Allah berfirman : 

"Barangsiapa memusuhi kekasihku maka aku nyatakan perang kepadanya. Dan tidaklah hambaKu mendekatkan diri kepadaKu dengan sesuatu yang lebih aku sukai daripada dengan apa-apa yang telah Aku perintahkan kepadanya. Dan hambaKu masih terus mendekatkan diri kepadaKu dengan amal sunnah sampai Aku mencintainya. Jika aku telah mencintainya maka Aku akan menjadi pendengarannya yang dia gunakan untuk mendengar, dan menjadi penglihatannya yang dipakai untuk melihat, dan menjadi tangannya yang digunakan untuk menyentuh, Jika dia memohon kepadaKu nescaya Aku penuhi ia, dan jika ia memohon perlindungan kepadaku, nescaya aku beri perlindungan kepadaNya." (HR al-Bukhari)

  • Bermajlis dengan orang-orang yang soleh
Berkumpul dengan sahabat-sahabat yang soleh, mendengarkan pembicaraan mereka, mengambil manfaat dari percakapan dan nasihat mereka. Dengan demikian berkumpul dengan mereka akan mendapatkan redha Allah, sekaligus membuat marah syaitan. Sebab itulah biasakanlah untuk duduk bersama dengan orang soleh dan mohonlah nasihat dari mereka, dari sana kamu akan melihat hatimu menjadi lapang.

  • Membaca al-Qur'an
Membaca al-Qur'an dengan disertai tadabbur dan renungan merupakan salah satu sebab penting untuk menghilangkan duka lara yang menyelimuti hati. Bacaan al-Qur'an akan melahirkan ketenangan dan kelapangan di hati. 

Firman Allah:
"Orang-orang yang beriman dan hati mereka tenang dengan mengingat Allah, ketahuilah dengan mengingat Allah hati akan menjadi tenang." (ar-Ra’d:28)

  • Berbuat ihsan kepada sesama makhluk
Ihsan kepada sesama manusia, dan memberikan manfaat dengan segala yang kita miliki adalah salah satu sebab terbukanya hati. Sifat pemurah, dermawan dan suka membantu orang lain akan melapangkan dada dan mengharumkan jiwa. Kerana itulah mari kita berusaha sekuat tenaga untuk menjadi orang yang dermawan dan suka membantu orang lain. Terutama kepada kedua orang tua, kerabat, tetangga, kawan-kawan dan lain-lainnya.

  • Melepaskan dendam dari dalam hati.
Hasad, iri hati dan dengki merupakan sebab kesempitan dada seseorang. Sebaliknya kebersihan dan ketenteraman hati merupakan sebab lapangnya dada seseorang. Oleh kerana itu, marilah berusaha menyihatkan hati kita, menjauhi hal-hal yang menyebabkan dada terasa sesak. Marilah tinggalkan kebencian, permusuhan dan kedengkian kepada orang lain. Sebaliknya mari kita pupuk rasa cinta terhadap saudara-saudara kita, sebagaimana sabda Rasulullah SAW :
"Tidaklah beriman salah seorang dari kamu hingga ia mencintai saudaranya seperti mencintai dirinya sendiri." (HR al-Bukhari)



Wallahu a'lam..
 keinsafan-diri-ini.blogspot.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan