Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs)
menyambut baik dan bersetuju dengan cadangan kerajaan supaya kenaikan
pangkat secara 'timed-based', yang kini dinikmati sektor pendidikan dan
kesihatan, diperluas kepada perkhidmatan awam lain.
Presidennya, Datuk Omar Osman berkata langkah ini sememangnya dinantikan penjawat awam lain.
"Kalau semua kementerian menggunakan kaedah time-based, itu satu
perkara yang amat ditunggu-tunggu oleh semua penjawat awam, sebab di
situ nanti mereka akan dapat meningkatkan produktiviti dan prestasi
kerja mereka.
"Time-based ini tak sama dengan kenaikan KUP (Khas Untuk Penyandang).
Time-based mesti ada satu mekanisma supaya yang naik berdasarkan kaedah
time-based hanya yang betul-betul layak sahaja. Kalau dia naik jawatan
tapi tak tau nak buat kerja apa pun, baik tak payah," katanya kepada
pemberita selepas merasmikan Majlis Penyerahan Kad Skuad Pengguna kepada
anggota Cuepacs di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Ketua Setiausaha
Negara Datuk Seri Dr Ali Hamsa berkaitan cadangan kerajaan berhubung
perkara itu.
Ali berkata kerajaan sedang meneliti secara terperinci pelaksanaannya
termasuk menunggu laporan Suruhanjaya Khas Mengkaji Transformasi
Perkhidmatan Awam sebelum perluasan terbabit dilakukan.
Omar berkata penjawat awam tidak memerlukan lagi sistem kenaikan pangkat melalui kaedah temu duga.
"Buat apa nak temu duga kalau dah kerja 30 tahun. Yang menjadi penemu
duga pula baru kerja lima tahun tapi yang ditemu duga dah kerja 30
tahun. Masa temu duga pula 15 minit saja, kemudian tanya pula yang
bukan-bukan... ," katanya.
Beliau juga berkata kenaikan pangkat melalui kaedah time-based akan
dinilai melalui kompetensi, produktiviti dan sumbangan kerja.
"Kalau kerja bagus tapi tak ada sumbangan, tak kreatif, tak
berintegriti dan tidak mempunyai sahsiah yang baik, jangan naikkan
pangkat dia," katanya.
BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan