Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan pada
rabu mengumumkan 13 jenis barangan terkawal di bawah Skim Kawalan Harga
Musim Perayaan Krismas 2012.
Menterinya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata skim itu berkuat
kuasa selama lima hari dari 23 hingga 27 Disember dan kementerian
menggerakkan 1,900 penguat kuasa, 1,500 pemantau harga dan 60,000
anggota skuad pengguna untuk memastikan peniaga mematuhinya.
Antara barangan terbabit ialah ayam hidup dengan harga maksimum
RM5.90 sekilogram, ayam standard (RM7/kg), ayam super (RM7.80/kg), ayam
belanda import (RM23/kg) dan daging kambing tempatan bertulang
(RM35/kg), katanya pada sidang media di sini.
Barangan lain ialah daging kambing biri-biri import bertulang
(RM19.50/kg), daging kambing biri-biri import tanpa tulang dan tidak
termasuk paha (RM23/kg), daging paha kambing biri-biri import bertulang
(RM24/kg), telur ayam gred A (35 sen sebiji), B (34 sen) dan C (33 sen),
tomato(RM4/kg) serta lada benggala hijau (RM8.50/kg).
Katanya peniaga yang didapati melanggar peraturan itu boleh didenda
sehingga RM100,000 atau dipenjarakan tidak lebih tiga tahun atau
kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000.
"Bagi syarikat pula boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000," katanya.
Beliau turut mengingatkan peniaga agar meletakkan tanda harga
berwarna merah jambu untuk barangan terbabit dan jika gagal boleh
didenda sehingga RM10,000 atau kompaun sehingga RM5,000 bagi individu
dan denda RM20,000 atau dikompaun sehingga RM10,000 bagi syarikat.
Katanya sebanyak 232 kes direkodkan berhubung pelanggaran Skim
Kawalan Harga Musim Perayaan sepanjang tahun ini dengan nilai kompaun
RM26,848.50.
"Negeri yang paling banyak buat kesalahan di bawah barangan harga
terkawal ialah Pulau Pinang iaitu sebanyak 58 kes diikuti dengan
Selangor sebanyak 51 kes.
"Kebanyakan kes membabitkan kesalahan menjual melebihi harga
ditetapkan dan gagal meletakkan tanda harga berwarna merah jambu,"
katanya.
Aduan mengenai peniaga tidak mematuhi skim tersebut boleh dibuat menerusi e-mel.
mstar
Tiada ulasan:
Catat Ulasan