Home Klik Di Bawah

Sabtu, 5 Januari 2013

10 Muwashoffat Tarbiyah atau karakter tarbiyah.

Gambar hiasan 
1. Salimul Aqidah (Good Faith)

Aqidah yang bersih (salimul aqidah) merupakan sesuatu yang harus ada pada setiap muslim. Dengan aqidah yang bersih, seorang muslim akan memiliki ikatan yang kuat kepada Allah SWT dan dengan ikatan yang kuat itu dia tidak akan menyimpang dari jalan dan ketentuan- ketentuan-Nya. Dengan kebersihan dan kemantapan aqidah, seorang muslim akan menyerahkan segala perbuatannya kepada Allah sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: ‘Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidup dan matiku, semua bagi Allah Tuhan semesta alam’ (QS 6:162). Kerana memiliki aqidah yang salim merupakan sesuatu yang amat penting, maka dalam da’wahnya kepada para sahabat di Makkah, Rasulullah Saw mengutamakan pembinaan aqidah, iman atau tauhid.
 
 
 
 
2. Shahihul Ibadah (Right Devotion)

Ibadah yang benar (shahihul ibadah) merupakan salah satu perintah Rasulullah yang penting, dalam satu haditsnya; baginda menyatakan: "Solatlah kamu sebagaimana kamu melihat aku solat.’ Dari ungkapan ini maka dapat disimpulkan bahawa dalam melaksanakan setiap peribadatan haruslah merujuk kepada sunnah Rasul SAW yang bererti tidak boleh ada unsur penambahan atau pengurangan.
 
3. Matinul Khuluq (Strong Character)

Akhlak yang kokoh (matinul khuluq) atau akhlak yang mulia merupakan sikap dan perilaku yang harus dimiliki oleh setkal muslim, baik dalam hubungannya kepada Allah mahupun dengan makhluk-makhluk-Nya. Dengan akhlak yang mulia, manusia akan bahagia dalam hidupnya, baik di dunia apa lagi di akhirat. Kerana begitu penting memiliki akhlak yang mulia bagi umat manusia, maka Rasulullah SAW diutus untuk memperbaiki akhlak dan baginda sendiri telah menunjukkan  kepada kita akhlak baginda yang agung sehingga diabadikan oleh Allah di dalam Al- Qur’an, Allah berfirman yang bermaksud: ‘Dan sesungguhnya kamu benar- benar memiliki akhlak yang agung’ (QS 68:4).
 
4. Qowiyyul Jismi (Physical Power)
Kekuatan jasmani (qowiyyul jismi) merupakan salah satu sisi peribadi muslim yang harus ada. Kekuatan jasmani bererti seorang muslim memiliki daya tahan tubuh sehingga dapat melaksanakan ajaran Islam secara optima dengan keadaan fizikalnya yang kuat. Solat, puasa, zakat dan haji merupakan amalan di dalam Islam yang harus dilaksanakan dengan kemampuan fizikal yang sihat atau kuat, apalagi berjihad ( berperang ) di jalan Allah dan bentuk- bentuk perjuangan lainnya. Oleh kerana itu, kesihatan jasmani harus mendapat perhatian seorang muslim dan pencegahan dari penyakit jauh lebih utama daripada pengubatan. Meskipun demikian, sakit tetap kita anggap sebagai sesuatu yang wajar bila hal itu kadang-kadang terjadi. Ini kerana kekuatan jasmani juga termasuk yang penting, maka Rasulullah SAW bersabda yang ertinya: ‘Mu’min yang kuat lebih aku cintai daripada mu’min yang lemah’ (HR. Muslim).
 
5. Mutsaqqoful Fikri (Thinking Brilliantly)
Intelek dalam berfikir (mutsaqqoful fikri) merupakan salah satu sisi peribadi muslim yang penting. Kerana itu salah satu sifat Rasul adalah fatonah (cerdas) dan Al-Qur’an banyak mengungkap ayat-ayat yang merangsang manusia untuk berfikir, misalnya firman Allah yang bermaksud: Mereka bertanya kepadamu tentang, khamar dan judi. Katakanlah: ‘pada kedua-duanya itu terdapat dosa besar dan beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosa kedua-duanya lebih besar daripada manfaatnya.’ Dan mereka bertanya kepadamu apa yang mereka nafkahkan. Katakanlah: ‘Yang lebih dari keperluan.’ Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepadamu supaya kamu berfikir (QS 2:219). 
 
Di dalam Islam, tidak ada satupun perbuatan yang kita lakukan, kecuali harus dimulai dengan saranan agar berfikir terlebih dahulu. Seseorang muslim harus memiliki wawasan keislaman dan keilmuan yang luas. Boleh kita bayangkan, betapa bahayanya suatu perbuatan tanpa mendapatkan pertimbangan pemikiran secara matang terlebih dahulu. Oleh kerana itu Allah mempertanyakan kepada kita tentang tingkatan intelektual seseorang sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: Katakanlah: Samakah orang yang mengetahui dengan orang yang tidak mengetahui, sesungguhnya orang-orang yang berakallah yang dapat menerima pelajaran (QS 39:9).
 
6. Mujahadatun Linafsihi (Continence)

Berjuang melawan hawa nafsu (mujahadatun linafsihi) merupakan salah satu keperibadian yang harus ada pada diri seorang muslim, kerana setiap manusia memiliki kecenderungan pada yang baik dan yang buruk. Melaksanakan kecenderungan pada yang baik dan menghindari yang buruk amat menuntut adanya kesungguhan dan kesungguhan itu akan ada manakala seseorang berjuang dalam melawan hawa nafsu. Oleh kerana itu hawa nafsu yang ada pada diri manusia harus ditundukkan pada ajaran Islam, Rasulullah SAW bersabda yang ertinya: Tidak beragama seseorang dari kamu sehingga ia menjadikan hawa nafsunya mengikuti apa yang aku bawa (ajaran Islam) (HR. Hakim).
 
7. Harishun ‘ala Waqtihi (Good time management)

Pandai menjaga waktu (harishun ala waqtihi) merupakan faktor penting bagi manusia. Hal ini kerana waktu itu sendiri mendapat perhatian yang begitu besar dari Allah dan Rasul-Nya. Allah SWT banyak bersumpah di dalam Al-Qur’an dengan menyebut nama waktu seperti wal fajri, wad dhuha, wal asri, wallaili dan sebagainya. Allah SWT memberikan waktu kepada manusia dalam jumlah yang sama setiap hari,iaitu 24 jam sehari semalam. Dari waktu yang 24 jam itu, ada manusia yang beruntung dan tak sedikit manusia yang merugi. Bertepatanlah dengan sebuah kata-kata :
 
‘Lebih baik kehilangan jam daripada kehilangan waktu.’


Waktu merupakan sesuatu yang cepat berlalu dan tidak akan pernah kembali lagi. Oleh kerana itu setiap muslim amat dituntut untuk mengatur waktunya dengan baik, sehingga waktu dapat berlalu dengan penggunaan yang efektif, tak ada yang sia-sia. Maka di antara yang disarankan oleh Nabi SAW adalah memanfaatkan momentum lima perkara sebelum datang lima perkara, yakni waktu hidup sebelum mati, sihat sebelum sakit, muda sebelum tua, senggang sebelum sibuk dan kaya sebelum miskin.
 
8. Munazhzhamun fi Syu’unihi (Well Organized)

Teratur dalam suatu urusan (munzhzhamun fi syuunihi) termasuk keperibadian seorang muslim yang ditekankan oleh Al-Qur’an mahupun sunnah. Oleh keranaa itu dalam hukum Islam, baik yang berkaitan dengan masalah ubudiyah mahupun muamalah harus diselesaikan dan dilaksanakan dengan baik. Ketika suatu urusan ditangani secara bersama-sama, maka diharuskan bekerjasama dengan baik sehingga Allah menjadi cinta kepadanya. Dengan kata lain, suatu usaha dikerjakan secara profesional, sehingga apapun yang dikerjakannya, profesionalisme selalu mendapat perhatian darinya. Bersungguh-sungguh, bersemangat dan sanggup berkorban, adanya kepakaran dalam ilmu pengetahuan merupakan di antara yang mendapat perhatian secara serius dalam menunaikan tugas.
 
9. Qodirun ‘alal Kasbi (Independent)

Memiliki kemampuan usaha sendiri atau yang juga disebut berdikari (qodirun alal kasbi) merupakan ciri lain yang harus ada pada seorang muslim. Ini merupakan sesuatu yang amat diperlukan. Mempertahankan kebenaran dan berjuang menegakkannya baru dapat dilaksanakan jika seseorang memiliki keupayaan, terutama dari segi ekonomi. Tidak sedikit individu yang terpaksa mengorbankan prinsip diri kerana tidak berkemampuan dari segi ekonomi. Oleh kerana itu seseorang muslim tidaklah mesti miskin, seorang muslim boleh saja kaya raya bahkan memang harus kaya agar dia mampu menunaikan haji dan umrah, zakat, berinfaq, shadaqah, dan mempersiapkan masa depan yang baik.


Oleh kerana itu perintah mencari nafkah amat banyak di dalam Al-Qur’an mahupun hadits dan hal itu memilik keutamaan yang sangat tinggi. Dalam kaitan menciptakan kemampuan inilah seorang muslim amat dituntut memiliki keupayaan ( kepakaran) dalam pelbagai bidang yang bermanfaat, agar dengan kemahiranya itu menjadi sebab baginya mendapat rezeki dari Allah SWT, kerana rezeki yang telah Allah sediakan harus diambil dan mengambilnya memerlukan kemahiran atau kepakaran.
 
10. Naafi’un Lighoirihi (Giving Contribution)

Bermanfaat bagi orang lain (nafi’un lighoirihi) merupakan sebuah tuntutan kepada setiap muslim. Manfaat yang dimaksud tentu saja manfaat yang baik sehingga di manapun dia berada, orang di sekitarnya merasakan keberadaannya kerana bermanfaat besar. Maka jangan sampai seorang muslim adanya tidak menggenapkan dan tiadanya tidak mengganjilkan. Ini bererti setiap muslim itu harus selalu berfikir, mempersiapkan dirinya dan berupaya semaksima mungkin untuk memberi manfaat dalam hal-hal tertentu sehingga jangan sampai seorang muslim itu tidak berupaya mengambil peranan yang baik dalam masyarakatnya. Dalam kaitan inilah, Rasulullah SAW bersabda yang ertinya: sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat bagi orang lain (HR. Qudhy dari Jabir).
 
Demikian secara umum profil seorang muslim yang disebutkan dalam Al-Qur’an dan hadits.
Semoga bermanfaat.
bangdani.wordpress

Tiada ulasan:

Catat Ulasan