|
KEADAAN iklim di Asia Barat sememangnya mudah dijangka. Cuacanya
terik pada musim panas dan dingin serta sesekali diselangi hujan lebat
pada musim sejuk.
Bagaimanapun pada minggu lalu, iklim di rantau itu berubah mendadak.
Hujan lebat berterusan selama beberapa hari disusuli salji tebal.
Fenomena yang disifatkan terburuk dalam tempoh dua dekad oleh
pakar-pakar metereologi menyebabkan ribut salji dan banjir yang
melumpuhkan beberapa bandar utama dari Semenanjung Gaza sehingga ke
Istabul termasuk Syria yang terjejas teruk akibat konflik yang berlaku
hampir dua tahun lalu.
Penduduk Syria tersepit dalam perang saudara antara puak pemberontak
dan tentera yang setia dengan Presiden Bashar al-Assad, terpaksa
membakar buku-buku dan perabot untuk memanaskan badan disebabkankekurangan bahan bakar seperti minyak dan elektrik.
Situasi itu bertambah meruncing bagi ribuan pelarian yang kini
berlindung di negara-negara jiran seperti Lebanon dan Jordan serta lebih
sejuta penduduknya yang terperangkap di negara itu.
Bagaimanapun, kejadian ribut salji disusuli banjir besar yang melanda
tidak menghentikan pertempuran antara kedua-dua pihak. Kini lebih
60,000 nyawa terkorban.
Abu Othman, seorang aktivis puak penentang berkata, serangan darat
masih berterusan biarpun cuaca buruk menyebabkan tentera Assad terpaksa
menghentikan serangan udara buat sementara waktu.
"Keadaan semakin buruk sejak ribut melanda. Semua orang kesejukan, tiada apa yang boleh digunakan untuk memanaskan badan kami."Kekurangan bekalan makanan juga berlaku kerana hujan dan salji
menyebabkan keadaan jalan raya sangat berbahaya," katanya sambil
memberitahu suhu di Damsyik kini mencecah negatif enam darjah Celcius.
Di utara Syria, ribuan pelarian kini berlindung di dalam gua, kata
Fadi Yasin, aktivis dari wilayah Idlib, kawasan tercetusnya protes aman
sebelum bertukar kepada penentangan bersenjata.
Sebahagian daripada ribuan penduduk yang kehilangan rumah ekoran
pertempuran itu telah berpindah ke Bandar Mati Syria iaitu kawasan
penempatan lama era Byzantine, katanya.
Misi bantuan
"Mereka terpaksa menggunakan plastik dan surat khabar untuk menutup
bahagian tingkap bangunan berkenaan serta tinggal di dalamnya biarpun
menyedari ia sangat berbahaya terutama dalam keadaan ribut seperti
sekarang ini.
"Ramai yang tidak mempunyai apa-apa untuk memanaskan badan, hanya segelintir yang bernasib baik," katanya.
Seorang aktivis dari Republik Chech, Michal Przedalcki daripada
pertubuhan People In Need yang menjalankan misi bantuan di utara Syria,
menjangkakan ramai pelarian tidak mampu bertahan dalam situasi
berkenaan.
"Kekurangan makanan sejak beberapa bulan lalu mendedahkan mereka
terhadap penyakit, lebih-lebih lagi dalam cuaca sejuk yang ekstrem."
Di Lembah Bekaa, kem sementara yang menempatkan lebih 400 pelarian di
Lebanon musnah selepas banjir dan ribut yang melanda kawasan itu.
"Ribut dan hujan sebelum ini menyebabkan banyak khemah rosak, kini
salji tebal mula melanda Bekaa menyebabkan penduduk dan pelarian di sini
sangat memerlukan bantuan," kata pegawai perhubungan luar Suruhanjaya
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR) Cecile
Fradot.
Penempatan baharu
Menurut Fradot, agensi bantuan itu kini giat memindahkan pelarian ke
penempatan baharu. "Kami akan memindahkan setiap keluarga yang terjejas
selepas khemah mereka dilanda banjir di utara. Situasi semakin buruk, ia
merupakan permulaan musim sejuk di rantau ini," katanya.
Keadaan sama turut berlaku di kem Zaatari di Jordan, yang menempatkan
lebih 30,000 pelarian Syria apabila mereka terpaksa menjadikan bangunan
sekolah karavan pasang siap sebagai penempatan sementara.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan terdapat lebih
600,000 pelarian memerlukan bantuan termasuk makanan, selimut dan
pakaian.
Sekurang-kurangnya sebanyak AS$1.5 bilion dolar (RM4.5 bilion)
diperlukan dalam tempoh enam bulan lagi bagi tujuan itu, menurut PBB.
Ribut salji turut menjejaskan seluruh Asia Barat. Beberapa bandar
seperti Baitulmuqaddis, Ramallah, Amman dan Damsyik kini diselaputi
salji tebal.
Ekoran itu, kebanyakan negara kini telah menghentikan sistem
pengangkutan awam dan menutup sekolah-sekolah. Banyak perniagaan
terpaksa ditutup kerana pekerja tidak boleh keluar bekerja.
"Kawasan pusat bandar kini kelihatan seperti hamparan permaidani
putih," kata jurucakap bagi pihak berkuasa Baitulmuqaddis, Elisha Peleg
kepada Jurusalem Post.
"Golongan warga emas di sini juga tidak mampu mengingati bila kali terakhir mereka berdepan dengan ribut salji," jelasnya.
Lebuh raya utama di Israel di luar Baitulmuqaddis telah ditutup,
begitu juga kebanyakan laluan ke arah utara negara itu dan Bukit Golan.
Pihak berkuasa Palestin di Ramallah, Tebing Barat turut mengumumkan situasi darurat di seluruh negara.
Di Semenanjung Gaza, beberapa terowong yang menghubungkan wilayah itu dan Mesir ditutup akibat banjir.
Ketua pasukan bantuan di bandar Nablus, utara Tebing Barat, Ghassan
Hamdan berkata, penduduk di wilayah itu bakal terjejas disebabkan
kekurangan infrastruktur.
"Mereka tidak mampu berhadapan dengan cuaca ekstrem seperti ini. Banjir dan ribut menyebabkan banyak kemusnahan," katanya.
Dianggarkan sekurang-kurangnya 17 orang dilaporkan terbunuh akibat fenomena itu sehingga kini.
Di Lebanon, Pertubuhan Palang Merah melaporkan enam orang terbunuh
akibat kemalangan jalan raya manakala beberapa orang lagi dipercayai
lemas dihanyutkan banjir. Seorang lelaki berusia 30-an dilaporkan maut
di Taalabaya, wilayah Bekaa, selepas kenderaanya terperangkap di dalam
salji tebal. Sementara itu, di Ramallah pihak berkuasa Palestin
melaporkan dua wanita mati lemas dihanyutkan arus deras. Mangsa dikenali
sebagai Samah Kanan, 36, dan Hana Al Sarawi, 24, berasal dari Nablus.
Timbalan gabenor Ramallah, Annan Atirah berkata, air yang melimpah di
atas jalan raya menyebabkan mangsa terperangkap di dalam kenderaan
sebelum dihanyutkan air ketika cuba menyelamatkan diri. Seorang lagi
mangsa, yang juga pemandu kenderaan berjaya diselamatkan, namun
keadaannya kritikal. Di Mesir pula, usaha sedang dilakukan untuk mencari
10 nelayan yang dilaporkan hilang di Marsa Matruh selepas bot mereka
dibadai ribut.
Agensi berita negara itu, Mena melaporkan jarak penglihatan yang
terhad, angin kencang dan hujan lebat menyebabkan pihak berkuasa menutup
beberapa pelabuhan termasuk di Alexandria dan Dakhila di mana ia turut
menjejaskan operasi di Terusan Suez.
Sementara itu, di Turki, syarikat penerbangan Turki Arlines turut membatalkan ratusan penerbangan.
Banyak sekolah ditutup khususnya di bahagian utara negara itu
termasuk Istanbul, selepas sebuah bas tergelincir di atas jalan raya
licin yang mencederakan 30 penumpang.
Biarpun ia mengundang pelbagai bencana di sesetengah kawasan di Asia
Barat, namun ada juga penduduk yang menganggap ribut salji sebagai satu
peristiwa yang jarang berlaku dan kesempatan yang ada digunakan
sepenuhnya untuk bermain bola salji dan membina orang salji.
kosmo
Tiada ulasan:
Catat Ulasan