Home Klik Di Bawah

Jumaat, 25 Januari 2013

Kisah Maryam ibu Isa a.s: Natijah Ketinggian Tawakkal Boleh Melebih Amal.


Semalam 25/12 merupakan hari perayaan bagi orang Kristian. Bukan di sini saya ingin sebutkan berkenaan perbahasan yang berkaitan tentang hari tersebut dari segi ucapan atau meraikannya. Namun jika kita lihat agama Kristian, ia amat berkait dengan salah seorang nabi yang wajib juga kita imani iaitu Isa a.s. Mereka beranggapan bahawa Isa a.s adalah anak Allah. Namun, dalam surah Al-Ikhlas ayat yang ke 3, Allah menafikan perkara tersebut kerana sebenarnya ia menyifatkan kekurangan kepada Allah dengan adanya sesuatu yang menyerupainya.






Berbalik kepada perkara yang ingin saya tekankan dalam artikel ini bukanlah mengenai aqidah Kristian, namun kisah Isa a.s berkaitan sebelum kelahiran baginda, juga sebelum kelahiran ibu baginda iaitu Maryam yang mana ada ibrah yang bisa kita teladani  berkenaan konsep tawakkal dalam kehidupan seharian kita.


Kisah mereka
Konsep tawakkal. Kadang-kadang kita tersalah sangka, dan seringkali terjadi pada diri kita iaitu kita melazimi sifat tawakkal dan meletakkan tawakkal itu betul kepada Allah tetapi malangnya atas usaha yang kita lakukan bukan atas kemampuan dan ihsan Allah s.w.t

Apabila kita menyebutkan tentang sifat tawakkal (berserah) seringkali kita kaitkan dengan usaha. Ada benarnya. Cuma kadang-kadang maksud tawakkal itu tidak sampai pada tahapnya iaitu kita acapkali berserah dengan usaha yang kita lakukan, kita harap kita mendapat ganjaran. Bukan salah perkara tersebut, namun sifat tawakkal ini sebenarnya lebih tinggi dari amal iaitu kita berharap dengan segala usaha yang kita lakukan dalam pada menjaga keikhlasan, maka Allah ganjarkan dengan sesuatu kebaikan meskipun bukan dalam jangkaan.

Suka saya memetik kisah-kisah yang pernah berlaku dalam ruangan kehidupan Maryam ibu nabi Isa a.s iaitu sebelum kelahiran beliau. Ibu beliau yang bernama Al-Yasaban dan ayah beliau Imran merupakan pasangan yang amat tua yang mana hampir mustahil untuk mereka mendapatkan anak. Namun, ibu Maryam tidak berputus berdoa dan berserah hanya kepada Allah, dan membuat nazar sekiranya dia dikurniakan anak maka dia akan jadikan anak itu sebagai hamba yang mengabdikan dirinya kepada Allah.
Allah memperkenankan permintaan tersebut seperti mana firmannya:

(Ingatlah) ketika isteri Imran berkata:” Tuhanku! Sesungguhnya aku nazarkan kepadaMu anak yang ada dalam kandunganku sebagai seorang yang bebas (dari segala urusan dunia untuk berkhidmat kepadaMu semata-mata), maka terimalah nazarku; sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” (Ali-Imran:35) 

Walaupun begitu, Allah menguji si ibu dengan memberinya anak perempuan yang dinamakan Maryam yang mana kita tahu sifat insani seorang wanita kurang sesuai untuk mereka terlibat dalam lapangan (luaran)pada setiap masa. Bukan bermaksud menghalang para wanita daripada terlibat dalam aktiviti luaran, namun ruang bagi kaum wanita adalah agak terhad berbanding kaum lelaki. Demikian juga, faktor seorang nabi dipilih dalam kalangan lelaki.
Bukan juga maksud saya me
ninggi atau merendahkan mana-mana jantina, malah adanya kedua ini adalah saling lengkap melengkapi. Bahkan Maryam ibu Isa a.s merupakan seorang contoh yang baik dan dijadikan ikon dalam kalangan orang yahudi pada usianya masih muda terutama bagi golongan belia. Namun, sifat seorang ibu semestinya ada kegusaran dalam hatinya ingin melepaskan seorang anak perempuan untuk diabadikan sebagai hamba yang hanya tinggal ditempat ibadat. Kesedihan ibu ini dirakam oleh Allah, namun atas tiket tawakkal yang tinggi kepada Allah, akhirnya Allah pelihara anak perempuan tersebut (Maryam):

Maka apabila ia melahirkannya, berkatalah ia: “Wahai Tuhanku! Sesungguhnya aku telah melahirkan seorang anak perempuan (sedang yang aku harap-harapkan ialah anak lelaki), – dan Allah memang mengetahui akan apa yang dilahirkannya itu – dan memanglah tidak sama anak lelaki dengan anak perempuan; dan bahawasanya aku telah menamakannya Maryam, dan aku melindungi dia dengan peliharaanMu, demikian juga zuriat keturunannya, dari godaan syaitan yang kena rejam (yang dikutuk dan disingkirkan)”. (Ali-Imran:36)

Berterusan daripada kisah kehidupan Maryam dalam tempat ibadat yang dipelihara oleh bapa saudaranya yang merupakan seorang nabi iaitu Zakaria a.s, suatu hari nabi Zakaria masuk menemui Maryam dalam mihrab (tempat khusus ibadat) dan baginda mendapati ada makanan di sisi beliau. Anehnya makanan tersebut adalah makanan yang tidak akan dapat ditemui pada musim ketika itu. Lalu, timbul rasa ganjil dalam sudut hati Zakaria a.s akan peristiwa tersebut namun baginda tetap yakin bahawa ia datang dari Allah sepertimana yang dikhabarkan oleh Maryam kepadanya.

Rentetan pada peristiwa tersebut, nabi Zakaria yang juga tua pada ketika itu ditambah isterinya yang mandul tetap berharap dan berserah kepada Allah agar dikurniakan kepada mereka zuriat yang baik yang boleh menjadi tali menghubungkan dakwah baginda kepada sekalian manusia selepas kewafatan baginda nanti.
Dalam keadaan nabi Zakaria yang tua dan isterinya yang mandul itu, akhirnya Allah memperkenankan permintaan mereka di atas ketinggian pergantungan mereka kepada kuasa yang Maha Esa dengan seorang anak yang juga merupakan seorang nabi iaitu Yahya a.s. Allah member khabar gembira itu melalui firman-Nya:

 Lalu ia diseru oleh malaikat sedang dia(Zakaria a.s) berdiri sembahyang di Mihrab, (katanya): “Bahawasanya Allah memberi khabar yang mengembirakanmu, dengan (mengurniakanmu seorang anak lelaki bernama) Yahya, yang akan beriman kepada Kalimah dari Allah, dan akan menjadi ketua, dan juga akan menahan diri dari berkahwin, dan akan menjadi seorang Nabi dari orang-orang yang soleh”.

Nabi Zakaria berkata:” Wahai Tuhanku! Bagaimanakah aku akan beroleh seorang anak, padahal sebenarnya aku telah tua dan isteriku pula mandul?”, Allah berfirman: “Demikianlah keadaannya, Allah melakukan apa yang dikehendakiNya”. (Ali-Imran:39-40)

Tawakkal itu bagaimana?

Melalui kisah yang telah saya nukilkan di atas sebenarnya ada beberapa perkara yang bisa kita jadikan pedoman dalam hidup kita terutama berkenaan perlunya ketinggian tawakkal itu melebihi segalanya.
Jika kita lihat sebentar tadi, pasangan Imran (ibubapa Maryam) dan juga pasangan Zakaria a.s (ibubapa Yahya a.s) adalah merupakan dua pasangan yang tua bahkan ada di antara isteri mereka yang mandul yang mana hampir mustahil untuk mereka dapatkan anak pada sisi pandangan manusia. Namun kehendak Allah mengatasi segalanya. Dia (Allah) mampu membatasi logik  fikiran manusia, berdasarkan kesungguhan pengharapan hamba kepada-Nya.

Mungkin dari satu sisi, kita memandang bahawa mereka ini adalah termasuk dalam golongan manusia pilihan dan juga merupakan dari kumpulan para nabi yang mana diberikan kepada mereka kelebihan. Namun, percaya dan yakinlah, kita sebagai manusia biasa yang terlalu banyak kelemahan ini juga boleh mendapat kelebihan-kelebihan yang tidak disangka-sangka yang membatasi usaha-usaha kita apabila kita benar-benar bergantung dan berharap kepada-Nya. Sebab itu, tawakkal kita jangan kita harapkan dengan apa yang telah kita usahakan sahaja, tetapi mohonlah kepada Allah dengan sifat Pemurah dan Penyayang-Nya agar kita dikurniakan nikmat atas dua sifat ini bukan semata-mata atas usaha kita kerana Dia mampu berbuat segalanya.

Usaha Jangan Dinafi

Walaupun saya tuliskan bahawa pergantungan kepada-Nya itu diletakkan pada kemuncak yang tertinggi, tetapi usaha untuk mengejar bahagia dan cita-cita jangan pula kita lupa. Bahkan disebutkan dalam kisah nabi Isa a.s juga sebelum kelahiran baginda, ketika ibu baginda didatangi malaikat Jibril yang membawa berita kelahiran Isa a.s, lalu Maryam pergi keluar dari tempat tinggalnya ke suatu tempat yang jauh.
Dalam keadaan mengandung itu, apabila beliau keletihan selepas berjalan, beliau (Maryam) bersandar pada sebuah pohon kurma sambil menanggung sakit untuk bersalin. Dalam keadaan itu, tetap Allah beritakan kepada malaikat Jibril untuk diberitahukan kepada Maryam agar beliau menggoncangkan pohon tersebut untuk mendapatkan makanan. Sedangkan jika kita fikirkan semula, boleh sahaja Allah berikan serta-merta makanan kepada Maryam di atas pengorbanan  beliau, juga seperti yang diberikan kepada beliau ketika beliau berada di mihrabnya, namun di sinilah terdapat pengajaran yang boleh dijadikan teladan bahawa tawakkal itu perlu diimbangi dengan usaha. Kisah ini dipotretkan sepertimana firman Allah:

Dan gegarlah ke arahmu batang pohon tamar itu, supaya gugur kepadamu buah tamar yang masak. (Maryam:25)

Oleh itu, usaha itu merupakan sesuatu perkara yang dominan untuk kita jadikan ia sebagai penyebab kita beroleh sesuatu kebaikan. Hal ini juga disebutkan oleh baginda s.a.w dalam hadis daripada Umar Al-Khattab r.a:

“Sekiranya kamu benar-benar bertawakkal kepada Allah s.w.t dengan sebenar-benarnya, sungguh kalian akan diberikan rezeki sebagaimana seekor burung diberika rezeki ketika ia pergi pada pagi hari dalam keadaan lapar, dan pulang di petang hari dalam keadaan kenyang.”(HR Ahmad: no 208/373/376)

Jika kita teliti sebaiknya, nabi menyifatkan orang yang benar-benar tawakkal akan diberika rezeki seperti seekor burung diberikan makanan. Namun tidakkah kita sedar bahawa burung yang disifatkan itu ‘keluar’ yang membawa maksud berusaha untuk mendapatkan rezeki? Justeru, pengharapan perlu disusuli dengan usaha.

Kesimpulan
Mungkin sebahagian daripada kita menganggap bahawa kita seolah-olah ‘mendesak’ untuk dikurniakan sesuatu nikmat tetapi kurang berusaha. Justeru, saya sebutkan juga kepentingan untuk kita berusaha, cumanya hakikat kita sebagai manusia ini sememangnya fakir di hadapan Allah, bahkan kita tidak mampu untuk memenuhi ruangan hidup kita dengan sebulatnya kepada-Nya kerana kita lemah dan adakalanya jatuh ke lembah dosa.
Tambahan lagi, jika Allah takdirkan kita masuk ke syurga-Nya pun bukan atas usaha kita tetapi Rahmat-Nya.Oleh itu, pengharapan dan pergantungan kepada Allah dengan sebenar-benarnya membolehkan seseorang manusia itu diberi kenikmatan menjangkaui logik akal manusia jika dibumikan sifat percaya.
 http://langitilahi.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan