Home Klik Di Bawah

Rabu, 2 Januari 2013

Kisah Penghijrahan Seorang Hamba

Gambar Hiasan
Bismillahirrahmanirrahim. 
Hamba Allah ini punya nama, namun biarlah ia menjadi rahsia antara dia dan DIA. Andai dirimu mengenali dia, tidak mengapa. Ini kisah penghijrahannya. Kisah yang penuh dengan ranjau dan duri berbisa. Semoga sama-sama beroleh manfaatnya. 
Dulu dirinya sopan. Malu itulah perisai dirinya. Namun, lantaran dia tidak betah dengan godaan dunia, akhirnya dia tewas. Tewas dalam arus yang menghanyutkan. Hampir sahaja dia lemas. Ya. Hampir. Dia sebenarnya tahu hukum hakam agama. Dia faham. Dia arif. Namun, demi keseronokan yang sementara, dia sanggup membutakan matanya, Mentulikan telinganya dari segala hukum agama. Berkali-kali dinasihatkan, namun dia buat tidak endah. Berapa ramai yang cuba menegurnya. Berapa ramai yang cuba menasihatinya. Namun, apa yang mereka dapat? Hanya jelingan maut dan kata-kata yang kesat. 
Sehinggalah suatu saat, sedang dia leka dengan keseronokan dunia yang sementara, Allah mengujinya. Dia jatuh sakit. Sakit yang berpanjangan. Sakit yang tiada berkesudahan. Berulang-alik ke hospital mencari penawar. Apa yang dia peroleh? Tiada apa. Malah, doktor juga hampir berputus asa. Penyakitnya tidak dapat diketahui puncanya. 
Bukan itu sahaja. Dia juga diuji dengan fitnah yang mendatang. Fitnah yang disebarkan hingga akhirnya dia akui keagungan dan kekuasaan Al-Rahman. Dia akui dia tewas. Dia akui dia lemah. Di mana kawan-kawannya yang mengatakan mereka begitu setia dengannya dahulu? Di mana? Tidak ada! Bahkan yang dikatakan 'kawan' itulah yang mengkhianatinya. Dia tidak punya sesiapa waktu itu. Mujur sahaja ibu bapanya ada bersamanya. Waktu itu, dia merasakan dia begitu berdosa terhadap orang tuanya. Mana tidaknya? Dek kerana 'kawan', dia menjadi kurang ajar terhadap orang tuanya. Sanggup membelakangkan nasihat orang tuanya demi kawan yang menjadi penemannya. 
Waktu itu, dia cuba mengenali siapa Rabb nya. Ibu ayahnya tidak pernah berhenti daripada memberikan sokongan padanya. Dia akur pada kebesaran Ilahi. Dia tahu apa maknanya cinta sejati. Saat dia hampir mati, tiba-tiba Tuhan memberi nyawanya kembali. Sungguh! Dia bersyukur pada Ilahi! Bagaimana tidak? Saat kematian menghampiri, Allah memberikannya peluang untuk kembali bernafas di bumi! Waktu itu, dia berjanji. Tidak akan mempersiakan 'peluang kedua' yang diperoleh dari Rabbi. Namun, lumrah manusia. Janji hanya tinggal janji. Dia tidak pernah cuba untuk menepati.
Saat 'kawan-kawannya' kembali di sisi, dia alpa lagi. Dia leka lagi. Dia tewas lagi. Kali ini, dia cuba untuk bercinta. Ya. Bercinta dengan manusia yang cintanya tidak pasti. Sungguh. Waktu itu indah sekali. Bermesej. Ungkap kata-kata cinta. Terasa bahagia. Sering tersenyum. Ke mana-mana handphone setia di sisi. Dia solat. Dia baca Al-Quran. Namun, dia tidak bersedia untuk meninggalkan. Meninggalkan apa yang dia akui haram di sisi Islam. Ya. Dia tahu, hakikatnya 'couple' itu haram. Dia tahu, walaupun dia sering nasihat-menasihati bab agama, ia tetap salah! Mana ada istilah 'couple islamic'! Semua itu sebenarnya karut! Namun, imannya menidakkan! Nafsunya mengiyakan! Apa yang haram di halalkan! Waktu itu dia tidak kisah semua itu! Yang dia tahu, dia sayang lelaki itu. Sangat sayang. 
Kerana dia sedar, lelaki itu terlalu baik untuknya. Namun, hidayah Allah itu terus-terusan menyapa. Makin lama dia 'bercouple' makin dia rasakan, ada sesuatu yang tidak kena. Bagai ada sesuatu yang mencengkam hati dan jiwanya. Bagai ada sesuatu yang merotan qalbu dan atmanya. Dia tahu itu dosa! Dia tahu! Namun, dia tetap cuba membutakan matanya! Mentulikan telinganya! Arghhh! Dia tidak peduli semua itu! Tapi, Allah itu tetap sayangkan dirinya. Cinta-NYA terus-terusan menyapa hingga dirinya akur. Dia tidak mampu menolak cinta Ilahi yang mampir dalam hati dan jiwanya. Cinta Ilahi terus-terusan mengasaknya hingga dia tersungkur di sejadah cinta. Ya. Benar. Dia memang sayangkan lelaki itu. Namun, dia lagi sayangkan agamanya. Maruahnya. Rasulnya. Keluarganya. Dan yang lebih utama Illah nya. Dia sedar, dia tidak mampu menolak lamaran Tuhannya. Lamarannya begitu telus. Begitu tulus hingga dia terbuai-buai dalam dakapan cinta-NYA. Demi cinta-NYA pada Ilahi, dia sanggup melepaskan si lelaki itu pergi. Biarlah. Memang. Sakit hatinya saat perpisahan itu berlaku. Bagai disiat-siat dengan sesuatu. Sesuatu yang amat tajam, hingga hatinya dirobek dengan kejam. Namun, dia cuba. Cuba untuk mendamaikan hatinya dengan pujukan-pujukan dari-NYA. Berkali-kali dia tersungkur rebah. Berkali-kali dia luka berdarah. Hingga dia akhirnya lemah dan menyerah. Namun, Tuhannya memujuknya dengan kalimah ; La tai'ssu min rowhillah!
Lantas dia sedar! Dia punya Allah! Terus-terusan dia memujuk hatinya. Sudah banyak mana airmata yang mengalir di pipinya. Dia lemah. Sungguh lemah. Hingga akhirnya dia kembali sakit. Ibu ayahnya menangis dek melihat dirinya yang terlantar kesakitan. Sudah banyak mana doktor yang dicari, namun tiada penawar yang ditemui. Pelajarannya juga merosot sama sekali. Dia menangis sendiri dek melihat airmata ibu ayahnya berjuraian lagi. Dia cuba bangkit. Bangkit daripada terus menjadi hamba kepada cinta yang tidak pasti! Arghh! Kekecewaan ini perlu diubati! Andai rebah kerana cinta manusia, bangkitlah demi cinta Allah! Terkadang, cinta manusia itu menyakitkan! Namun, cinta Allah itu tidak pernah mengecewakan, malah mengasyikkan. Sedikit demi sedikit, dia cuba untuk bangkit berdiri. Mula-mula dia tersungkur lagi. Namun Allah itu Maha Mengasihi dan Maha Menyayangi. DIA membantunya untuk berdiri. 
Didakap dirinya dalam cinta-NYA. Dibelai jiwanya dengan ayat-ayat cinta-NYA. Diusap dirinya dengan pujukan-pujukan dari-NYA. Akhirnya dia harus akui. Cinta-NYA memang mengasyikkan. Perlahan-lahan, dia menerima hidayah dan cinta Ilahi dengan dada yang lapang. Dia cuba mencari. Mencari dirinya yang telah lama hilang. Akhirnya dia bermuhasabah diri. Untuk apa sebenarnya dia diciptakan di bumi ini? Apa tanggungjawabnya di sini? Mengapa dia diberikan ujian yang tidak pernah berkesudahan dan tidak pernah menyepi? Akhirnya dia temui jawapan. Jawapan yang sangat pasti dari DIA Sang Ilahi.
''Dan tidaklah aku ciptakan jin dan manusia kecuali untuk beribadah kepada-Ku..''-(Adz Dzriyat;56)
Firman Allah SWT:
وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلاَئِكَةِ إِنِّي جَاعِلٌ فِي الأَرْضِ خَلِيفَة[

Maksudnya:
Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi".
Firman Allah SWT dalam ayat yang lain:
وَهُوَ الَّذِي جَعَلَكُمْ خَلاَئِفَ الأَرْضِ وَرَفَعَ بَعْضَكُمْ فَوْقَ بَعْضٍ دَرَجَاتٍ لِّيَبْلُوَكُمْ فِي مَا آتَاكُمْ إِنَّ رَبَّكَ سَرِيعُ الْعِقَابِ وَإِنَّهُ لَغَفُورٌ رَّحِيمٌ[4]
Maksudnya:
Dan Dia lah yang menjadikan kamu khalifah di bumi dan meninggikan setengah kamu atas setengahnya yang lain beberapa darjat, kerana Ia hendak menguji kamu pada apa yang telah dikurniakanNya kepada kamu. Sesungguhnya Tuhanmu amatlah cepat azab seksaNya, dan sesungguhnya Dia Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
"Adakah manusia itu menyangka bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; "Kami telah beriman," sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang berdusta." ( al-Ankabut: 2 - 3)
Mengalir airmatanya tatkala pujukan demi pujukan Ilahi meyapa dirinya. Betapa berdosanya dia selama ini. Betapa alpanya dirinya selama ini. Betapa jahilnya dirinya selama ini. Akhirnya dia sedar. Kali ini dia nekad! Dia tidak mahu kembali ke masa lalu! Dengan kalimah Allah S.W.T, dia melangkah tanpa menoleh ke belakang lagi. Melangkah dan terus melangkah. Kadangkala, langkahnya hampir tersungkur jua dek ujian yang terus-terusan melanda dan menguji keimanan serta cintanya terhadap Tuhannya. Namun, demi meraih cinta-NYA dia rela! Dia rela menempuhi segala mehnah ujian yang penuh ranjau dan onak berduri. Dia memujuk hatinya dengan cinta Ilahi. Tidak mahu dia akui tewas. Biar menggunung badai menghempas. Tidak mahu dia terus-terusan menangis. Lantaran pujukan-NYA terlalu manis.
"Janganlah kamu bersikap lemah dan janganlah pula kamu bersedih hati padahal kamulah orang yang paling tinggi darjatnya jika kamu orang yang beriman."-(Ali-Imran;139)

Langkah demi langkah cuba dia atur. Berkali-kali dia tersungkur. Langkahnya juga tempang. Namun, dia cuba untuk tidak mengalah demi meraih cinta Al-Rahman! Kini dari seorang yang jahil, dia cuba mencari ilmu hanya kerana-NYA. Dia cuba mencari DIA melalui ayat-ayat cinta-NYA. Apa? Itulah dia Al-Quran Nul-Karim. 
Dia kini bercita-cita untuk mejadi Hamilatul Quran. Dia sedar. Amanah itu payah. Susah. Nama pun amanah. Amanah apa yang tidak susah? Amanah apa yang tidak payah? Namun, demi meraih cinta-NYA, apa pun sanggup dihadapinya. Kini, daripada seorang perempuan, dia cuba untuk menjadi muslimah. Kalau dahulu, bajunya ketat, kini dia longgarkan demi syariat. Kalau dahulu tudungnya singkat, kini dia cuba untuk berniqab. Kalau dahulu, dia selalu keluar rumah tanpa arah, kini hidupnya hanya sujud kepada Allah. Dia tidak punya apa-apa lagi. Segala-galanya sudah dia tinggalkan. Hidupnya dulu penuh kepalsuan. Penuh dengan lakonan. Penuh dengan sandiwara yang tiada berkesudahan. Namun, setelah lamaran cinta-NYA dia terima, Subhanallah, hanya DIA Yang Maha Mengetahui betapa dirinya bersyukur dan sujud pada Ilahi. 
Indah saat cinta-NYA menyapa diri. Dia tidak perlukan cinta manusiawi. Cukuplah cinta-NYA yang sudah subur dalam diri. Kalau dulu airmatanya jatuh kerana cinta yang tidak pasti, kini airmatanya jatuh kerana dia menginsafi diri. Kalau dulu dirinya memikirkan jodoh yang akan ke mari, kini dirinya resah memikirkan kematian yang semakin menghampiri. Kalau dahulu dia tidak ambil peduli tentang dosa yang membelenggu diri, kini dia menangis di sejadah demi meraih keampunan Ilahi. Cukuplah! Dia sudah tidak mahu hidup jauh dari-NYA. Dia sudah tidak mahu bergelumang dengan dosa. Dosanya yang dulu sudah cukup banyak! Tidak tertanggung rasanya. 
Dia sedar kini. Dia akan mati. Dunia itu hanya persinggahan. Yang kekal abadi hanyalah Hari Kemudian. Ya. Dia akan mati dan akan dibangkitkan. Dia akan dihisab dan diberi ganjaran. Ke mana akhirnya arah tujuannya? Syurga? Atau neraka? Dia tidak tahu. Sungguh dia tidak tahu. Yang dia tahu kini dia hanya mampu mengemis secebis kasih dari Ilahi. Dia hanya mampu sujud dan menangis di sejadah cinta Al-Rahim. Dia hanya mampu berdoa agar dia istiqomah dalam perjuangan ini. Perjuangan dalam menentang nafsu dalam dunia yang penuh lakonan dan ranjau berduri. Andai goyah imannya, maka lemaslah dia dalam dakapan dunia. Andai dia berpegang pada Al-Quran dan As-Sunnah -NYA, Insya-Allah dia akan selamat.
Dia perlu dibimbing. Dan bimbingan yang hakiki adalah DIA, Rabbi.
Cuba renung dalam diri. Apakah dirimu sudah cukup bersedia untuk mati? Apakah dirimu sudah cukup mencintai Ilahi? Aku tahu. Sakit rasanya berpisah dengan kekasih. Namun, yakinlah. Lagi sakit sekiranya cinta-NYA tidak kau peroleh. Yang mana satu pilihanmu? Mahu kehilangan dia atau mahu kehilangan DIA?
Mahu tinggalkan dunia, atau mahu timbanganmu diakhirat diberatkan-NYA? Tepuk dada. 
Pejamkan mata. Biarkan imanmu berkata-kata. Biarkan kesoleh dan kesolehanmu berbicara. Aku tahu. Cinta itu fitrah. Dunia itu indah. Tapi, yakinlah. Cinta-NYA itu juga fitrah. Fitrah yang sangat indah. Dan syurga itu sudah pastinya indah. Sangat indah hingga suatu saat nanti, dirimu akan menyesal di atas apa yang telah kau lakukan. Aku tidak mampu untuk membuat pilihan untukmu. Hanya mampu menyeru dan berdoa. Selebihnya itu hakmu. Biarkan imanmu berbicara. Bisukan nafsumu buat seketika. Aku hanyalah hamba. DIA Yang Maha Kuasa. 
Moga kisah penghijrahan dia, mampu memberikan dirimu sedikit rasa. Rasa untuk mengenali siapa DIA Yang Maha Berkuasa. Semoga aku, kamu, dia dan mereka sentiasa dalam rahmat dan cinta-NYA. 
Jika cinta-NYA menyapa, aku mohon, jangan menolak lamaran-NYA. Kerana sesungguhnya begitu indah berada dalam pelukan cinta-NYA.
*Artikel ini sumbangan daripada Hurun Ain, Terima kasih diucapkan diatas perkongsian yang cukup bermanfaat ini. 
iloveialam92blogsport

Tiada ulasan:

Catat Ulasan