Beberapa hari lagi umat Islam akan menyambut ulang tahun keputeraan
junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. Di Malaysia, saat menjejak tanggal
12 Rabiulawal, setiap dari kita mula bersiap sedia menghadapi hari-hari
yang dinanti. hari cuti umum!. Pada hari cuti umum ini, akan diadakan
keraian-keraian Islami yang dipenuhi aturcara mengenang Rasulullah
dengan berselawat merdu, bernasyid dan berceramah. Tidak akan
ketinggalan walau satu tahun pun, upacara-upacara sebegini akan
diadakan. Persoalannya, sejauhmanakah sambutan ini benar-benar bermakna
pada kita?
Pengulangan dari tahun demi tahun mampu menjadikan sambutan ini
sekadar satu upacara ritual yang harus dilaksanakan. Tidak menjadi
masalah sekiranya kita hanya mengikut-ikut orang lain pada walnya dengan
mengharapkan sebuah keikhlasan beribadah di hujungnya, tetapi amatlah
merugikan kerana Maulidurrasul sebenarnya mampu menjadi satu ibadah
cinta agung yang mampu mengundang pahala dan syafaat daripada Rasulullah
tercinta. Menarik bukan? Tetapi, bagaimana pula caranya?
Segalanya bermula dengan sebuah kisah cinta. Setiap yang dilakukan
menjadi lebih bermakna jika dihadiri dengan perasaan cinta. Dengan rasa
cinta, kita tidak akan berkira walau sebanyak mana kudrat yang perlu
kita gunakan untuk membuktikan sebuah nilai cinta pada insan tersayang.
Pasti para pembaca sendiri pernah melakukan sesuatu yang tidak digemari,
tetapi harus dilakukan juga atas dasar tanggungjawab. Cuba bandingkan
dengan suatu perkara yang dilakukan dengan penuh rasa cinta, khas buat
orang yang dicintai. Saat hadirnya cinta, yang susah jadi mudah, yang
lama jadi sekejap, yang panas pun boleh menjadi sejuk. Inilah pesona dan
penangan cinta.
Begitulah juga kita dengan Rasulullah S.A.W. Cinta seharusnya dipupuk
dalam-dalam. Andai ada cinta, barulah kita benar-benar dapat merasakan
betapa kita menanti-nanti tanggal 12 Rabiulawal. Bukan lagi sekadar
kerana sebuah cuti umum yang diadakan dengan pelbagai program mengingati
kuputeraan seorang yang ditugaskan menyampaikan risalah Allah, tetapi
satu hari teristimewa yang amat dinantikan, untuk dilakukan pelbagai
perkara yang mampu membuatkan baginda semakin sayang pada kita semua.
Semestinya perasaan itu tidak mampu hadir serta-merta. Bukan mudah
menerbitkan cinta. Bukan mudah juga untuk jatuh cinta. Untuk mencintai,
semestinya kita harus mengenali. Bukan cukup kalau sekadar mengenali
bibliografi, tetapi harus menganjak jauh mengenali hati budi. Percayalah
bahawa, setelah mengenali baginda, terlalu mudah untuk kita jatuh cinta
dengan insan agung yang dicintai Allah ini. Peribadinya sahaja sudah
cukup membuatkan yang mengenalinya tertawan.
Mana tidaknya, akhlak
baginda merupakan cerminan al-Quran. Pelbagai kisah menarik yang
tercatat dalam sirah yang mampu membuatkan kita tersenyum, merindui
kehadiran baginda dalam kehidupan kita. Tambahan pula apabila
mengetahui, saat hayatnya, kita semua yang tak pernah diketemuinya ini
disebeut-sebut, malah hingga ke akhir hayatnya, baginda masih mengingati
umatnya dengan lafaz syahdu.. \”ummati..ummati..ummati…\”.
Mana mungkin kita gagal untuk jatuh cinta pada baginda?
Bukan setakat mencintai.. Setelah mencintai, pastinya jiwa menggesa
untuk berkorban membuktikan cinta. Dengan cinta, lafaz \”Aku naik saksi
bahawa Nabi Muhammad itu Pesuruh Allah\” pastinya lebih bermakna.
Kesaksian yang terkepil dengan satu amanah penyaksian misi dakwah
Rasulullah yang harus diteruskan sudah tentu menjadi satu azam yang
terpasak dalam jiwa. Bukan lagi menjadi sebuah tanggungjawab yang
dirasakan terpaksa untuk dilangsaikan, tetapi sebagai satu bukti rasa
cinta mengharapkan Rasulullah S.A.W turut mencintai kita,mencintai umat
yang tegar menuntun perjalanan profesyen utama baginda, profesion
seorang pendakwah.
Lafaz selawat “Sallallhu ‘ala Muhammad, Sallallahu ’alaihi wasallam” juga
mudah dilafazkan dengan getar rasa cinta dalam jiwa. Tiap lafaz
dialunkan dengan rasa cinta dan rindu yang cukup mendalam, mengharap
syafaat daripada baginda di akhirat kelak. Lafaz ini pastinya
dikumat-kamitkan selalu dengan penuh pengharapan supaya nanti saat
ketemu di akhirat, kitalah yang diperhatikan baginda saat baginda
berpaling melihat umatnya, dengan senyuman terindah. Subhanallah..betapa
indahnya!
Setiap perkara sunat yang diperturunkan juga dapat dilakukan dengan
penuh rasa ikhlas, tanpa sedikit pun rasa terbeban. Betapa indahnya
kehidupan, apabila tertambahnya sebuah nilai agung yang membuatkan
urusan dunia yang asalnya hambar, menjadi urusan akhirat yang akan
dihitung ke Syurga. Bersukan bukan lagi sekadar menjadi pengisi masa
terluang untuk bersuka-suka, tetapi sesuatu yang besar ertinya pada
pemantapan kekuatan ummah apabila ianya disarankan oleh Rasulullah.
Membahagiakan ahli keluarga dan jiran tetangga bkan lagi menjadi
aksi-aksi sebuah akhlak asasi, tetapi sebuah tanggungjawab yang bernilai
Syurga.
Dengan cinta inilah, seluruh kehidupan kita mempunyai roh sebuah
kehidupan bernilai akhirat, sejajar dengan matlamat baginda didatangkan
kepada umatnya, termasuklah kita, umat akhir zaman. Kedatangan baginda
memberi sebuah sinar kehidupan, yang memperjelas jalan-jalan ke Syurga.
Semestinya, pilihan berada di tangan kita. Mempertaruhkan sebuah
ketaatan dengan satu keterpaksaan, atau menyulam ketaatan dengan sebuah
keikhlasan rasa cinta?
Tepuk dada tanya selera. Akhir kalam, ayuh kita
risik-risikkan khabar jiwa kita semua.. Seistimewa manakah nilai
sambutan keputeraan baginda pada tahun ini pada kita? juga.. seistimewa
manakah baginda Rasulullah dalam 364 hari yang lainnya pada pada kita?
Semoga nanti di akhirat, semua diantara kita berjaya memenangi syafaat
dan senyuman Raulullah..
Selamat menyulam cinta.
Eid Milad, Ya Rasulullah….
Kami merinduimu..
Sumber : www.iluvislam.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan