Home Klik Di Bawah

Ahad, 20 Januari 2013

Terbaru! PETRONAS Temui Telaga Minyak

Penemuan 20 kilometer dari Miri selepas 24 tahun


PETRONAS mengumumkan satu penemuan minyak dan gas di daratan di Sarawak, iaitu penemuan di daratan yang pertama di negara ini selepas 24 tahun.

Penemuan itu dibuat di telaga Adong Kecil West-1, yang terletak kira-kira 20 kilometer di timur laut bandar raya Miri. Ia digerudi oleh JX Nippon Oil & Gas Exploration (Onshore Sarawak) Ltd, iaitu operator bagi Blok SK333, bersama dengan akan usaha samanya,Petronas Carigali Sdn Bhd. 





Kali terakhir minyak dan gas ditemui di daratan Malaysia ialah pada 1989, iaitu di medan Asam Paya yang juga terletak di Sarawak.

PETRONAS dalam kenyataannya semalam berkata, JX Nippon dan Petronas Carigali menggerudi telaga Adong Kecil West-1 itu pada kedalaman 3,170 meter dan menemui hidrokarbon bersih setebal kira-kira 349 meter.

“Dua ujian gerudi yang dijalankan telah mencatatkan kadar aliran kira-kira 440 tong minyak sehari dan 11.5 juta meter padu standard gas sehari di telaga berkenaan.

“Bagaimanapun penilaian teknikal sedang dijalankan oleh JX Nippon serta Petronas Carigali bagi menentukan jumlah sebenar sumber minyak dan gas yang terdapat di medan berkenaan,” kata PETRONAS dalam kenyataan itu. 
Syarikat minyak kebangsaan itu berkata, berdasarkan keputusan penggalian itu juga, terdapat tanda-tanda bahawa bahagian lebih dalam di kawasan berkenaan turut berpotensi mengandungi hidrokarbon.


Lebih mencabar

“Bagaimanapun dengan jangkaan tekanan yang lebih tinggi, operasi penggerudian untuk telaga yang lebih dalam adalah lebih mencabar dan memerlukan pelantar dengan spesifikasi lebih tinggi,” katanya.

Penemuan di medan Adong Kecil West itu menjadikan jumlah penemuan minyak dan gas di daratan Sarawak kepada tiga. Selain di medan Asam Paya, penemuan yang satu lagi ialah di Miri yang temui pada 1910.

PETRONAS berkata, penemuan berkenaan membuktikan bahawa Sarawak mempunyai potensi memiliki lebih banyak rizab minyak dan gas di daratan.

Katanya, aktiviti penerokaan telaga minyak dan gas di daratan selanjutnya akan dilakukan oleh JX Nippon dan Petronas Carigali bagi membantu PETRONAS merancakkan semula aktiviti penerokaan sumber minyak dan gas di kawasan daratan Malaysia.BeritaHarian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan