Gambar hiasan |
Setiap seorang dari para imam mazhab yang empat telah berwasiat kepada
umat Islam seluruhnya agar mentaati al-Qur’an dan al-Sunnah, bukannya
ajaran atau pendapat mereka. Ini mereka tegaskan kerana menyedari akan
hakikat sebenar diri mereka sebagai manusia yang ada kelemahan dan
kekurangan. Walaupun para imam mazhab ini diiktiraf dan disanjung
keilmuannya oleh orang ramai, mereka tetap dengan penuh keikhlasan hati
dan rendah diri mengakui bahawa adakalanya mereka boleh tersilap atau
kurang tepat dalam ajaran mereka.
Antara masalah paling kerap yang dihadapi oleh para imam mazhab,
sebagaimana yang telah diterangkan sebelum ini, ialah kesukaran
memperolehi hadis-hadis Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. Para
sahabat penghafal hadis banyak yang sudah meninggal dunia manakala anak
murid mereka yang sempat menghafal hadis-hadis tersebut bertebaran di
seluruh dunia Islam.
Atas faktor ini dan beberapa yang lain, kita dapati para imam mazhab berwasiat kepada umat Islam dengan wasiat yang masyhur:
Apabila sesuatu hadis itu sahih maka itulah mazhab aku.[1]
Berikut akan dikemukakan wasiat-wasiat para imam mazhab, dimulai dengan
tumpuan khas kepada wasiat al-Syafi‘e memandangkan kebanyakan rakyat
Malaysia cenderung kepada Mazhab al-Syafi‘e.
Wasiat al-Syafi‘e
Pertama: Berkata al-Syafi‘e rahimahullah:
Sesuatu sunnah daripada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam
kemungkinan akan sampai atau tidak sampai kepada seorang itu. Maka
apabila sahaja aku menghuraikan pendapatku atau merumuskan sesuatu
prinsip dan pada waktu yang sama wujud satu hadis yang sah daripada Nabi
shallallahu ‘alaihi wasallam yang menerangkan sebaliknya maka pendapat
yang betul itu adalah apa yang Nabi katakan dan demikianlah juga akan
menjadi pendapat aku.[2]
Kedua: Berkata al-Syafi‘e rahimahullah:
Setiap hadis yang sah daripada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam
adalah juga merupakan ajaran aku walaupun engkau tidak pernah
mendengarnya daripada aku sebelum ini.[3]
Ketiga: Berkata al-Syafi‘e rahimahullah:
Dalam setiap isu, apabila seseorang ahli hadis itu menjumpai sebuah
riwayat yang sahih daripada Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam dan
riwayat itu pula bertentangan dengan ajaran aku maka aku menarik kembali
ajaran aku yang asal tadi sama ada pada ketika aku masih hidup atau
apabila aku sudah meninggal dunia nanti.[4]
Keempat: Berkata al-Syafi‘e rahimahullah:
Wasiat para imam maz-hab ini adalah benar akan tetapi perlaksana-annya
tidaklah semudah yang disangkakan. Sese-orang itu tidak boleh menghukum
imam maz-hab sebagai silap sema-ta-mata kerana satu atau dua hadis sahih
yang baru ditemuinya.
Apabila kamu dapati di dalam bukuku sesuatu yang bertentangan dengan
hadis Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam maka berpeganglah kepada
Hadis tersebut dan tinggalkanlah apa yang telah aku katakan itu (atau
tuliskan).[5]
Kelima: Berkata al-Syafi‘e rahimahullah:
Pertama, sesuatu berita itu daripada Rasulullah shallallahu ‘alaihi
wasallam wajib diterima. Kedua, berita tersebut ataupun hadis tersebut
wajib diterima jika ianya telah disahkan walaupun tiada di antara
imam-imam sebelum ini yang mengamalkan atau mengajarkan sesuatu daripada
hadis tersebut.
Kenyataan ini juga menunjukkan bahawa jika tindakan salah seorang imam
itu bertentangan dengan hadis daripada Nabi maka tindakan imam itu
haruslah ditinggalkan dan diganti dengan petunjuk yang berasal daripada
hadis Nabi.
Di samping itu, suatu hadis yang diyakini sah daripada Nabi adalah tegas
dengan sendirinya tanpa memerlukan konformasi daripada tindakan
seseorang lain selepas beliau.[6]
Keenam: Berkata al-Syafi‘e rahimahullah:
Pertama, pendapat boleh diterima bilamana tidak ada sunnah dalam hal
itu. Akan tetapi jika sunnah menyatakan bahawa seseorang itu harus
melakukan sesuatu perkara itu sebegini-sebegini, seseorang itu wajib
meninggalkan apa yang dia telah atau sedang lakukan.
Seseorang itu wajib meninggalkan sesuatu amalan yang bertentangan dengan
sunnah. Juga dia wajib meninggalkan pendapat yang mengatakan bahawa
sunnah hanya boleh tertegak atas dukungan suatu berita yang datang
menyusul. Dan seseorang itu patut akur bahawa sunnah itu tidak boleh
dikebelakangkan oleh sesuatu apapun yang bertentangan dengannya.[7]
Wasiat Abu Hanifah
Berkata Abu Hanifah rahimahullah:
Apabila aku mengeluarkan sesuatu pendapat yang bertentangan dengan
al-Qur’an dan al-Sunnah, maka tinggalkanlah pendapat aku itu.[8]
Wasiat di atas diulas oleh al-Syuhnah di dalam kitabnya Syarh al-Hidayah:
Apabila sesuatu hadis itu sahih manakala ianya bertentangan pula dengan
mazhab, perkara yang mesti dilakukan ialah beramal berdasarkan hadis
tersebut. Demikian itu adalah Mazhab Abu Hanifah dan para pengikut
mazhab tidaklah terkeluar dari kedudukannya sebagai pengikut Hanafi
dengan mengamalkan hadis tersebut.
Terdapat suatu riwayat yang sahih daripada al-Imam Abu Hanifah
menyebutkan bahawa beliau telah berkata “Apabila Hadis itu sahih, itulah
mazhab aku.” Riwayat ini diceritakan daripada Ibn ‘Abd al-Barr daripada
al-Imam Abu Hanifah dan juga daripada imam-imam lainnya.[9]
Wasiat Malik bin Anas
Pertama: Berkata Malik bin Anas rahimahullah:
Aku hanya manusia biasa yang mana pendapat aku mungkin benar dan mungkin
salah. Maka telitilah pendapat yang aku kemukakan. Semua pendapat yang
selaras dengan al-Qur’an dan al-Sunnah maka ambillah ia manakala yang
tidak selaras dengan al-Qur’an dan al-Sunnah, tinggalkanlah.[10]
Kedua: Berkata Malik bin Anas rahimahullah:
Tidak ada perkataan manusia selepas Nabi kecuali sama ada ianya diterima
atau ditolak, melainkan perkataan Nabi shallallahu ‘alaihi
wasallam.[11]
Wasiat Ahmad bin Hanbal
Pertama: Berkata Ahmad bin Hanbal rahimahullah:
Tidak ada perkataan sesiapapun melainkan boleh diterima perkataannya
atau ditolak kecuali perkataan Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam.[12]
Kedua: Berkata Ahmad bin Hanbal rahimahullah:
Pendapat al-Awza‘e, Malik dan Abu Hanifah, semuanya adalah pendapat
semata-mata. Aku melihat semuanya sama di sisiku, yang mesti jadi
rujukan hanyalah sunnah Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam.[13]
———————
Demikian beberapa wasiat para imam mazhab kepada umat Islam
keseluruhannya. Abu Hanifah, Malik bin Anas, al-Syafi‘e dan Ahmad bin
Hanbal, secara jujur dan penuh ketaqwaan sentiasa menekankan agar yang
ditaati ialah sunnah atau hadis Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam
dan bukannya ajaran mereka.
Ibn Rajab al-Hanbali rahimahullah merumuskan:
Daripada keterangan-keterangan para imam mazhab ini, adalah menjadi
kewajipan apabila seseorang itu menemui suatu perintah daripada
Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam atau mengetahuinya, untuk
menerangkannya kepada sekian umat, menasihatkan mereka dengan penuh
keikhlasan dan memerintahkan mereka untuk mengikutinya walaupun jika ia
bertentangan dengan pendapat para imam mazhab atau seseorang lain yang
terkemuka.
Sikap yang lebih utama ialah mengamalkan hadis-hadis yang baru diketahui
kesahihannya sepeninggalan mazhab kerana imam maz-hab itu sendiri
berpesan sedemikian
Ini adalah kerana kedudukan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam
adalah yang paling hak untuk dihormati dan ditaati, melebihi dan
mengatasi mana-mana pendapat orang atau tokoh lain yang mungkin atas
sebab-sebab yang tidak disengajai telah bertentangan dengan perintah
Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. Kerana inilah kita dapati para
sahabat dan generasi selepas mereka membantah sesiapa sahaja yang
didapati melakukan sesuatu yang bertentangan dengan sunnah yang sahih.
Dan adakalanya bantahan ini mereka lakukan dengan amat keras, bukan
disebabkan perasaan benci kerana para sahabat itu sememangnya amat
menyayangi dan menghormati mereka, akan tetapi pesuruh Allah itu lebih
mereka sayangi dan perintahnya lebih tinggi kedudukannya berbanding
perintah mana-mana makhluk lain.
Justeru itu apabila terdapat perselisihan antara ajaran Nabi dan ajaran
manusia, ajaran Nabi-lah yang lebih berhak ditunaikan dan ditaati. Ini
tidaklah bermaksud sebagai menghina kedudukan imam ikutan seseorang itu
kerana secara pasti dia akan diampuni atas ketidak-sengajaannya dan
silapnya, bahkan si imam tersebut akan lebih rela jika ajarannya itu
diketepikan apabila didapati bertentangan dengan ajaran Nabi shallallahu
‘alaihi wasallam yang sahih.[14]
al-Sya’rani rahimahullah berkata:
Apabila terdapat perselisihan antara ajaran Nabi dan ajaran manusia,
ajaran Nabi-lah yang lebih berhak ditunaikan dan ditaati. Ini tidaklah
bermaksud sebagai menghina kedu-dukan imam ikutan seseorang itu ke-rana
secara pasti dia akan diampuni atas ketidak-sengajaannya dan si-lapnya,
bahkan si imam tersebut akan lebih rela jika ajarannya itu diketepikan
apabila didapati berten-tangan dengan ajaran Nabi.
Kita meyakini seandainya para imam mujtahid (para imam mazhab) tersebut
semasa hidupnya mengetahui kesahihan hadis-hadis yang tidak mereka
pergunakan dan baru diketahui kesahihannya sepeninggalan mereka, tentu
mereka akan mempergunakan hadis-hadis tersebut dan mengamalkannya.
Kemudian mereka akan menghindari qiyas yang telah mereka lakukan dan
meralat (membetulkan) semula pendapat yang telah mereka cetuskan
terdahulu …… Sikap yang lebih utama ialah mengamalkan hadis-hadis yang
baru diketahui kesahihannya sepeninggalan mazhab kerana imam mazhab itu
sendiri berpesan sedemikian. [15]
Berkata al-Albani rahimahullah setelah mengemukakan wasiat-wasiat di atas:
Kenyataan tersebut menggambarkan ketinggian ilmu dan ketaqwaan para imam
tersebut, di mana melalui perkataan seperti di atas mereka menegaskan
bahawa mereka tidaklah menguasai sunnah keseluruhannya.
Kadang-kala terhasil daripada mereka ini (para imam mazhab) beberapa
perkara yang menyalahi sunnah yang tidak kesampaian kepada mereka.
Apabila mereka mengetahui akan sunnah tersebut, mereka memerintahkan
kita agar berpegang teguh dengannya dan menjadikannya sebagai mazhab
mereka. Semoga Allah memberi Rahmat kepada mereka semua.[16]
Catatan Penting:
Wasiat-wasiat para imam mazhab di atas adalah benar akan tetapi
perlaksanaannya tidaklah semudah yang disangkakan. Seseorang itu tidak
boleh mengubah ajaran mazhabnya atau menghukum imam mazhabnya sebagai
tersilap semata-mata dengan satu atau dua hadis sahih yang baru
ditemuinya. Ini kerana sesuatu mazhab itu tidak terbina di atas satu
atau dua hadis tetapi himpunan ribuan buah hadis. Himpunan hadis-hadis
ini pula difahami dan ditetapkan kandungan hukumnya berdasarkan
kaedah-kaedah yang digariskan dalam ilmu usul fiqh.
Oleh itu perlaksanaan wasiat-wasiat di atas tertakluk kepada beberapa
syarat sebagaimana yang diulas oleh al-Nawawi rahimahullah:
Perkataan (wasiat) al-Syafi‘e tersebut tidaklah bermaksud bahawa setiap
seseorang yang menemui hadis yang sahih berhak berkata “Inilah ajaran
Mazhab al-Syafi‘e” dan beramal dengan zahir hadis tersebut. Sesungguhnya
yang berhak berkata sedemikian hanyalah seseorang yang memiliki darjat
berijtihad dalam mazhab, baik yang telah sampai kepadanya atau yang
menghampirinya.
Dan disyaratkan bagi orang tersebut dengan keyakinan yang mengatasi
dugaan bahawa al-Syafi‘e rahimahullah tidak membicarakan hadis tersebut
atau tidak mengetahui akan kebenarannya. Dan ini hanyalah dapat
dilakukan setelah ditelaah semua kitab al-Syafi‘e dan juga kitab para
sahabatnya (tokoh-tokoh al-Syafi‘eyyah) yang diiktiraf atau apa yang
setaraf dengannya.
Syarat-syarat ini adalah sulit dan hanya segelintir kecil yang mampu
mencapainya. Sesungguhnya sebab kami menyebut syarat-syarat ini hanyalah
kerana al-Syafi‘e rahimahullah, berdasarkan penilaian dan ilmunya,
seringkali meninggalkan pengamalan zahir sebuah hadis kerana di sisi
beliau terdapat dalil lain yang melemahkannya atau yang membatalkannya
(nasakh) atau yang mengkhususkannya atau kerana ditakwilkannya atau
kerana beberapa sebab yang lain.[17]
Di atas adalah syarat-syarat yang perlu diperhatikan sebelum seseorang
itu mengubah mazhab imamnya. Adapun atas tujuan selain itu, seseorang
boleh berpegang dan beramal dengan hadis sahih yang ditemuinya sekalipun
dia belum mencapai darjat seorang mujtahid. Asalkan dia mampu mengkaji
dan menganalisa secara ilmiah dan menyeluruh. al-Zarkasyi rahimahullah
menulis:
Sesiapa yang (pada mulanya) bertaqlid[18] kepada sebahagian imam
(mazhab) lalu kemudian darjatnya naik sedikit sehingga mampu memahami
dan mengkaji dalil-dalil syari‘at , maka apabila dia menemui sebuah
hadis yang dapat digunakan sebagai hujah dan hadis itu pula digunakan
oleh sebahagian orang namun berselisihan dengan pendapat imam mazhabnya,
maka adakah dibolehkan dia berijtihad (dengan mengamalkan hadis
tersebut dan meninggalkan pendapat imam mazhabnya) ?
Berkata Abu ‘Amr (Ibn al-Shalah): Dalam hal ini kami berpendapat, jika
seseorang itu memiliki sarana untuk berijtihad secara mutlak atau
(sekurang-kurangnya berijtihad) dalam sesebuah bab atau masalah
tertentu, maka dibolehkan bagi dia beramal dengan hadis tersebut. (Juga
dibolehkan) sekalipun jika dia tidak memiliki saranan untuk berijtihad
secara sempurna dan wujud di hatinya keraguan terhadap hadis
tersebut,[19] asalkan dia tidak mendapati hadis lain yang bertentangan
dengan hadis yang ingin diamalkan itu. Jika terdapat seorang imam di
luar mazhabnya yang beramal dengan hadis tersebut, maka dia boleh
bermazhab kepadanya. Demikian merupakan alasan yang membolehkan dia
meninggalkan pendapat imam mazhabnya (yang asal).[20]
Ibn Taimiyyah rahimahullah menguatkan lagi pendapat Ibn al-Shalah
tentang tidak perlunya seseorang itu memiliki darjat mujtahid untuk
beramal dengan hadis sahih yang ditemuinya:
Boleh berpegang dan beramal dengan hadis sahih yang dite-muinya
sekalipun dia belum mencapai darjat seorang muj-tahid. Asalkan dia mampu
me-ngkaji dan menganalisa secara ilmiah dan menyeluruh.
Urusan ijtihad bukanlah suatu perkara yang tidak dapat menerima
pemecahan dan pembahagian. Bahkan mungkin sahaja wujud seorang yang
memiliki keahlian untuk berijtihad di dalam satu bidang ilmu atau bab
atau permasalahan dan tidak di dalam bidang ilmu atau bab atau
permasalahan yang lain. Oleh itu setiap seseorang boleh berijtihad
mengikut tahap kemampuan masing-masing.
Justeru sesiapa yang meneliti sesuatu permasalahan yang berselisih para
ilmuan tentangnya lalu dia memperolehi beberapa nas (hujah) yang berada
di luar nas-nas yang diperselisihan oleh kedua-dua pihak yang berbeza
pendapat itu[21], maka bagi dia dua pilihan:
(Pertama), dia mengikut pendapat
terakhir (terkuat dan termasyhur di dalam mazhabnya) dengan sebab ia
adalah pendapat imam yang mazhabnya menjadi ikutan dia. Tindakan ini
tidak memiliki hujah di dalam syari‘at[22] akan tetapi disebabkan
kebiasaan yang ditentang oleh kebiasaan yang lain,[23] dia terikat
kepada mengikut saja pendapat imam mazhabnya.
(Kedua), dia mengikut pendapat yang
dikuatkannya berdasarkan penelitiannya terhadap nas-nas yang menjadi
dalil ke atasnya. Dalam suasana seperti ini, (hendaklah dipastikan
bahawa) pendapatnya selari dengan pendapat salah seorang imam sekalipun
ia berbeza dengan pendapat imam (yang menjadi ikutannya) dan nas-nas
tersebut selamat daripada sebarang pertentangan dengan nas yang lain
untuk diamalkan. (Jika dapat dipastikan dua hal ini) maka (beramal
dengan pendapat yang dikuatkannya itu) merupakan satu tindakan yang
salih (baik).[24]
Justeru orang yang belum mencapai darjat mujtahid sepenuhnya, apabila
dia menemui hadis sahih yang pada zahir kelihatan berselisihan dengan
pendapat imam mazhabnya hendaklah memerhatikan beberapa perkara yang
penting:
Tidak boleh menggunakan hadis tersebut untuk mengubah ajaran mazhabnya.
Dia boleh mengamalkan hadis tersebut dengan syarat dia dapat memastikan
tidak ada dalil yang menentangnya, sama ada dalam bentuk yang
membatalkannya (nasikh & mansukh), mengkhususkannya (am & khas),
membataskannya (mutlak & muqayyad) dan sebagainya.
Dengan hadis tersebut dia boleh meninggalkan pendapat mazhabnya dalam
masalah yang berkaitan. Namun lebih afdal jika pengamalan hadis tersebut
adalah selari dengan pendapat salah seorang imam atau tokoh ilmuan yang
lain.
Dia juga boleh mengajar pengamalan hadis tersebut kepada orang ramai
akan tetapi tidak boleh memaksa atau bertindak keras jika sebahagian
mereka masih ingin mengikut pendapat mazhab masing-masing. Ini kerana
orang ramai bebas memilih kepada siapa mereka hendak rujuk berdasarkan
keyakinan masing-masing.
Rujukan:
[1]Dari Abu Hanifah, diriwayatkan oleh
Ibn ‘Abidin (1203H/1789M) di dalam al-Hasyiyah, jld. 1, ms. 63 dan Ibn
al-Syuhnah di dalam Syarh al-Bidayah. Dari al-Syafi‘e, diriwayatkan
al-Nawawi dalam al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, jld. 1, ms. 163 dan oleh
al-Sya’rani di dalam al-Mizan, jld. 1, ms. 57. Riwayat-riwayat ini dan
yang akan datang seterusnya dinukil drpd buku The Prophet’s Prayer
Described oleh al-Albani.
[2]Riwayat Ibn ‘Asakir di dalam Tarikh Dimashq, 15/1/3.
al-Imam Ibn ‘Asakir lahir pada
499H/1106M di bandar Damsyik. Seorang ahli sejarah dan ahli hadis yang
terkemuka bagi Mazhab al-Syafi‘e pada kurun ke 5 hijrah. Beliau yang
nama asalnya ialah Abu al-Qasim ‘Ali bin al-Hassan meninggal dunia pada
571H/1176M.
[3]Riwayat Ibn Abi Hatim di dalam al-Adab, ms. 93-94.
[4]Riwayat Ibn al-Qayyim di dalam I’lam al Muwaqqi‘in, jld. 2, ms. 363.
[5]Riwayat al-Khatib al-Baghdadi di
dalam al-Ihtijaj bi al-Syafi‘e, jld. 8, ms. 2 dan al-Nawawi di dalam
al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, jld. 1, ms. 63.
al-Imam al-Nawawi ialah seorang imam
mujtahid yang masyhur bagi Mazhab al-Syafi‘e. Beliau yang nama asalnya
Abu Zakaria Yahya bin Syaraf lahir di Syria pada 631H/1233M. Antara
karangan beliau ialah kitab fiqh Mazhab al-Syafi‘e berjudul al-Majmu’
Syarh al-Muhazzab dan Syarh Shahih Muslim. Meninggal dunia pada
676H/1277M
[6]al-Risalah, para 423, sub-para 3.
[7]al-Risalah, para 426.
[8]Riwayat Salih al-Fulani di dalam Iqaz al-Himam, ms. 50.
[9]Dinukil drpd The Prophet’s Prayer Described, ms. viii.
[10]Riwayat Ibn ‘Abd al-Barr di dalam Jami’ Bayan al-Ilm, jld. 2, ms. 32.
Ibn ‘Abd al-Barr, beliau ialah al-Imam
Yusuf bin ‘Abd Allah bin Muhammad bin ‘Abd al-Barr, lahir di Qordova,
Sepanyol pada tahun 368H/978M. Seorang ahli hadis yang ulung dalam dunia
Islam dan ahli fiqh yang masyhur dalam Mazhab Maliki. Meninggal dunia
pada tahun 463H/1071M.
[11]Jami’ Bayan al-Ilm, jld. 2, ms. 91.
[12]Riwayat Abu Daud di dalam Masa’il al-Imam Ahmad, ms. 276.
al-Imam Abu Daud ialah Sulaiman bin
al-Asy’ath al- Sijistan, lahir pada 202H/818M. Beliau sempat berguru
kepada Ahmad bin Hanbal bersama al-Bukhari dan Muslim. Kitabnya yang
terkenal ialah Sunan Abu Daud, mengandungi 4800 buah hadith dan sudahpun
diterjemahkan. Selain itu beliau ada mengarang belasan buah kitab yang
lain sebelum meninggal dunia pada 275H/889M di Basrah, Iraq.
[13]Jami’ Bayan al-Ilm, jld. 2, ms. 149.
[14]al-Imam Ibn Rajab al-Hanbali,
ialah seorang tokoh besar di dalam bidang hadis dan fiqh bagi Mazhab
Hanbali. Beliau yang nama sebenarnya Abu al-Faraj ‘Abd al-Rahman bin
Ahmad lahir pada 736H/1335M dan meninggal dunia pada 795H/1393M.
Kata-katanya di atas dikutip oleh Salih al-Fulani (1218H/1804M) di dalam
kitabnya Iqaz al-Himan, ms. 93; dinukil drpd The Prophet’s Prayer
Described, ms. xv oleh al-Albani.
[15]al-Mizan al-Kubra, jld. 1, ms. 98.
[16]The Prophet’s Prayer Described, ms. viii.
[17]al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab (ed:
M. Najib Ibrahim; Dar Ihya’ al-Turats al-‘Arabi, Beirut 2001), jld. 1,
ms. 136. Ibn Taimiyyah rahimahullah telah menggariskan 20 sebab dan
kaedah di mana sesuatu hadis itu boleh ditinggalkan pengamalannya. Lihat
risalah beliau berjudul Rof’ul Malam ‘an A’immat al-A’lam (رفع الملام
عن الأئمة الأعلام) (Dar al-Kutub al-Ilmiah, Beirut tp.thn.).
[18]Taqlid ialah mengikut pendapat seorang imam tanpa mengetahui alasan atau hujah di sebaliknya.
[19]Yakni keraguan kerana hadis tersebut berselisihan dengan pendapat imam mazhab yang diikutinya.
[20]Nukilan berpisah daripada al-Bahr
al-Muhith (Dar al-Kitabiy, Beirut tp.thn.), jld. 8, ms. 343-344.
al-Zarkasyi telah menukil beberapa pendapat, antaranya oleh al-Qarafi
dan al-Nawawi yang meletakkan beberapa syarat ketat sebelum seseorang
itu dapat mengubah mazhab seorang imam sesama-mata berdasarkan hadis
sahih yang ditemuinya. Namun al-Zarkasyi juga menukil pendapat Ibn
al-Shalah sepertimana di atas yang membolehkan orang perseorangan
mengamalkan hadis sahih yang ditemuinya.
al-Zarkasyi, beliau ialah al-Imam
Muhammad bin Bahadur bin ‘Abd Allah. Lahir di Kaherah pada tahun
745H/1344H, beliau merupakan seorang ahli usul fiqh yang ulung di dalam
Mazhab al-Syafi‘e. Meninggal dunia pada 794H/1392M.
al-Imam Ibn al-Shalah, beliau ialah
‘Utsman ibn ‘Abd al-Rahman Shalah al-Din, lahir di Sharkhan pada
577H/1181M. Beliau ialah seorang ahli hadis yang tersohor di dalam
Mazhab al-Syafi‘e. Kitabnya yang terkenal di dalam ilmu hadis, berjudul
‘Ulum al-Hadits menjadi rujukan semua 4 mazhab hingga ke hari ini.
Beliau meninggal dunia pada 643H/1245M.
[21]Yakni dia memperoleh dalil dan
hujah yang dapat mengunggulkan satu pendapat di antara beberapa pendapat
yang sedang diperselisihkan.
[22]Ini kerana kewajipan seseorang
ialah mengikut dalil dan hujah yang diyakininya paling mendekati
kebenaran al-Qur’an dan al-Sunnah. Dalam penjelasan seterusnya, Ibn
Taimiyyah menerangkan bahawa sekalipun pilihan yang pertama ini tidak
memiliki dasar yang dibenarkan oleh syari‘at, ia tetap dibolehkan kerana
orang tersebut tidak memiliki kelayakan yang secukupnya untuk
berijtihad sepenuhnya. Ibn Taimiyyah menggelarnya sebagai satu
“penurunan”, iaitu pelonggaran syarat. Pilihan pertama ini tidak
dibolehkan jika seseorang itu memiliki kemampuan untuk berijtihad
sepenuhnya.
[23]Yakni sudah menjadi kebiasaan dia
dituntut mengikut mazhab asalnya sahaja. Jika dia meninggalkan
mazhabnya, dia akan dikritik oleh masyarakat yang sudah biasa mengkritik
orang yang meninggalkan mazhab asalnya.
[24]Majmu’ al-Fatawa, jld. 20, ms. 212-213.
Oleh: Ilmu Sunnah
Sumber : http://syahirul.com/wasiat-imam-4-mazhab-kepada-umat-islam
Tiada ulasan:
Catat Ulasan