Home Klik Di Bawah

Khamis, 28 Februari 2013

Alkisah Sebuah Penyiksaan

“Mak, malam ini acik balik makan,” tanya anak tunggal Kak Dah di telefon.

Kak Dah yang kini seorang ibu tua yang bersama bersama suaminya Pak Long.

Acik jarang balik makan di rumah, Kak Dah cukup riang mendengar kata-kata Acik yang ingin makan bersama malam.

Kak Dah terus ke pasar bersama Pak Long.

“Ayang nak beli tepung dan sabut kepala,” kata Kak Dah.





“Mengapa?” tanya Pak Long.

“Acik suka kuih koci. Malam ini nak buat sikit untuk dia rasa. Acik suka bebola ikan, nanti belikan ikan merah, ayang buat bebola ikan. Abang pergi cari daging, ambil yang Australia, Acik suka makan goreng kering,” kata Kak Dah.

Selepas siap membeli, Kak Dah dan Pak Long balik ke rumah untuk menyiapkan makanan malam.

Tengah dalam persediaan membuat bebola ikan…

“Alamak abang, lupa Acik tak suka makan bebola tanpa cincalok. Kena pergi beli. Beli juga ikan masin, kailan ini Acik lebih suka makan goreng dengan ikan masin,” kata Kak Dah.

“Susah nak parking sekarang. Dah kena ikut. Abang henti tepi, Dah pergi beli,” kata Pak Long.

Berdua orang tua ini keluar semula untuk membeli barangan untuk memasak.

Jam menunjukkan pukul 7pm, segala makanan telah disiapkan oleh Kak Dah dan Pak Long. Mereka menunggu kepulangan Acik. Disebabkan takut sejuk, hanya bebola ikan sup sahaja belum dimasak. Kak Dah kata bila Acik hampir sampai baru masak.

“Acik di mana?” tanya Kak Dah.

“Masih di ofis mak. Ada kerja lagi. Sekejap lagi Acik bertolak,” jawab anaknya.

“Dah bertolak bagitahu mak ya,” jawab Kak Dah.

Pak Long dan Kak Dah mengambil kesempatan untuk mandi dan solat Maghrib.

Jam 7:45pm, telefon Kak Dah masih tidak berbunyi. Perut Kak Dah dah berasa senak, sebab Kak Dah ada penyakit gastrik, dan biasa waktu makannya 7:00pm.

“Acik dah bertolak?” tanya Pak Long.

“Belum. Masih ada kerja lagi. Lepas siap, Acik akan datang. Ayah makan dulu,” jawab anaknya.

“Dah, makan dulu. Acik suruh makan dulu,” kata Pak Long kepada Kak Dah.

“Tak apalah abang. Ayang boleh tahan. Kita tunggu dia. Sikit sahaja tu. Anak kerja kuat, kita temankan dia makan sekali sekala lewat sikit tak apa,” jawab Kak Dah.

Pak Long tidak berkata apa-apa.

Azan berbunyi lagi. Sudah masuk waktu Isyak. Acik masih tidak muncul.

Pak Long ingin menelefon Acik.

“Tak payah kacau dia. Acik mungkin sibuk. Sekejap lagi dia sampai la tu,” kata Kak Dah.

Mereka menunggu lagi. Telefon mereka tetap tidak berdering.

Jam 9:30

Perut Pak Long mula berbunyi.

“Abang lapar? Abang makan dulu lah. Dah tunggu Acik,” kata Kak Dah.

“Usah tunggu. Makan sama-sama. Ni nak tunggu sampai bila,” kata Pak Long.

Satu makan malam yang sepatutnya gembira menjadi hiba kerana Acik tidak muncul.

Kak Dah menyuapkan sedikit makanan, lalu ia tercekik, tidak mampu menelannya. Bila ditanya Pak Long, kenapa?

Kak Dah menjawab ia teringatkan Acik, kerana lauk-lauk yang disediakan adalah lauk yang paling anaknya sukai.

Dalam hati Kak Dah terasa amat hampa, kerana sejak pagi menerima telefon Acik, Kak Dah menjangka anaknya pulang petang itu untuk makan bersama, namun ia tidak kesampaian.

Anaknya tidak pulang sebagaimana dijanjikan, "Mungkin ada urusan lebih mustahak,” keluhnya hampa.

Pak Long hanya mampu melihat dan tidak terkata apa-apa. Pak Long sedar hati Kak Dah bagai dihiris pisau.

Telefon berdering.

“Acik nak pergi minum dengan kawan, tak sempat balik makan. Lain kali Acik balik makan dengan mak,” kata Acik.

“Ok. Jaga diri sayang,” kata Kak Dah, yang menggunakan segala tenaga untuk menutup rasa hibanya.


Bagaimana kalau anda berada di posisi Kak Dah itu?

Sebagai anak, harus diingat ibubapa mengambil serius pada setiap janji dan kata-kata kita. Buatlah sesuatu bagi memuliakan mereka pada bila-bila masa ini.

Ingatlah, kalau anda sayangi ayah ibu tunjukkan agar mereka menikmati kasih sayang anda.

Dan jangan biar mereka menunggu kerana penungguan pada sebuah janji yang tidak kesampaian adalah satu seksaan yang kejam buat ibubapa yang tercinta.

Senyum.
sumber: FB Tuan Ibrahim Tuan Man.
muntahpelangiblogsport

Tiada ulasan:

Catat Ulasan