Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak menolak
kemungkinan akan ada lagi beberapa berita gembira bakal diumumkan buat
kira-kira 1.4 juta penjawat awam di negara ini apabila beberapa
permasalahan mereka dapat diselesaikan tidak lama lagi.
Beliau berkata kerajaan sememangnya mengambil berat soal kebajikan
penjawat awam yang telah banyak membantu membangunkan negara selama ini.
"Saya faham telah banyak perkara yang telah dapat diselesaikan oleh
kerajaan namun masih ada beberapa perkara yang belum selesai.
"Tunggulah dan berdoalah agak panjang daripada biasa kerana mungkin ada
berita baik akan diterima (oleh penjawat awam) tidak lama lagi,"
katanya ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Khas Bersama Penjawat Awam
Persekutuan dan Negeri Kelantan di Dewan Utama, Universiti Sains
Malaysia (USM) Kampus Kesihatan di sini, Khamis.
Turut hadir pada majlis dihadiri lebih 3,000 penjawat awam itu ialah
isteri Muhyiddin, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman, Menteri Perdagangan
Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, Menteri
Pelancongan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr
Awang Adek Hussin, Naib Canselor USM Prof Datuk Dr Omar Osman dan
Presiden Cuepacs Datuk Omar Osman.
Muhyiddin berkata kerajaan sangat menghargai jasa dan peranan penjawat
awam yang pada masa sama telah menjadi "mata dan telinga" kerajaan bagi
menyelesaikan masalah rakyat keseluruhan.
Beliau berkata melalui penjawat awam, kerajaan mendengar segala
rintihan rakyat yang kemudiannya akan bertindak untuk membela mereka
yang memerlukan pembelaan.
Timbalan Perdana Menteri juga menzahirkan rasa bangga dengan peranan
penjawat awam yang telah berjaya merealisasikan program transformasi
negara sehingga lahir sebagai sebuah negara yang dikagumi.
"Saya bangga dengan peranan penjawat awam ini kerana segala yang kita
sasarkan itu telah menjadikan keadaan negara jauh lebih baik daripada
sebelum ini," katanya.
Beliau juga mahukan penjawat awam di semua sektor dapat memastikan
setiap peruntukan pada belanjawan yang diumumkan dapat digunakan dengan
sebaik mungkin bagi pembangunan negara.
Timbalan Perdana Menteri berkata soal politik tidak akan diambil kira
dalam membangunkan Kelantan kerana yang penting adalah memastikan rakyat
negeri itu sama-sama menikmati pembangunan negara.
Pada sesi dialog selepas itu, Muhyiddin berkata kerajaan sama sekali
tidak bercadang untuk mengurangkan jumlah penjawat awam di negara ini.
Beliau berkata pihak tertentu tidak boleh membandingkan saiz penjawat
awam di Malaysia dengan negara lain kerana keadaan itu sangat berbeza
sama sekali.
Muhyiddin jturut menafikan negara akan muflis seperti dakwaan
pembangkang kerana kerajaan Barisan Nasional (BN) merupakan kerajaan
yang bertanggungjawab dan berkemampuan untuk membangunkan negara.
"Selagi kerajaan Barisan Nasional kekal memerintah, kita tidak akan
menjadi negara yang bankrap kerana kita ada segala kemampuan," katanya.
Beliau juga berkata segala bentuk bantuan terutama Bantuan Rakyat
1Malaysia akan diteruskan pada masa hadapan jika keadaan ekonomi yang
baik ketika ini dapat diteruskan lagi.
-- BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan