Home Klik Di Bawah

Isnin, 25 Februari 2013

Tip Dan Panduan Membina Keluarga Bahagia

Keluarga Bahagia Cara Islam
Tip serta panduan bagaimana membina keluarga bahagia berdasarkan kepada keluarga bahagia Rasulullah SAW.

Membina keluarga Bahagia

Asas pertama membina keluarga bahagia ialah keimanan serta ketakwaan kepada Allah kerana perkara itu dijelaskan dalam firman-Nya bermaksud:

“Dan bersegeralah kamu kepada ampunan dari Tuhanmu dan kepada syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang yang bertakwa.” (Surah Ali-Imran, ayat 133)

Hanya mereka yang memiliki keimanan dan ketakwaan kepada Allah mampu melayari kehidupan berumah tangga yang bahagia. Malah, perkara itu turut dijelaskan Rasulullah SAW mengenai cara memilih pasangan.





Apabila kita berkahwin, pastinya kita ingin bahagia. Hakikatnya, bahagia itu subjektif kerana ada melihat bahagia dari segi material yang dimiliki tetapi ada juga yang kaya namun hidup tidak bahagia.

Oleh itu, Rasulullah sudah memberi panduan jika ingin memilih pasangan, pilih yang beriman dan bertakwa kepada Allah. Jika kita pilih pasangan yang memiliki ciri-ciri ini, akan bahagia dunia dan akhirat.

Mawaddah Warahmah Atau kasih sayang

Asas kedua ialah mawaddah warahmah atau kasih sayang yang juga ditunjukkan Rasulullah SAW melalui dua pendekatan iaitu dengan kata-kata dan perbuatan yang melambangkan kasih sayang antara suami isteri.
selain memanggil pasangan dengan panggilan elok penuh penghormatan, kasih sayang juga perlu ditunjukkan menerusi kebiasaan memberi hadiah, sentuhan, khidmat serta meluangkan masa bersama.

Kehidupan Yang Seimbang

Untuk hidup yang seimbang pula, Muslim perlu ada empat unsur yang sentiasa dipelihara dengan bersungguh-sungguh.

Empat unsur itu ialah fizikal yang merujuk kepada perlunya menjaga makan minum. Emosi membabitkan kasih sayang diikuti rohani iaitu ibadat kita kepada Allah. Akhirnya, akal yang makanannya adalah ilmu. Semua unsur ini dapat membantu mencapai kebahagiaan di dunia dan akhirat.

Pergaulan Yang Baik

Asas lain ialah pergaulan yang baik, amanah dan tanggungjawab, rezeki halal, berdoa kepada Allah dan berbuat baik kepada ibu bapa. Kesemua asas itu jika dipelihara oleh suami dan isteri akan melahirkan kehidupan bahagia serta membina anak salih.

Pergaulan yang baik antara suami, isteri dan anak penting kerana suasana yang baik itu secara tidak langsung akan mendorong setiap ahli keluarga menghargai serta menghormati, akhirnya mengukuhkan hubungan kasih sayang.

Maksud pergaulan baik ialah berbicara dengan penuh lemah lembut terhadap pasangan masing-masing dan anak-anak. Meniru cara Khadijah bergaul dengan Rasulullah SAW.

Ketika Khadijah ingin menghidangkan makanan kepada Rasulullah, Jibril sudah memberitahu Baginda akan kedatangan Khadijah yang membawa makanan. Jibril meminta Baginda menyampaikan salam Jibril dan salam daripada Allah yang sudah membina istana untuk Khadijah di syurga.

Apabila ditanya kenapa Khadijah mendapat penghormatan itu, Allah berkenan dengan dua perkara yang dilakukan Khadijah kepada Rasulullah SAW iaitu:

Tutur katanya yang lembut dan layanan baik diberikan kepada Baginda.

Justeru, bagi isteri atau suami yang menginginkan ganjaran syurga, maka berkatalah dengan lemah lembut dan berikan layanan baik kepada pasangan. Inilah yang sepatutnya dilakukan untuk membina keluarga bahagia.

Sumber Rezeki Yang Halal

Ramai yang tidak memberi perhatian kepada sumber rezeki kerana beranggapan ia bukan sebahagian daripada faktor yang membantu keluarga mencapai kebahagiaan sedangkan aspek itu memainkan peranan penting.

Rasulullah SAW sudah menjelaskan bahawa makan yang dimakan akan menjadi darah daging. Makanan yang haram tempatnya di neraka sementara makanan daripada sumber halal serta suci membolehkan doa dimakbulkan.

Begitu juga berbuat baik kepada ibu bapa kerana selain menjaga hati kedua-duanya, anak juga bertanggungjawab untuk berkhidmat kepada ibu bapa termasuk menyelesaikan hutang serta tuntutan haji mereka.

Oleh: Wan Akashah Wan Abdul Hamid dan Datuk Siti Nor Bahyah Mahamood. Program Bicara Keluarga Bahagia anjuran Pusat Pungutan Zakat (PPZ) Wilayah Persekutuan dengan kerjasama Badan Khairat The News Straits Times Press (M) Bhd (NSTP).
Wallahu’alam….
hasnulhadiahmad.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan