Perdana Menteri pada Isnin mengumumkan empat berita gembira kepada
40,000 pegawai dan kakitangan tujuh Agensi Badan Berkanun Yang
Diasingkan Saraan (BBDS) pada Perhimpunan Perdana yang berlangsung di
Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.
Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan bersetuju menubuhkan
dana pencen kepada kakitangan BBDS, memberi imbuhan tetap perumahan,
pemberian saguhati kepada mereka yang telah tamat perkhidmatan dan
mencadangkan agar caruman majikan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)
diselaraskan.
Tujuh badan berkanun terbabit ialah Lembaga Tabung Haji, Lembaga
Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Bank Simpanan Nasiona (BSN), Lembaga
Hasil Dalam Negeri (LHDN), Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera
(Perhebat), Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Kumpulan Wang
Simpanan Pekerja (KWSP).
Najib berkata, pendapatan negara berkembang dengan baik, justeru itu hasilnya harus dikongsi dengan pekerja dan rakyat.
"Inilah ramuan dan formula di mana kita dapat memakmurkan ekonomi, pekerja dan rakyat.
"Dengan ini kerajaan bersetuju menubuhkan dana pencen bagi tujuh
kakitangan BBDS di mana potongan KWSP setiap bulan dibahagi kepada dua,
iaitu sebahagian dicarum ke dalam KWSP manakala sebahagian lagi dicarum
ke dana pencen," katanya.
Menurut Najib, sekiranya pekerja dijaga dengan baik, mereka turut
akan memberi respons yang baik sekali gus menyumbang kepada pembangunan
negara.
"Memakmurkan ekonomi dahulu dan mensejahterakan rakyat adalah ramuan
yang dipegang sejak mengambil alih tampuk kerajaan," katanya.
Sementara itu, Presiden Gabungan BBDS, Tuan Azman Tuan Yaacob
berkata, berita gembira tersebut semenangnya ditunggu-tunggu oleh mereka
selama ini.
"Terima kasih kepada Perdana Menteri kerana telah meluluskan empat
tuntutan tersebut. Ternyata kerajaan hari ini adalah kerajaan yang
menepati janji," katanya.
Beliau berkata, keempat-empat tuntutan itu telah diperjuangkan sejak 2009.
Azman turut memberitahu satu jawatankuasa pemandu telah dibentuk untuk membincangkan keempat-empat pengumuman tersebut.
"Mesyuarat antara pegawai-pegawai tujuh agensi terbabit akan dibuat
setiap minggu. Saya percaya perkara ini dapat dilaksanakan pada tahun
ini juga," katanya.
mstar
Tiada ulasan:
Catat Ulasan