Home Klik Di Bawah

Isnin, 1 April 2013

Peranan Muslimah dalam Mendirikan Kembali Daulah Khilafah


Kemungkaran terbesar yang dihadapi oleh umat Islam pada hari ini adalah penerapan sistem dan peraturan kufur. Umat Islam juga dinafikan sebuah  Negara Khilafah Islamiah yang boleh menerapkan keseluruhan sistem Islam.  Menubuhkan Negara Islam adalah amal makruf yang paling besar. Dengan penubuhan sebuah Negara Khilafah, semua urusan umat Islam dapat dilakukan mengikut peraturan Islam di mana akhirnya dapat melahirkan sebuah masyarakat Islamiah. Hanya Negara Khilafahlah yang dapat melindungi Islam dan menyebarkan dakwah Islam keseluruh dunia.
 
 
 

Kewajipan mendirikan Negara Islam

Natijah dari ketiadaan Khilafah menjadikan kita terpaksa hidup dalam masyarakat yang menerapkan undang-undang ciptaan manusia dan meninggalkan peraturan-peraturan yang diturunkan oleh ALLAH Subhanahu Wa Taala. Islam hanya dilaksanakan untuk urusan peribadi sahaja, malah, semakin hari menjadi semakin berkurangan. Kita juga menyaksikan pemerintah yang juga agen-agen kufur, merobek-robek Agama ALLAH dan membuat pelbagai interpretasi yang berpihak kepada mereka. Mereka lebih takut kepada musuh-musuh ALLAH ini, berbandingkan takut kepada ALLAH Subhanahu Wa Taala. Mereka dibiarkan menguasai urusan –urusan umat dan merompak hasil-hasil bumi umat Islam.

Ketiadaan Khilafah juga mengakibatkan musuh-musuh Islam ini menghina kepercayaan suci umat Islam tanpa mendapat sebarang reaksi balas dari mana-mana negara. Mereka berterusan memfitnah Rasulullah Sallalahu Alaihi Wa Sallam, memperlekehkan al-Quran, mempersendakan pakaian Muslimah, melarang pembinaan kubah di masjid-masjid, dan mereka juga mereka-reka cara penyembahan umat Islam sepertimana yang berlaku di Amerika di mana seorang wanita mengetuai satu perhimpunan untuk solat berjemaah. Khilafah itu ibarat perisai bagi mempertahankan seluruh umat Muslim dari pihak kufur.  Rasulullah  Sallallahu Alaihi Wa Sallam bersabda,

“Dan sesungguhnya Imam itu perisai dibelakang orang –orang yang berperang dan dia melindungi mereka.” [HR Muslim]

Kini, Islam telah menjadi sepertimana yang pernah diterangkan oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam di dalam  hadisnya,

“Simpulan Islam itu akan terlerai satu persatu dan umat Islam akan berpautan dari seorang keseorang yang lain, simpulan yang pertama terlerai ialah pemerintahan dan yang terakhir ialah solat”  [Riwayat Ahmad]

Oleh itu, simpulan pertama pemerintahan Islam terlerai apabila Britain menghancurkan Khilafah melalui agennya Mustafa Kamal Attartuk dan selepas itu hukum-hukum Islam terlerai satu demi satu.  Akhirnya, tiada lagi pemerintahan Islam dalam masyarakat sepertimana yang telah ditentukan oleh Islam.

Oleh itu adalah satu kewajipan bagi setiap umat Islam, lelaki dan perempuan untuk berusaha mengembalikan Negara Khilafah Islamiah, yang akan memastikan kekuasaan Islam dan menghancurkan dominasi kufur.

Kewajiban untuk memerintah dengan Islam
ALLAH Subhanahu Wa Taala telah mewajibkan umat Islam diperintah oleh Islam dan tidak sekali-kali diperintah oleh undang-undang yang lain daripada Islam. ALLAH Subhanahu Wa Taala berfirman;

“Dan hendaklah kamu memutuskan perkara di antara mereka menurut apa yang diturunkan ALLAH  dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka. Dan berhati-hatilah kamu terhadap mereka, supaya mereka tidak memalingkan kamu dari sebahagian apa yang telah diturunkan ALLAHkepadamu.” [TMQ Al Maidah (5):49]

Dan ALLAH Subhanahu Wa Taala berfirman lagi;
“..Barang siapa tidak memutuskan perkara menurut apa yang diturunkan ALLAH  maka mereka itu adalah orang—orang yang fasik.”  [TMQ Al Maidah (5):47]

Perintah untuk berhukum dengan Islam adalah perintah untuk membina Negara Khilafah kerana hanya dengan pemerintahan Negara Khilafah, hukum-hukum Islam dapat dilaksanakan. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallampernah bersabda;

“Para nabi telah memerintah Bani Isreal, apabila seorang Nabi meninggal dunia, seorang nabi yang lain akan menggantikannya, tetapi tidak akan ada lagi Nabi selepas aku. Kemudian akan ada ramai Khulafa’. Mereka bertanya: Apakah yang kamu perintahkan kepada kami? Beliau menjawab: Berikanlah bai’at kepada mereka seorang lepas seorang.”

Berdasarkan kepada hadis ini, para Ulama terdahulu memahami status Khilafah di dalam Islam.

Al-Juzairi berkata, “Imam-imam (dari ke empat -emapat mahzab) – semoga ALLAH merahmati mereka- bersetuju bahawa Khilafah adalah satu kewajipan dan umat Islam harus melantik seorang pemimpin yang akan melaksanakan peraturan – peraturan agama dan menuntut keadilan keatas pemerintah yang menindas. Mempunyai dua pemimpin adalah haram bagi umat Islam”.

Di dalam Tafsir Al-Qurtubi 264/1, dinyatakan bahawa, “Sesungguhnya manusia telah dijadikan sebagai Khalifah di muka bumi ini.  Ayat ini merujuk kepada pemilihan seorang Imam atau Khalifah di mana dia perlu didengar dan dipatuhi, supaya dunia ini bersatu di bawah pimpinannya dan hukum-hukum dilaksanakan tanpa membezakan kewajipan di antara umat dan pemerintah…”

Al-Qurtubi juga berkata bahawa, “Khilafah adalah umpama tiang yang menyokong tiang-tiang yang lain.”

Di dalam Sahih Muslim (mukasurat 205, jilid 12), An-Nawawi berkata,“(Para ulama) bersependapat bahawa ia adalah satu kewajipan  keatas umat Islam untuk melantik seorang Khalifah.”

Ibn Hazam menyatakan di dalam “Fasal min al – Nihal 87/4” bahawa, “Kesemua ahlu-sunnah bersetuju melantik Imam (Khilafah) adalah fardhu ke atas umat Islam. Ia adalah satu kewajipan ke atas mereka untuk taat di bawah kekuasaan Khalifah dalam melaksanaan peraturan –peraturan Allah dan memimpin mereka mengikut peraturan –peraturan Syariah.”

Di dalam “al-Farak bayn al-Firak” Baghdadi berkata, “Imam (Khilafah) adalah fardhu ke atas umat supaya seorang Imam itu dilantik untuk menerapkan Syariah dan dipatuhi.”

Al-Mawardi menerangkan dalam “Ahkam al-Sultaniyyah” bahawa, “Pelantikan Khilafah adalah satu kewajipan.”

Ibnu Taymiyyah menerangkan dalam “Siyaasah Shariyyah” bahawa, “Ia adalah satu kewajipan untuk mengetahui bahawa jawatan Khilafah ialah salah satu daripada kewajipan dalam Agama. Sesungguhnya, tidak akan ada kekuatan Agama kecuali dengannya…ini adalah pendapat yang dipersetujui oleh ulama salaf seperti al-Fadl ibn ‘Iyaad, Ahmed ibn Hanbal dan lain-lain”.

Cara untuk mengembalikan semula Daulah Islamiah 
Setelah mengetahui dengan jelas bahawa mendirikan Daulah Islamiyah adalah satu kewajipan, kita harus merujuk pula kepada Syariah untuk  melaksanakannya.  ALLAH Subhanahu Wa Taala telah memerintahkan kita berusaha untuk mendirikan Daulah Islamiyah dengan memberikan satu metodologi yang jelas seperti berikut:

Menubuhkan parti politik
ALLAH Subhanahu Wa Taala telah memerintahkan supaya menubuhkan satu kumpulan dikalangan umat Islam dalam melaksanakan dakwah dan melakukan amar makruf nahi mungkar. ALLAH Subhanahu Wa Taala berfirman,

“Dan hendaklah ada diantara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari   yang mungkar; merekalah orang-orang yang beruntung”.  [TMQ Ali’ Imran (3):104]

Ayat ini menegaskan kewajipan untuk menubuhkan satu kumpulan atau parti dan menjelaskan peranan kumpulan tersebut.  Perkataan “ummah” di dalam ayat ini merujuk kepada kumpulan atau kelompok atau jemaah atau parti.

Di dalam buku “Ahkamul – Quran”, Abu Bakar b. Al-Arbi menerangkan bahawa “Ummah bermaksud kelompok”.

Imam Al-Tabri menerangkan di dalam bukunya “Jamaa Al-Bian” bahawa ayat ini bermaksud, hendaklah ada “sekelompok” di antara kamu yang menyeru manusia kepada Islam dan kebenarannya.”

Garis kasar tentang fungsi parti juga telah diterangkan dalam ayat ini,iaitu menyeru kebaikan memberi maksud bahawa tugas semua umat Islam adalah mengerjakan amal makruf nahi mungkar dan harus dilaksanakan.

Al-Khair” merujuk kepada keseluruhan Islam, berdakwah untuk pelaksanaan keseluruhan Islam dan bukan sebahagian – sebahagian.  Ini semua hanya dapat dilakukan melalui Daulah Islamiyah dan ketika ketiadaan Khilafah, ia adalah satu seruan untuk mendirikan Daulah yang menerapkan semua hukum-hukum Islam.  Ada hukum Islam yang dilaksanakan secara individu seperti solat dan puasa, tetapi banyak lagi hukum yang tidak dapat dilaksanakan secara individu seperti hudud, jihad untuk menyebarkan Islam dan memenuhi segala keperluan seluruh masyarakat sepertimana yang terdapat dalam ayat diatas. Oleh yang demikian, dakwah harus dilakukan untuk mengembalikan Daulah Islam kerana perintah yang terdapat dalam ayat tersebut hanya dapat dipenuhi melalui keberadaan Daulah Islamiyah.

Ayat tersebut secara amnya merujuk kepada fungsi parti yang menyeru kemakrufan dan mencegah kemungkaran termasuk keatas pemerintah yang merupakan satu perkara yang lebih penting dari memuhasabah pemerintah. Sebaliknya, jika Daulah telah berdiri, maka kelompok ini akan memuhasabah pemerintah diatas sebarang kecuaian urusan umat dan kesalahan penerapan hukum Islam. Semasa ketiadaan Daulah, kelompok ini akan mempersoalkan alasan mengapa pemerintah tidak menerapkan Islam atau berusaha untuk mendirikan Daulah Islamiah.

Seruan kepada penerapan Islam secara menyeluruh dan menyeru pemerintah supaya bersatu teguh kearah amar makruf nahi mungkar adalah satu kerja politik. Ini dikatakan berpolitik kerana muhasabah pemerintah adalah satu kerja politik. Ini dikatakan berpolitik kerana memuhasabah pemerintah adalah satu aksi politik. Oleh yang demikian, ayat ini menyeru kepada penubuhan kumpulan-kumpulan politik yang berasaskan Islam, yang menyeru umat kearah penerapan Islam secara keseluruhan, memuhasabah pemerintah dan mendirikan Addin. Tuntutan ayat ini tidak dapat dipenuhi jika kumpulan-kumpulan ini hanya bekerja  untuk memperbaiki individu-individu dan menjauhi politik.

Berpolitik dalam Islam bererti mengurus urusan umat dan menjaga kepentingan mereka mengikut Islam. Ini bertentangan dengan konsep politik yang sering dikatakan kotor serta perlu menipu dan berbohong.  Berlainan dengan maksud politik dalam Islam.

Oleh yang demikian, penubuhan parti-parti politik berasaskan kepada wahyu dan undang-undang Islam adalah satu kewajipan keatas semua umat dan lebih dari satu parti dibenarkan selagi ianya berasaskan Islam.

Tugas berpolitik ini wajib ke atas lelaki mahupun perempuan.  Mereka menyertai parti untuk menjalankan kewajipan dan bekerja bersama-sama parti mengikut sunah Rasulullah  Sallallahu Alaihi Wa Sallam untuk menggubah masyarakat dari  Darul Kufur kepada Darul Islam melalui penubuhan Daulah Khilafah Islamiyah.

Kumpulan ini akan mempelajari Sirah dan perbuatan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam dijadikan asas perjuangan untuk mencapai matlamatnya.  ALLAH Subhanahu Wa Taala telah menjadikan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam ikutan terbaik dan ia adalah fardhu bagi kita untuk mengikutnya. Seperti mana firman ALLAH Subhanahu Wa Taala didalam al-Quran;

“Sesungguhnya telah ada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang-orang yang mengharap  (rahmat) ALLAH dan (kedatangan) hari Kiamat dan dia banyak menyebut ALLAH . [TMQ Al Ahzab (33):21]

ALLAH Subhanahu Wa Taala juga telah berfirman;

“Apa yang diberikan Rasul kepadamu maka terimalah dia. Dan apa yang dilarangnya bagimu maka tinggalkanlah“. [TMQ Al Hasyr (59) :7]
Metodologi Parti
Pada hari, umat Islam berada di dalam situasi yang sama sepertimana yang dialami oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam ketika di Mekah dimana undang-undang kufur dilaksanakan sebelum Daulah Islamiyah didirikan di Madinah.  Oleh itu, di dalam usaha untuk mendirikan Daulah Islamiyah, parti perlu mengikut contoh yang terdapat dalam sirah.

Ketika meneliti masa di Mekah sehingga penubuhan Daulah Islamiyah di Madinah, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam melalui beberapa tahap yang khusus dan jelas seperti berikut:

Tahap Pembinaan (Tatsqif)  
Tahap ini berlangsung selama tiga tahun seperti yang diperintahkan dalam ayat 1 – 3 dari Surah Al Muddatsir.  Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam telah menyebarkan Islam kepada orang ramai dan berjaya membina keimanan kepada orang-orang yang menerima Islam.  Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam membina parti politiknya dari kalangan orang-orang yang telah menerima Islam.  Mereka dikenali sebagai sahabat  (ra), iaitu pengikut RasulullahSallallahu Alaihi Wa Sallam yang dibimbing dan dibentuk dengan pemikiran Islam.

Tahap berinteraksi dengan umat (Al-Tafa’ul ma al Ummah)
Tahap ini bermula sebagai respons kepada ayat 94, Surah al-Hijr dimana  Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam dan para  sahabat mula berdakwah secara terbuka kepada masyarakat sepertimana yang dilakukannya kepada individu-individu tertentu.  Beliau memperkenalkan kumpulannya kepada masyarakat Mekah dengan menghimpunkan para sahabat dalam dua barisan  yang bertawaf mengelilingi Kaabah dan diketuai oleh Umar Radhiallahu Anhu dan HamzahRadhiallahu Anhu.

Ketika ini Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam bersemuka dengan dengan masyarakat Quraish mengenai sembahan-sembahan, kepercayaan-kepercayaan dan pemikiran mereka.  Beliau sentiasa mendapat wahyu dari ayat-ayat al-Quran yang berkaitan dengan isu-isu ini.  Kumpulan ini mengutuk perbuatan masyarakat Quraish yang mengambil riba, menanam anak-anak perempuan hidup-hidup, menipu sukatan dan berzina. Selain dari itu, ketika ini banyak ayat-ayat al-Quran diturunkan, menempelak pemimpin-pemimpin Quraish dan membongkar konspirasi mereka menentang dakwah beliau dan sahabat-sahabatnya

Pada tahap ini jugalah, Rasulullah meminta pertolongan (nusrah) dengan mendatangi kabilah-kabilah meminta bantuan fizikal dan material dalam usaha mendirikan Daulah Islamiyah.

Tahap terakhir – pengambil-alihan kekuasaan (Istimal Hukmi)
Setelah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam menerima nusrah dari kabilah Aus dan Khazraj, di Madinah, maka terbinalah Daulah Islamiyah di sana di mana baginda sendiri yang menjadi pemimpinnya.

Hizb-ut-tahrir mengikut metodologi Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam dalam berdakwah

Hizb-ut-Tahrir benar-benar mengikut metodologi Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam dalam usaha mendirikan Negara Khilafah. Sepertimana yang pernah dilakukan oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam dalam menentang amalan-amalan korup masyarakat Mekah, Hizbut Tahrir berjuang secara intelektual menentang amalan-amalan korup masyarakat dengan mendedahkan penyimpangan, pendustaan dan percanggahan masyarakat dari Islam.  Oleh yang demikian, Hizbut Tahrir (1) dengan tegas menyerang demokrasi, patriotisme, nasionalisme, pemikiran ekonomi Kapitalis dan dalam perjuangan ini, Hizbut Tahrir tidak berkompromi dengan sebarang korupsi, malah mencabar semuanya yang bertentangan dengan pemikiran Islam.

Sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam yang mendedahkan keburukan pemimpin-pemimpin Quraish, Hizbut Tahrir juga berpolitik untuk berjuang menentang sistem pemerintahan kuffar Barat yang dipaksakan keatas umat Islam.  Hizbut Tahrir mencabar pemerintah-pemerintah agen kuffar ini dengan mendedahkan pengkhianatan  dan persekongkolan mereka dengan kuasa –kuasa penjajah, memuhasabah pengabaian mereka keatas umat serta penyimpangan mereka dari pemerintahan Islam , adalah sebahagian dari perjuangan politik Hizbut Tahrir.

Kesemua perbuatan ini bertujuan untuk membebaskan umat dari konsep-konsep korup dan pemikiran-pemikiran kufur serta mendedahkan pemerintah-pemerintah serta penjajah-penjajah yang mendokong di belakang pemikiran tajaan Barat ini..  Perasaan dan emosi orang ramai kemudiannya akan dibina berasaskan pemikiran dan peraturan Islam yang akan menjadi satu kebiasaan di mana pendapat umum  dibentuk dalam masyarakat untuk menggalakkan orang ramai bertindak mengikut sepertimana yang diterapkan oleh Islam dan Hizb akan mengetuai umat dalam penerapan Islam.

Islam tidak akan dapat diterapkan dengan hanya merubah pemikiran–pemikiran dan emosi sahaja, sebaliknya seperti mana yang dilakukan oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam,adalah satu keperluan untuk mendapatkan sokongan material (nusrah) dari orang-orang yang memegang tampuk kekuasaan untuk menjadikan Islam sebagai satu kekuasaan.  Hizb menyeru masyarakat dan orang –orang yang memegang kekuasaan untuk memainkan peranan mereka dalam menyingkirkan pemerintah-pemerintah boneka agen Barat dan memberikan nusrah kepada Hizbut-Tahrir untuk mendirikan kembali Daulah Islam.

Alhamdulillah, dalam situasi hari ini, seruan untuk mendirikan Khilafah telah tersebar di seluruh dunia Islam dan keinginan umat Islam untuk menerapkan Islam semakin melonjak-lonjak.   Hizb-ut-Tahrir bergantung harap kepada ALLAH Subhanahu Wa Taala dalam perjuangan dengan penuh keazaman, komitmen dan keikhlasan.  Hanya ALLAH Subhanahu Wa Taala sahaja yang dapat mengurniakan kemenangan, maruah dan nusrah kepada umat dan Hizb apabila dikehendaki-Nya.  InsyaAllah, hari dan detik tersebut akan tiba dan semua akan bergembira dengan pertolongan ALLAH.

Disini juga perlu dijelaskan bahawa hukum Syariah melarang perjuangan secara fizikal (kekerasan) menentang pemerintah-pemerintah dalam mendirikan Daulah Islamiyah, mahupun menyertai sistem politik semasa yang korup, tanpa mengira demokrasi ataupun tidak. Sesungguhnya Hizbut Tahrir tidak memperjuangkan kedua-duanya.

http://theunutterablebeautyofphrases.wordpress.com


(1) Hizbut Tahrir (bahasa Arab: حزب التحرير, maksud Parti Pembebasan) adalah sebuah parti politik antarabangsa yang 
 berideologi Islam. Politik merupakan kegiatannya dan Islam adalah ideologinya. Hizbut Tahrir berjuang untuk menjadikan Islam sebagai permasalahan utamanya serta untuk mendirikan kembali sistem kekhilafahan. Hizbut Tahrir merupakan jemaah politik, bukan jemaah kerohanian (seperti tarekat), bukan badan ilmiah (seperti lembaga agama atau badan penelitian), bukan institusi pendidikan (akademik), dan bukan pula pertubuhan sosial (yang bergerak di bidang sosial dan kema­syarakatan). Idea-idea Islam menjadi jiwa, inti dan sekaligus rahsia kelangsungan kelom­poknya.

Nusrah = pertolongan

Daulah Islamiah = sebuah negara di mana syiar Islam benar-benar mempunyai kekuatan hukum di dalamnya.Tidak  disempitkan dengan batasan kedudukan,kaum,keturunan atau warna kulit. Ini kerana di dalam Islam tidak wujud apa yang  dinamakan Sekularisme,iaitu pemisah antara urusan keagamaan dan keduniaan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan