Home Klik Di Bawah

Sabtu, 4 Mei 2013

Jom Balik Undi Jangan Sia-Siakan Hak Anda!

As-Salam. Sebagai salah seorang warga Malaysia yang prihatin terhadap kesejahteraan agama, bangsa dan negara, saya; Hasrul Hassan menyeru kepada semua pembaca dan pengunjung blog ini agar baliklah mengundi walau di mana anda berada.

PRU13 (GE13) - Jom Balik Undi Jangan Sia-Siakan Hak Anda!

 

Hanya pada ketika inilah, kuasa berada di tangan anda. Di lain waktu, saya dan anda hanyalah warga biasa yang bakal menerima perintah dan arahan dari mereka yang punyai kuasa. Inilah masa untuk anda gunakan hak anda menentukan siapa yang layak memimpin negara dan masyarakat Malaysia ke arah masa depan yang lebih baik, cemerlang dan paling penting sebenar-benar dihormati di mata dunia.


Pilihlah apa yang anda fikir betul, dan bukan pilih apa yang anda rasa betul.
 
 

Lihat sekeliling anda, jenguk ke luar kotak pemikiran dan persekitaran biasa anda. Jangan melihat apa yang dekat, tetapi lihat apa yang jauh. Jangan lihat akan keselesaan anda, tetapi lihat akan kesengsaraan orang lain. Jangan dicengkam rasa berbudi dan bersalah, kerana apa yang akan anda berikan adalah penentu masa depan, bukan kerana membalas budi masa silam.

Pilih Untuk Kebaikan dan Masa Depan

 

Saya bukan menyeru anda untuk pangkah dan pilih mana-mana kelompok atau parti, tetapi menyeru anda untuk menunaikan tanggungjawab anda sebagai warga Malaysia. Undi anda adalah rahsia - tidak perlu anda dedahkan dan beritahu - kerana itu hak anda sebagai warga Malaysia yang merdeka.


Saya bukan orang politik yang punya kuasa, tetapi saya ada blog untuk menyuarakan rasa dan fikir. Saya gunakan blog untuk sebarkan ilmu pengetahuan yang dikongsi untuk semua. Saya bukan penghasut, dan saya bukan agen politik mana-mana pihak. Bagi saya, mana yang baik perlulah mendapat tempat sepatutnya.

Agama Suruh Kita Pilih Pemimpin

 

Agama adalah kepercayaan saya. Dan agama mengajar saya untuk memilih pemimpin. Hanya ketika inilah, hanya pada waktu inilah, dengan jari jemari ini, kita boleh tentukan siapa yang naik, siapa yang jatuh. Hanya ketika inilah, kita adalah raja dalam negara.


“Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). Dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka: orang-orang yang fasik.” (Al Imran (3): 110);

Tarikh 5 Mei 2013 Sebagai Satu Sejarah dan Rekod Dunia

 

Marilah keluar mengundi beramai-ramai. Jadikan tarikh 5 Mei 2013 satu sejarah yang akan dikenang sampai bila-bila - di mana rakyat Malaysia 100 peratus keluar mengundi buat pertama kali. Dan in Sha Allah, kerana ini ... Malaysia akan mencapai rekod dalam dunia, dan pastinya tunduk hormat dunia pada negara tercinta ini akan makin menyerlah.


100 peratus keluar mengundi - Jadikan ia satu visi dan misi. Bantu mereka yang lain untuk mengundi. Tunaikan hak anda - hanya sekali dalam 5 tahun!


PRU13 (GE13) - Jom Balik Undi Jangan Sia-Siakan Hak Anda! 
http://www.hasrulhassan.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan