Home Klik Di Bawah

Jumaat, 14 Jun 2013

Kemulian Umat Islam Terletak Pada Kemuliaan Akhlaknya


Ancaman terbesar pada Islam sebenarnya adalah daripada dalaman iaitu pemimpin dan pengikut Islam sendiri yang mengajar fahaman yang tidak betul, serta tidak menunjukkan tauladan yang baik daripada ajaran Allah kepada mereka yang ingin belajar dan masih mentah.

Ia pula ditambah dengan pemimpin Islam yang suka memesong ajaran Allah dengan fahaman asabiyah yang tebal dan menyebabkan pengikut-pengikut terikut-ikut dengan fahaman tersebut tanpa memikirkan soal keadilan.



“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.” (Al Maidah:8)

Sekiranya ini dapat diperbaiki, tiada ancaman luar yang akan dilihat sebagai ancaman kepada Islam kerana jamaah kukuh, rajin, berdisiplin, berkelakuan baik dan tinggi taqwanya kepada Allah. Bak kata cerdik pandai, untuk menjaga kesihatan diri sendiri, usah bimbang dan jangan membazir masa dengan memikirkan tentang kuman, virus, bakteria yang ada di luar sana. Berusahalah dan fokuskan untuk menguatkan badan dengan gaya hidup dan makanan yang sihat.

Itulah benteng kekuatan manusia sebenar bukannya menjadikan virus, kuman, bakteria sebagai musuh yang digeruni seti-ap masa. Ingatlah Allah tidak pernah mengajar kita bermusuh dan mencari musuh. Lebih-lebih lagi dalam hal menjaga Islam.

“Dan tidaklah sama (kesannya dan hukumnya) perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat. Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik; apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib.” (Fussilat:34)

Ingatlah kata-kata ini;

“Jika kejahatan dibalas kejahatan, maka itu adalah dendam.”

“Jika kebaikan dibalas kebaikan itu adalah perkara biasa.”

“Jika kebaikan dibalas kejahatan, itu adalah zalim.”


“Tetapi jika kejahatan dibalas kebaikan, itu adalah mulia dan terpuji.”

Menjaga Islam bermula daripada diri sendiri - praktikan ajaran al-Quran dalam kehidupan seharian bermula dari membuka mata iaitu ketika bangun dari tidur di waktu pagi sehinggalah menutup mata untuk tidur di waktu malam. Jagalah perangai dan kata-kata kita sebagai umat Islam sentiasa untuk menjaga maruah Islam dan kehebatan ajaran-Nya.

Ketika baginda Rasulullah s.a.w bersabda, (mafhumnya) bahawa baginda diutuskan demi kesempurnaan akhlak, di sana ada rasionaliti yg tinggi kerana jatuh bangun sebuah bangsa, tamadun dan negara adalah bermula dari akhlak. Perjuangan baginda Rasulullah bermodelkan akhlak, berprinsipkan Islam, adalah suatu formua mengapa kita dapati pelapis-pelapis baginda terdiri di kalangan para sahabat yang mulia bahkan di antaranya terdiri daripada khulafa' ar rasyidin.

Apalah guna anda mendabik sebagai pejuang Islam tetapi punah akhlak.

Apalah guna anda mendabik sebagai pelapis generasi anbiya' tetapi tiris akhlak.

-Al Fadhil Ustaz Tuan Ibrahim bin Tuan Man
 http://www.eperjuangan.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan