Home Klik Di Bawah

Sabtu, 20 Julai 2013

Jaga-Jaga Dengan Niatmu!


Peristiwa 1 : Syahid Pada Jalan Allah.
Orang yang diadili paling awal ialah seorang yang mati syahid. Allah memperlihatkan kurniaan yang pernah diberikan kepadanya. 
Allah bertanya :"Apakah yang kamu lakukan dengan nikmat tersebut?

"Aku berperang di jalanMu sehingga aku gugur sebagai syahid."
"Kamu tipu! Kamu berperang supaya kamu dipanggil wira. Dan gelaran itu telah diberikan."

Lalu Allah memerintahkan dia dibawa pergi dengan wajahnya terseret sampailah dia dilemparkan ke dalam neraka.
 
 

Peristiwa 2 : Seorang Qari

Seorang yang menuntut ilmu dan mengajarkannya serta membaca al-Quran. Allah memperlihatkan kurniaan yang pernah diberikan kepadanya. 

Allah bertanya :"Apakah yang kamu lakukan dengan nikmat tersebut?

"Aku belajar ilmu dan mengajarkannya serta membaca al-Quran keranaMu"
 
"Kamu tipu kamu belajar ilmu supaya dipanggil orang alim dan kamu membaca supaya kamu digelar qari. Dan gelaran itu telah diberikan." 
 
Lalu Allah memerintahkan dia dibawa pergi dengan wajahnya terseret sampailah dia dilemparkan ke neraka.

Peristiwa 3 : Orang Kaya
 
Seorang yang Allah berikan kemewahan. Allah memperlihatkan kurniaan yang pernah diberikan kepadanya. 
 
Allah bertanya :"Apakah yang kamu lakukan dengan nikmat tersebut?
"Tidak ada satu jalan (kebaikan) pun yang tidak Engkau sukai melainkan aku sedekahkah harta pada semua jalan tersebut."
 
"Kamu tipu ! kamu melakukannya supaya dipanggil dermawan. Dan gelaran itu telah diberikan.
 
Lalu Allah memerintahkan dia dibawa pergi dengan wajahnya terseret sampailah dia dilemparkan ke neraka.

~Hadis Qudsi~

Apakah itu hadis Qudsi?

 

Dalam kitab-kitab hadis didapati hadis qudsi. Ulama hadis mengatakan bahawa hadis qudsi itu ialah perkataan Nabi Saw yang disebutkan dengan mengatakan Allah berfirman (berkata-kata), disandarkan perkataan itu kepada Allah dan diriwayatkan daripadanya. 

Kesimpulannya hadis qudsi ialah firman (perkataan) Allah yang disampaikan kepada Nabi saw di dalam mimpi atau dengan jalan ilham. Lalu Nabi saw menerangkan apa yang disampaikan itu kepada umatnya dengan ibarat atau susunan perkataannya sendiri serta menyandarkan kepada Allah ; sedang hadis-hadis yang lain tidak demikian itu. Hadis qudsi ini juga dinamakan juga Hadis Ilahi atau hadis Rabbani. 

Dan pernah pula dibezakan hadis qudsi dengan yang lainnya; iaitu segala hadis yang bersangkutan dengan kebersihan atau kesucian zat Allah dan sifat-sifat kebesaran dan kemuliaanNya.(kitab al-Dar al-Nadid min Majmu'ah al-Hafid).
Contoh Hadis Qudsi itu, Rasullulah saw bersabda: 

"Firman Allah swt : Tiap-tiap anak Adam untuknya kecuali puasa maka sesungguhnya puasa itu untukKu, dan Aku akan memberi balasan dengannya. Dan puasa itu perisai, maka apabila seorang kamu berpuasa janganlah ia memaki-maki, mencarut-carut dan janganlah dia menghiruk pikukkan; maka jika dia dimaki oleh seseorang atau hendak dibunuhnya, hendaklah ia katakan: aku berpuasa." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Sumber : 
Majalah Solusi 
: http://mselim3.blogspot.com/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan