Home Klik Di Bawah

Selasa, 16 Julai 2013

Puasa Benteng Pelbagai Keburukan



BERPUASA merupakan benteng yang melindungi manusia daripada pelbagai keburukan. Untuk mendapatkan puasa yang sempurna dan diterima oleh Allah SWT, maka syariat yang telah ditetapkan hendaklah dipatuhi sebaiknya.


Ketika sedang berpuasa sama ada puasa di bulan Ramadan mahupun puasa selainnya, kita dituntut untuk menahan diri dan meninggalkan perkara-perkara yang dilarang oleh syariat. Antaranya ialah :
 


1. Makan dan Minum


Antara perkara utama yang dilarang ketika berpuasa ialah makan dan minum dengan sengaja sebagaimana yang telah sedia maklum takrifan puasa itu sendiri ialah menahan diri daripada melakukan perkara yang membatalkan puasa bermula dari fajar hingga terbenam matahari dengan mematuhi syarat-syarat puasa yang telah ditetapkan syarak (Al-Jazairi, Al-Fiqh 'ala Mazahib al-Arba'ah)


Oleh itu, diwajibkan kepada mereka yang berpuasa untuk imsak (menahan diri daripada makan dan minum) selama satu hari penuh sehinggalah tibanya waktu berbuka puasa. (Syaikh Arsyad al-Banjari, Sabil al-Muhtadin)


Imsak ketika puasa merupakan kefarduan yang telah ditunjuk oleh Rasulullah SAW, para sahabat dan as-Salafussoleh sehinggalah diwarisi hingga kini.


2. Bersetubuh di siang hari


Antara objektif puasa ialah untuk mengawal nafsu syahwat manusia. Kerana itu Allah SWT telah melarang persetubuhan antara suami dan isteri dan memberi keringanan melakukannya setelah tibanya waktu berbuka puasa.


Firman Allah SWT bermaksud: Kamu dihalalkan bersetubuh dengan isteri kamu pada malam puasa. Mereka sebagai pakaian kamu dan kamu pakaian bagi mereka.(Al-Baqara: 187)


Dalam Mazhab Syafie, mereka yang melakukan persetubuhan di siang hari pada bulan Ramadan diwajibkan kifarat dan mengqada puasanya.


3. Az-Zurr (Menipu)


Berpuasa bukanlah sekadar menahan diri daripada lapar dan dahaga sahaja bahkan turut dilarang untuk menipu, baik dalam ucapan mahupun perbuatan.


Rasulullah SAW bersabda: Barang siapa yang tidak meninggal perkataan dusta dan perbuatan dusta maka Allah tidak memerlukannya (amalan puasanya) sekalipun dia telah meninggalkan makan dan minumnya (berpuasa). (riwayat al-Bukhari dan Abu Daud)


Ini menunjukkan bahawa walaupun puasa seseorang itu sah di sisi syarak, namun ia tidak diterima oleh Allah SWT. Ini dikuatkan lagi dengan sabda Rasulullah SAW:"Berapa ramai orang yang berpuasa hanya mendapat rasa lapar dan dahaga."(riwayat Ibnu Majah)


Oleh itu, kita hendaklah menahan diri dan berusaha daripada berkata atau berbuat dusta. Ia bukan sahaja mengurangkan nilai ibadah puasa bahkan dilarang keras dalam agama sebagaimana sabda Rasulullah SAW: Tidak termasuk dalam golongan kami orang yang menipu. (riwayat Al-Bukhari dan Ibnu Majah)


4. Rafath (Perkataan yang kotor dan sia-sia)


Ibadah puasa mendidik pelakunya untuk menjaga kebersihan dalaman dan luaran. Mereka yang berpuasa bukan sahaja dilarang menipu bahkan dilarang daripada berkata-kata dengan perkataan yang kotor dan sia-sia seperti menghina, mengumpat, mencarut dan sebagainya.


Apabila berhadapan dengan perkara seperti ini ketika berpuasa maka hendaklah berkata bahawa dirinya sedang berpuasa. Dalam sebuah hadis Qudsi, Rasulullah SAW bersabda: Allah SWT berfirman: Puasa itu adalah benteng, maka apabila suatu hari seorang daripada kalian sedang berpuasa, maka janganlah dia berkata rafath dan bertengkar sambil berteriak. Jika ada orang lain yang menghinanya atau mengajaknya berkelahi maka hendaklah dia mengatakan "Aku orang yang sedang berpuasa." (Muttafaq'alaihi)


Menurut Mazhab Syafie perbuatan rafath ketika berpuasa di bulan Ramadan adalah dimakruhkan. (Al-Fiqh 'ala Mazahib al-Arba'ah)


Ulama Nusantara, Syaikh Arsyad al-Banjari dalam kitabnya Sabil al-Muhtadin lil tafaqqahu 'amr ad-din menegaskan bahawa sunat muakkad bagi orang yang berpuasa memelihara lidahnya daripada menghamburkan kata-kata yang tidak baik kepada orang lain meskipun kata-katanya itu benar dan dia di pihak yang benar.


Perkara-perkara seperti ini hendaklah ditinggalkan supaya ibadah puasa dapat dilakukan dengan sempurna zahir dan batin.

kredit: MOHAMAD DHIYAUDDIN ABDUL KADIR
blog tok wan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan