Memang jodoh pertemuan di tangan Allah
S.W.T. Tetapi tidaklah bermakna usaha dan ikhtiar langsung tidak
diperlukan. Ertinya sesudah berikhtiar semampu mungkin, maka selepas itu
terpulanglah pada Allah apa yang hendak ditakdirkannya.
Perkahwinan adalah penting. Ia adalah
suatu pembentukan awal sebuah masyarakat kecil yang akan berlanjutan ke
anak cucu dan turun temurun. Dan ini sesuai pula dengan fitrah
semulajadi manusia, iaitu memerlukan pasangan di dalam hidupnya.
Oleh itu merancangkan satu perkahwinan
yang tepat dan baik adalah ikhtiar yang tidak boleh dipandang kecil. Hal
yang paling penting ialah mencari jodoh. Siapakah bakal isteri atau
suami yang hendak dipilih? Yang mana kalaulah terjadi salah pilih, maka
kesannya sangatlah buruk, terpaksa menanggung derita dan seksa di dunia
hingga akhirat. Tiada bahagia dan kasih sayang. Rasulullah S.A.W. sudah berpesan tentang syarat memilih isteri.
Sabda baginda:
“Dikahwini perempuan itu kerana empat perkara, Keranaharta, rupa, keturunan dan agamanya. Maka pilihlahyang baik agamanya.”
Fahamlah kita bahawa syarat penting
memilih isteri atau suami ialah yang beragama. Dengan kata lain yang
beriman dan yang mengamalkan syariat Islam. Kalau syarat ini ada barulah
kita fikirkan tentang hal-hal seperti rupanya, kekayaannya,
keturunannya danlain-lain.
Tidak ada syarat lain lagi yang lebih
baik daripada apa yang dikatakan oleh baginda itu. Sebab, wanita
beriman, walau dia kaya atau cantik, nescaya dia tetap merendah diri
pada suaminya. Tidak akan dikecilkan hati suami lebih-lebih lagi tidak
akan ia derhaka pada suami.
Sebaliknya yang wanita cantik pada
wajahnya tetapi tidak beriman selalunya membuat suaminya berkeadaan
serba salah. Begitu juga wanita kaya yang tidak beriman, biasanya akan
memperbudakkan suaminya.
Ini selalu terjadi di dalam masyarakat
kita hari ini. Oleh kerana mereka berkahwin bukan kerana Allah, memilih
pasangan pula bukannya kerana agamanya, tetapi kerana jawatan, gaji rupa
dan lain-lain, ditambahdengan cara kenduri kahwin penuh kefasikan, maka
hasilnya terjadilah seperti apa yang terjadi sekarang.
Kalau isteri berjawatan tinggi atau seorang yang terkenal maka rumahtangga mereka akan berada dalam keadaan:
Suami sering merasa hina diri
(inferioritycomplex) terhadap isteri. Isteri tidak melayan dengan
sepatutnya, maklumlah sibuk dengan tugas dan sibuk melayan orang lain.
Suami selalu tinggal sendiri.kalau isteri ada di rumah pula dia merasai
berhadapan dengan orang besar, yang dihormati ramai, maka masakan mudah
baginya untuk mengajak isteri bermesra-mesra
dan melayannya dengan baik. kerana itu hiduplah suami dalam keadaan
kesunyian selalu dengan rasa rendah diri. Kebahagiaan bersuami-isteri
dan berkasih sayang tidak akan terasa lagi.
Oleh kerana isteri biasa
mengarah-arahkan pekerja bawahannya atau orang ramai, maka tentu dia
terbawa-bawa ke rumah, yakni suka mengarah suami. Apa lagi kalau
suaminya berjawatan kecil, sepertilah orang bawahnya. Maka dalam keadaan
apa pun suami akan rasa hina diri.
Mengalah sajalah suami. Ikut sahaja apa
isteri kata. kalau pun kadang-kadang ia tidak sukadengan perkara itu,
terpaksa ditekan-tekan rasa. Pendeknya jadual rumahtangga akan diatur
oleh isteri.
“Kita balik kampung bang”.. “Kita keluar bang”.. “Malam ini jangan kacau I bang, I letihlah”.. dan sebagainya.
Bila suami ajak ziarah emak di kampung, dia jawab, “Saya ada mesyuarat esok, tidak boleh cuti.”
Kadangpula suami ajak pergi kenduri kahwin dijawab, “I ada ‘appointment’ petang ini.”
Sewaktu suami ajak kebilik tidur dia jawab, “I nak siapkan ‘speech’ untuk esok. Abang masuklah dulu”
Isteri jadi tuan. Suami jadi khadam. Orang yang tidak tahu mereka itu suami isteri akan menyangka suami itu orang gajinya.
Isteri sentiasa keluar. Siang keluar,
malamkeluar. Bila balik, sudah letih. Maka suami akan menjadi orang
bujang. Ada isteri macam tidak ada isteri. Sebab dia tidak dapat miliki
isteri itu. Hanya boleh dipandang-pandang, boleh dipegang sekali-sekali.
Tetapi tidak boleh dikawal mengikut kehendak suami.
Oleh kerana isteri ada jadual sendiri
dan ada pandangan sendiri, maka selalunya arahan suami akan dibahas dan
dipertikaikan. Suami jarang merasai isterinya taat padanya. Pun jarang
si isteri meminta keizinannya untuk melakukan sesuatu.
Isteri tidak rasa bersandar hidup
dengan suami. Biasanya seorang isteri bergantung hidup, nafkah dan
tanggungannya pada suami. Tetapi kerana isteri berjawatan, ia rasa lebih
dari suaminya, maka isteri tidak lagi bersandar pada suami.
Ia tidak memerlukan apa-apa dari
suaminya; tiada istimewa dan tidak ada kelebihan apa-apa untuk dia
bersandar hidup. Hatta kalau suaminya menceraikannya pun dia tidak rasa
bimbang apa-apa. Maka dia berani buat apa disukainya terhadap suaminya.
Kalau isteri lebih pandai dari suami maka:
Isterinya akan membuatkan suami
sentiasa rasa hina diri dan rendah diri, kerana isterinya akan banyak
mengajarnya. Bukannya suami mendidik isteri tetapi berlaku sebaliknya.
Kalau suami buat apa-apa yang silap atau tidak tepat selalulah kena
komplen atau diketawakan oleh si isteri.
Hendak marah atau hendak merajuk pun
takut pula kena leter dengan isteri, maklumlah isteri bijak. Al hasil
suami sentiasa rasa diperkecilkan oleh isteri. Dirasa dirinya sentiasa
rendah di samping isterinya. Kasih sayang dan kebahagiaan yang layak
bagi seorang suami tidak dapat dirasainya lagi.
Isteri tidak yakin dengan sikap, cakap
dan arahan suami, maka dengan sebab itu dia tidak boleh taat pada
suaminya. Kalau taat pun hanya atas dasar patuh.
Isteri berani mengarah, menentang dan
marah-marah pada suami. Si isteri pula, kerana selalurasa dikalahkan,
tidak akan boleh mengawal keadaan begini. Maka terjadilah suami menurut
kata isteri, suami ikut cakap isteri. Hidup suami diatur oleh isteri.
Suami tidak akan memberi apa-apa
maklumat dan tunjuk ajar pada isteri, disebabkan dia rasa malu pada
isterinya yang lebih pandai darinya. Oleh kerana kebiasaan isterinya
menyanggahnya maka dia bimbang kalau-kalau maklumat atau ceritanya akan
disanggah lagi atau dipandang kecil oleh isteri. Kerana itu selalunya
isterinya yang banyak cakap, suami menurut saja.
Ertinya suami belajar dengan isteri.
Kemuncak dari itu, ialah suami takut untuk membuat arahan atau
permintaan pada isteri. Tegasnya suami akan takut pada isteri.
Kalau beristeri cantik
Si isteri sedar dan bangga dengan
kecantikannya, maka suami akan selalu kalah dengan kehendak isteri. Si
suami pula suka akan kecantikan isteri, dia menyayangi isterinya
atas dasar isterinya cantik. maka jadilah keadaan di mana segala
kehendak isteri diikutinya. Isteri tentu sedar akan hal ini maka diambil
kesempatan untuk mengarahkan suaminya, ikut ragam dan kerenahnya.
Minta itu minta ini, arah itu arah ini.
Kalau tidak dapat, merajuk, meragam dan merengek-rengek. Kalau
kemahuannya tidak diikuti dia mengugut hendak balik kg atau minta cerai.
Diatahu suaminya tidak akan menceraikannya. Si suami pula kerana
terlalu sayang, ikut saja. bukan senang hendak dapat isteri cantik.
tetapi hati menderita. Bak kataorang, mata sedap hati sakit. Ibarat buah
kepayang ditelan pahit dibuang sayang. Hal ini jarang berlaku pada
wanita-wanita yang tidak cantik. Mereka tidak berani meragam sebab
mereka tahu suaminya boleh menceraikannya, cari yang lain.
Kalau beristeri kaya
Suami akan jadi hamba, sebab si suami
bersandar rezeki pada isteri. Isteri jadi ‘boss’, boleh buat apa saja
arahan yang disukai. Oleh kerana rasa termakan budi, suami merasai tidak
patut pula kalau tidak menurut arahan isterinya. Akhirnya diperhambakan
isteri. Dalam keadaan itu suami akan rasa rendah dan hina diri dan
tidak berani si suami berlaku sebagai ketua rumahtangga untuk mengarah
itu dan ini. Maka akhirnya isterilah yang jadi ketua rumah, jadi
‘queen-control’. Jadual dan program isteri yang tentukan. Suami
mengiyakan sahaja.
Kalau beristeri yang tidak kaya, tidak pandai, tidak tinggi jawatan:
Isteri yang setaraf dengan suami atau
lebih rendah lagi tidaklah susah sangat suami dibuatnya. Isteri itu
terpaksa bersandar sepenuhnya dengan suami. Dan dia pula tidak boleh
memberi apa-apa pada suami, dan dirasai suaminya lebih daripadanya. Ada
kekuatan dan keistimewaan. Maka mudahlah dia hormat dan taat.
Selamatlah hati suami. namun ketaatan
ini bukanlah ketaatan yang suci murni, kerana dibuat dengan terpaksa.
Yang mana kalaulah isteri itu kaya misalnya, nescaya dia turut
menyusahkan suaminya juga.
Ada waktu-waktunya isteri akan engkar
juga dengan suaminya, terutama suami ada salah silapnya. Itulah wanita
yang tidak beriman yang selalu menyusahkan suami. Suami tidak rasa
terhibur dengan isteri. Rasa bahagia, mesra dan kasih sayang dengan
isteri semakin hilang dari hari ke hari.
Suami merasai lebih bahagia kalau
berada di luar rumah atau jauh dari isteri.Setiap kali hendak balik ke
rumah, suami cemas menanti apa pula ragam si isteri. Soalan apa yang
akanditanya. Apa pula yang akan dirungutkan, apa yang akan dimintanya.
Panjang mana pula leter yang akan didengar. Semasam mana pula mukanya
dan macam-macam lagi ragam dan kerenah yang akan dihadapi.
Kesah ini pernah berlaku kepada seorang pendakwah, seorang suami tiba-tiba saja menghulur RM50.00 pada isterinya.
“Hadiah,” katanya. Hairanlah isterinya kerana kejadian yang tiba-tiba itu.
“Hadiah apa ni?” Ditanya kepada suaminya.
Maka berkatalah suaminya, “Hadiah kerana tadi ketika saya balik ke rumah, awak sambut baik, tak tanya itu ini macam selalu. Pada hal biasanya kalau saya tidur diluar, pagi baru balik, awak tak gini. Sebab itu dalam perjalanan balik tadi saya sudah bimbang apa nak jadi. Rupa-rupanya awak sudah berubah. Itu pasal saya hadiah RM50.”
Isterinya pun tersipu-sipu.
Itulah cerita isteri
yang sedang dididik dengan iman. Suami keluar dakwah, kadang-kadang
tidak balik. Maka sedikit sebanyak sudah boleh menerima keadaan
itu,boleh bersabar dengan ujian kesusahan. tetapi kalaulah tidak dididik
dengan iman, mustahil seorang isteri boleh bermanis muka dengan suami
di waktu dia sendiri sedang berduka.
Isteri solehah akan sentiasa berfikir
untuk memberi kebahagiaan kepada suaminya, dalam apa jua keadaanpun,
akan sanggup mengorbankan dirinya untuk menghiburkan suami demi
mengharap kasih sayang Allah dan syurga-Nya.
Lihatlah sejarah seorang wanita Mukmin,
ketika anaknya meninggal dunia, ditutup mayat itu baik-baik menunggu
suaminya pulang. Bila kembali suaminya ia tidak terus mengadu kejadian
malang itu tetapi dihiburkan, dilayan suaminya hinggalah selesai suami
menunaikan hajatnya barulah dia bertanya, “Abang, kalau kita diberi
pinjam sesuatu, adakah kita kena memulangkan barang itu kepada tuan
punyanya? “Tentu sekali,” Jawab suaminya.
Kemudian dia menyambung, “Allah telah meminjamkan kita seorang anak. Tapi
sekarang Allah ambil kembali anak itu dari kita.” “Innalillah wa inna
ilaihi raajiuun,”kata suaminya dengan tenang. Maka barulah ditunjukkan
mayat anaknya pada suaminya. Begitu mampunya wanita solehah menenangkan
hati suaminya. Bukan memekik, melolong, menangis, merapu dan mengungkit
itu ini hingga suami jadi dua kali susah. Susahkan ujian yang berlaku,
susahkan sikap isteri.
Hari ini mana ada wanita salehah yang
mengorbankandiri untuk kebahagiaan suami demi mengharapkan keredhaan
Allah dan nikmat syurga di akhirat kelak.Yang ada ialah wanita-wanita
yang selalu menyusahkan suami untuk keuntungan dirinya kerana
semata-mata memuaskan diri dan nafsunya.
Sebenarnya perkara-perkara yang saya
senaraikan diatas, tidak akan atau kurang berlaku kalau kita
beristerikan wanita salehah. Sekalipun wanita itu berpangkat tinggi,
bijak bistari, cantik molek, kayaraya, namun dia tetap taat dan merendah
diri padasuaminya. Suka berkhidmat, menyelesaikan masalah suami (bukan
membuat masalah) bahkan semua miliknya ditukargeran menjadi milik mutlak
suaminya. Lihat SayidatinaKhadijah, Sayidatina Aisyah dan Siti Fatimah
Az Zahrah.
Semua kekayaan, kepandaian dan jiwa
raganya dikorbankan untuk membantu perjuangan Rasulullah S.A.W. Siti
Khadijah yang asalnya hartawan Quraisy, tetapi setelah menjadi isteri
Rasulullah S.A.W., habis hartanya diserahkan, untuk menyumbangkan pada
agama Allah. Hingga waktu wafat beliau, tempat tinggalnya hanya satu
bilik usang berpintu satu.
Sayidatina Aisyah, Ummul-Mukminin
selaku pembantu kuat Rasulullah, turut giat sama berjuang dengan
mengorbankan segala kebolehannya kepada perjuangan suaminya. Sesudah
wafat Rasulullah, dia bertindak selaku mahaguru kepada para sahabat
besar. Siti Fatimah binti Rasulullah adalah isteri yang rela miskin dan
bersusah payah untukIslam, pun begitu dia tetap dapat memberi senyum
manis pada suaminya.
Itulah ciri dan contoh wanita beriman.
Wanita beginilah yang mesti kita sediakan untuk diperisterikan. Sifat
wanita beginilah yang mesti kita didik terhadap ahli keluarga kita.
Agar rumahtanggakita nanti dan generasi
akan datang adalah syurga kecil yang sementara, yang menjadi sumber
tenaga buat kita dan keturunan kita berjuang mendapatkan syurga yang
maha besar lagi kekal abadi di akhirat nanti. :)
pakar cinta
Tiada ulasan:
Catat Ulasan