Home Klik Di Bawah

Khamis, 22 Ogos 2013

Kesedihan Hanya Melumpuhkan Anda. Berhentilah Menangis Dan Terus Melangkah Gagah.

Assalamualaikum w.b.t

Asyik terpospone nak publish entri. Padahal dah habis dah tulis semua. Biasalah. Gejala biasa apabila di rumah. Ada saja perkara tak rasmi mengganggu diri. Tak ganggu sangat pun. Kadang-kadang sengaja menginvolvekan diri dalam acara yang mengganggu diri tu. Tak faham? Bagus. (Dah lama tak merepek)

Manusia biasa. Acapkali diuji dengan segala macam dugaan. Dugaan yang kadangkala langsung tidak mampu berkata apa-apa. Terasa berat ditanggung. Terasa langsung tiada jalan keluar. Terasa seperti tidak dipeduli. Terasa luluh hati. Hiba dan kesedihan yang terlalu menggunung tinggi.

Akhirnya kita kembali kepada fitrah manusia. Kembali pada Yang Maha Esa. Hanya Dia yang memahami segala isi hati. Bertepatan dengan apa yang aku sedang lakukan. Sedang membaca buku yang memberi inspirasi pada diri. BILA ALLAH MENDUGA KITA, karya Syed Alwi Alatas. Aku taip semula satu bahagian di dalam buku ini yang dirasakan harus dikongsi. Nanti aku ulas. Bacalah di bawah dulu.
 
 
 


Apa yang biasanya terjadi ketika seseorang mendapat dugaan atau kehilangan sesuatu? Bukankah dia akan merasa sedih? Bayangkan ada seseorang yang sedang meratap sedih di hadapan sebuah rumah. Kemudian dia bertanya kepadanya, "Apa yang telah membuat anda sedih?" Terus dia menjawab, "Saya baru saja kehilangan isteri saya, dia telah meninggal dunia."

Demikianlah kesan dari kehilangan pada jiwa seseorang, ianya akan menimbulkan rasa kesedihan, bahkan rasa berputus-asa. Pada situasi yang lain anda mendapati sahabat anda tertunduk lesu. "Ada apa?" Anda bertanya kepadanya. "Saya baru saja diberhentikan kerja." Demikian jawapan sahabat anda itu. Dia baru saja mendapat satu dugaan yang berat dan menjelaskan sesuatu bentuk kehilangan. Ya, teman anda telah kehilangan pekerjaan dan bererti kehilangan pendapatan harian yang selama ini dinikmatinya setiap bulan dari tempatnya berkerja.

Dugaan boleh juga diterjemahkan sebagai satu kehilangan dan biasanya menimbulkan rasa sedih pada diri seseorang. Kesedihan sebenarnya perkara yang wajar dirasakan oleh seorang yang kehilangan sesuatu. Yang harus dielakkan, sebagaimana yang diisyaratkan oleh surah al-Hadid. Kesedihan yang berlebihan dan berpanjangan atau berterusan pada akhirnya akan menggandakan dugaan yang menimpa kita. Surah al-Hadid ayat 23 menjelaskan bahawa Allah menetapkan segala sesuatu bagi kita antara lainnya supaya kita tidak terlalu bersedih atas apa-apa yang hilang dari diri kita.

Tetapi bagaimana ini boleh terjadi? Adakah seseorang yang menyedari bahawa segala sesuatunya sudah ditentukan oleh Allah mampu untuk memendam rasa sedihnya? Tentu boleh! Sekiranya seseorang mengetahui apa yang dialaminya telah ditetapkan sebelumnya oleh Allah, sekiranya dia beriman pada Allah dan merasa reda terhadapNya, maka mengapa dia harus bersedih atas sesuatu kehilangan. Bukankah itu memang sudah digariskan olehNya? Bukankah itu tetap akan terjadi walaupun kita sedaya upaya cuba menghindarinya? Jadi mengapa kita perlu hanyut dalam kesedihan?



Apakah kesedihan kita akan menyebabkan apa yang hilang itu kembali pada kita? Tentu tidak! Malah kesedihan itu menyebabkan diri kita semakin susah dan tertekan. Jadi relakan saja dan katakan, "Segalanya berasal dari Allah dan akan kembali kepadaNya." Bukankah dengan demikian perasaan kita akan menjadi tenteram? Kita tidak perlu menyibukkan diri dengan apa yang sudah berlalu dan kita boleh fokuskan perhatian pada apa yang ada di hadapan kita. Life must go on.

Sudahkah anda memahami rahsia ini? Al-Quran menyatakan bahawa Allah telah menetapkan itu semua supaya kita tidak bersedih hati terhadap apa yang menimpa. Semua itu sudah digariskan olehNya, tidak perlu terbawa-bawa dalam kesedihan dan berputus asa. Sekiranya orang yang sangat kita cintai meninggal dunia, wajar kita bersedih kemudian katakanlah, Inna lillahi wa inna ilahi raji'un, segalanya berasal dari Allah dan akan kembali kepadaNya! Semua ini berada dalam wilayah kekuasaan Allah. Apa yang sudah terjadi biarlah terjadi dan kembalikan segala urusannya kepadaNya kerana Allah lebih mengetahui sebab dan hikmah berbagai peristiwa di sekitar kita. Jadi berhentilah menangis, relakan apa yang baru saja menimpa dan beramallah untuk waktu-waktu yang ada terbentang di depan kita.

Ulasan dari aku.

Yeah, berhentilah menangis wahai sahabat-sahabat sekalian. Semua yang bergelar insan manusia pasti akan pernah merasai kehilangan. Kehilangan harta benda ataupun insan tersayang. Keperitan yang ditanggung pasti tidak tertanggung jiwa nurani. Hanya diri yang alami pasti mengerti. Sarat menanggung beban. Sehingga tertekan. Semua urusan terganggu. Kemurungan yang amat sangat.

Ada yang terlalu sedih apabila putus cinta. Lumrah sebagai insan manusia yang punya hati dan perasaan. Menangis semahu-mahu. Meronta, meraung malah merayu pada sang kekasih yang sudah berpaling agar kembali pada diri. Natijahnya, memakan diri. Apabila sudah tiada erti, manusia akan buat apa sahaja. Janji dapat memuaskan perasaan dan gelodak hati. Merana dan terus merana.


Kembali pada dunia nyata. Kesedihan yang berpanjangan tidak akan mampu mengubah apa-apa. Malahan diri terus terjerumus dalam lembah kemurungan. Buat apa mensia-siakan terlalu banyak perkara yang jauh lebih penting yang sedang menanti di hadapan. Kadang-kadang kita terlupa akan hakikat yang sangat menguntungkan ini. Terlalu memikirkan perkara yang sudah berlalu sehingga tidak mahu berusaha mencari jalan keluar.

Aku mengfokus pada kehilangan kekasih kerana rata-rata manusia terlalu bersedih hati disebabkan perkara ini. Ingatlah, inilah proses kehidupan yang kita semua harus fahami. Ianya datang untuk mencantikkan perjalanan hidup ini. Supaya kita lebih kental dan tahu selok belok dalam meneroka dunia luar lagi. Lihatlah sekeliling. Sekurang-kurangnya kita masih punya keluarga yang sentiasa menyokong. Sekurang-kurangnya kita masih punya kawan-kawan yang tak pernah putus memberi dorongan. Dan yakinlah anda masih beruntung berbanding orang lain.

Semua orang mengharapkan kebahagiaan dalam hidup. Sekiranya masih belum ketemu bahagia itu, janganlah berputus asa. Teruskanlah berusaha dan merencanakan kehidupan. Masa silam adalah sejarah tinggalan yang seharusnya dijadikan pedoman. Gapailah peluang yang ada pada hari ini. Dan bersiap sedia dengan segala kemungkinan di masa akan datang. Wallahu'alam.

Wassalam.

 
http://hamiasraff.blogspot.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan