Home Klik Di Bawah

Isnin, 19 Ogos 2013

NIKMATI CINTA DALAM BENTUK TERISTIMEWA

Assalamu'alaikum dan salam sejahtera semua...
 
Apa itu cinta?? Bagaimana cara bercinta yang sebenarnya?? Cinta itu dinikmati dengan cara yang bagaimana?? Amboi..... Bukan main lagi soalan yang ditanya. Mentang-mentang la boleh ditanya. Kalau bab cinta sesama manusia ni memang payah sikit nak berikan makna. Kerana maknanya memang terlalu sukar untuk digambarkan dengan kata-kata. Aku bukanlah pakar motivasi dan lebih-lebih lagi motivasi tentang cinta. Jadi, ini merupakan sedikit pandangan daripada diri aku yang hina ini. Cukuplah sekadar renungan bersama.
 
Baca dan cuba kembangkan akan maksud yang cuba aku sampaikan. Fahami siapa yang selayaknya dicintai dan diberikan rasa cinta yang sebenarnya. Segalanya ada tersirat dalam penulisan aku di bawah.
 
Sebenarnya, sudah terlalu banyak definisi yang diberikan terhadap cinta. Terutamanya dalam filem-filem hindustan, cintan cintun dan banyak lagi. Di situ, cinta telah diberikan solekan yang cukup mengasyikkan. Meleleh-leleh air liur penonton yang menontonnya dan tidak kurang juga ada yang menangis akibat penangan yang begitu hebat daripada cinta.
 
Cinta merupakan suatu perasaan yang amat sukar untuk digambarkan melalui kata-kata. Ia hanya dapat dinikmati dengan cara mengalaminya sendiri. Cinta tidak dapat dipelajari tetapi dialami. Uniknya cinta kerana ia merupakan jelmaan kasih sayang yang teragung. Manusia membina sahsiah di muka bumi ini bermodalkan kasih sayang dan cinta.
 
Cinta adalah segala-segalanya bagi orang yang sedang bercinta. Cinta menjadi jambatan penghubung antara 2 hati yang pada asalnya terpisah dan saling tidak mengerti. Cinta adalah motivasi terbaik manusia. Manusia telah ditebarkan di atas muka bumi ini berbekalkan sebuah rasa cinta.
 
Cinta jugalah yang telah menemukan kembali Adam dan Hawa. Melalui cintalah terbinanya sahsiah dan menjadikan alam ini tempat terbaik untuk didiami. Jika cinta sudah tiada lagi di hati, itu tandanya bahawa salah satu nikmat daripada ALLAH SWT telah tercabut daripada diri. Sedangkan cinta merupakan salah satu nikmat yang agung daripada ALLAH terhadap para hamba-NYA.
 
Jika diri sudah tidak dapat menghargai cinta. Maka nilai kemanusiaan dalam diri sudah mula terhakis. Ketiadaan cinta di hati bakal merubah seluruh kehidupan. Orang yang tiada perasaan cinta adalah orang yang telah kehilangan motivasi dalamannya.
 
Cinta seharusnya melahirkan tindakan-tindakan yang melambangkan kelembutan, kasih sayang dan kebijaksanaan dalam membuat keputusan yang berlawanan ataupun berbeza pendapat. Cinta merupakan kenderaan yang menuju ke arah sebuah kebahagiaan. Suburkanlah dan murnikan rasa cinta sebagaimana ia bermula.
 
Saat bermulanya cinta adalah rasa teragung yang akan dirasai oleh diri setiap manusia. Inilah rasa yang tiada perkataan dapat menceritakannya. Tatkala itu cinta akan benar-benar menjadi motivasi yang terhebat. Andai lautan api direntangkan, maka lautan tersebut akan sanggup direnangi untuk menggambarkan betapa cinta begitu memberikan motivasi dan perlukan bukti. Tiada lagi rasa teragung kecuali cinta.
 
Cinta melambangkan kegembiraan, keseronokan, kepuasan, kenikmatan dan semua rasa yang indah serta terlalu sukar untuk digambarkan dengan perkataan. Manusia yang beruntung adalah manusia yang meniti di atas cinta, memperolehi cinta untuk menyedari kedudukannya sebagai insan kerdil di bawah kebesaran ILAHI. Barulah nampak akan betapa tingginya martabat cinta.
 
cinta oh cinta, makna cinta, bestnya cinta, sedang ingin bercinta, cinta manusia
Dan tidak kurang juga ada cinta yang seolah-olah telah hilang kesuciannya.
 
Adakalanya cinta yang suci dan penuh makna itu menjadi barang yang terbuang, berciciran di mana-mana seperti di lorong-lorong, di bawah rimbunan pepohon dan di kaki lima. Apabila malam telah melabuhkan tirainya. Maka manusia-manusia durjana akan berebut-rebut untuk mengutip bunga-bunga cinta yang berkeliaran dan bersimpang siur itu. Harga diri dipertaruhkan dan dicagarkan hingga akhirnya menjadi habuan nafsu yang tidak mengenal iman dan kehormatan.
 
Entah mana silapnya sebuah cinta yang sepatutnya menjadi lambang kebahagiaan, kedamaian dan keamanan manusia sejagat. Adakalanya ia menjadi pemusnah. Cinta itu hadir daripada keterampilan pemilik cinta itu sendiri. Seorang lelaki yang benar-benar jatuh cinta dan mencintai seorang wanita akan menunjukkan sikap, penampilan serta gerak laku yang akan sentiasa meyakinkan insan yang dicintainya itu.
 
Cinta tidak harus dinodai oleh perlakuan-perlakuan yang kejam, tidak bermoral dan juga yang mencarik-carik akan kesucian cinta itu sendiri. Sebagaimana cinta bermula, cinta seharusnya berkekalan sedemikian rupa sehinggalah penghujungnya. Namun setelah anda memiliki cinta pasangan anda dan memiliki keyakinannya. Haruskah anda melukainya?? haruskah anda mengecewakannya??? Atau memang ia sudah menjadi kewajipan bagi diri????!!
 
Sebagai manusia yang di gelar al-insan di dalam al-Quran yang bermaksud pelupa. Memang tidak akan lepas daripada melakukan kesilapan. Manusia selalu leka dengan nikmat yang diberi. Andaikata anda telah menodai kesucian cinta. Bertanggungjawablah. Jangan sesekali melangkah pergi meninggalkan pasangan anda tanpa mempunyai walau secebis rasa kemanusiaan.
 
Di saat itu bayangkanlah betapa anda mengkehendaki cintanya dahulu. Ingatlah...saat bermula cinta adalah rasa yang terindah dalam hidup manusia. Dan saat berakhirnya cinta adalah rasa yang amat menyakitkan dan merupakan sebuah derita yang tidak berkesudahan.
 
Maka hargailah pasangan 'halal' anda... yakinilah bahawa dia adalah insan terbaik yang telahpun ditentukan buat anda.
 
Wallahu'alam...
 
p/s: maaf andai terkasar bahasa dan sebagainya.. Maaf darimu amat aku harapkan...
 http://kum-pun.blogspot.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan